Wednesday, October 26, 2016

AKSI BANGKANG DARI LONGKANG...

ajib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Parlimen, Kuala

KALAU mahu difikirkan pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai tokoh hebat-hebat belaka dalam usaha mereka mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Kajilah siapa yang ada dalam pakatan pembangkang sekarang. Mereka ada bekas Perdana Menteri dan dua bekas Timbalan Perdana Menteri. Dua daripada mereka pernah bertanggungjawab membentangkan bajet negara ketika dalam kerajaan dahulu.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mempunyai seorang ketua menteri dan seorang menteri besar yang sudah pasti membentangkan bajet di negeri masing-masing, barisan pemimpin yang pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri dan barisan pemimpin berlatar belakang undang-undang yang hebat-hebat belaka. Malah pembangkang mempunyai ‘back up’ atau sokongan pakar-pakar daripada pelbagai bidang termasuklah ekonomi dan undang-undang. Propaganda dan kenyataan mereka pula akan disiarkan oleh media dan portal berita propembangkang yang sentiasa berusaha memburuk-burukkan kerajaan. Tetapi malangnya, pembangkang ternyata tidak mempunyai keupayaan untuk menggembleng semua tenaga itu untuk membantu mereka menang dalam PRU-14. Kehebatan yang ada pada mereka hakikatnya hanyalah omong kosong.

Sebab itulah, pakatan pembangkang mengambil tindakan meninggalkan Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017. Mereka amat mengetahui kehebatan mereka hanyalah dari segi untuk melakukan propaganda, tohmahan dan fitnah bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya sahaja. Mereka tidak akan berupaya untuk membentangkan satu bajet yang mampu menyanggah Bajet 2017. Sebab itulah ketika berada dalam Dewan Rakyat segelintir mereka menunjukkan pelbagai aksi.

Ada yang bersikap seperti ‘langau’ yang sentiasa membuat bising, ada yang ‘menyambung tidur’ dan ada pula seperti kanak-kanak yang terlalu asyik dengan gajetnya. Yang memberikan tumpuan hanya beberapa orang sahaja dalam kalangan pemimpin pembangkang, itu pun mencari modal untuk menyerang kerajaan.

Sepatutnya, mereka mengkaji satu persatu apa yang dibentangkan Najib dan dengan kepakaran bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri, bekas Exco, ketua menteri dan menteri besar, mereka boleh menghasilkan satu ucapan bajet yang mampu menyaingi Bajet 2017 dalam sesi perbahasan.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan pakatan pembangkang datang ke Dewan Rakyat pada hari itu bukanlah semata-mata untuk mendengar bajet, mereka sudah ada agenda politik tersendiri termasuklah berperangai seperti ‘badut-badut’ dan membawa amalan politik seperti mana sitcom ‘Bangkang Dari Longkang’ yang cukup popular dalam YouTube satu ketika dahulu.

Paling mengecewakan bagaimana perangai mereka ketika menyertai perhimpunan haram Bersih sebelum ini, begitulah juga sikap semasa di dalam Dewan Rakyat. Inilah masalahnya kalau kita mempunyai kelompok pemimpin politik yang hanya tahu mengkritik dan mencari salah serta menganggap kononnya merekalah ‘pejuang kebenaran’, paling bersih dan paling layak mentadbir negara.

Kalau benarlah mereka sehebat itu sehingga sanggup melemparkan tohmahan kononnya ‘kerajaan bankrap’ dan ‘negara gagal’, apa yang mahu ditakutkan dengan pembentangan Bajet 2017. Bukankah ia akan memberi kesempatan kepada pakatan pembangkang untuk mendedahkan bajet tersebut hanyalah rekayasa sedangkan ‘kerajaan bankrap’ dan ‘negara gagal’? Kenapa perlu membuat bising dan berperangai bagaikan kanak-kanak tadika sedang menjalani aktiviti seni mereka?

Terbuktilah apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang menunjukkan mereka semakin ‘bankrap’ modal politik dan ‘gagal’ untuk meracuni pemikiran rakyat bagi menyokong mereka. Bertindak keluar dari dewan adalah perbuatan terdesak untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka memperjuangkan ketelusan dan keadilan serta mahu menegakkan kebenaran. Hakikatnya, tindakan itu bermotif politik dan paling malang ia diikuti oleh pemimpin-pemimpin PPBM.

Namun itulah politik yang sekali gus memberikan kesempatan kepada rakyat untuk menilai sikap sebenar pembangkang termasuklah tidak wujud kesepakatan antara mereka apabila Pas membuat keputusan terus mendengar sesi pembentangan sehingga tamat.

Pas berbuat demikian kerana memahami keluar dewan bukanlah amalan politik matang, sebaliknya politik kebudak-budakkan dan tidak menghormati demokrasi serta kemuliaan Dewan Rakyat.

Pas telah melakukan tindakan tepat kerana memahami mereka berpeluang untuk menyanggah dan menegur kerajaan ketika sesi perbahasan nanti. Pas tahu apa yang boleh mereka bentangkan sebagai pandangan bagi mensejahterakan hidup rakyat dan memajmukkan negara.

Tetapi parti dalam pakatan pembangkang tidak ada niat tersebut kerana mereka hanya memperalatkan rakyat demi hasrat memerintah negara ini dengan cara menumbangkan BN. Walaupun kini mereka sudah ada individu yang bertaraf bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, namun mereka juga tahu bagaimana kesemua mereka bagaikan berada dalam selimut yang sama tetapi mimpi lain-lain dan berlayar di dalam satu bahtera tetapi tujuan entah ke mana kerana tidak pasti siapa nakhodanya! Justeru Bajet 2017 bagaikan mimpi ngeri untuk mereka.

-utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik