Wednesday, October 26, 2016

ANTARA RASUAH DAN PENGUBAHAN WANG HARAM.

ORANG yang memiliki atau menerima apa-apa wang atau harta secara

Baru-baru ini saya ditanya oleh sahabat apakah sebenarnya jenayah pengubahan wang haram (money laundering)? Kenapakah orang yang dikatakan telah melakukan rasuah dituduh melakukan jenayah pengubahan wang haram? 

Sahabat itu bertanya soalan ini selepas membaca laporan media mengenai kes seorang pegawai tinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada awal September lalu atas sembilan pertuduhan rasuah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM4.4 juta.

Jenayah pengubahan wang haram muncul pada 1920-an di Amerika Syarikat apabila sindiket penjenayah melaburkan wang haram mereka dalam perniagaan yang sah di negara itu. Dengan menggunakan wang hasil kegiatan jenayah sebagai modal, penjenayah melaburkan ia dalam perniagaan lain yang sah di sisi undang-undang. Misalnya, wang hasil rompakan, pelacuran, perjudian atau pengedaran dadah dilaburkan dalam perniagaan perhotelan, restoran atau kasino. Kegiatan ini dipanggil money laundering kerana amalan ini seolah-olahnya telah dapat `membersihkan wang yang kotor’.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mentakrif jenayah pengubahan wang haram ini sebagai satu proses di mana aset yang diperoleh dari kegiatan jenayah disembunyikan atau dialihkan kepada kegiatan lain di mana akhirnya sukar bagi aset tersebut dikesan lagi. 

Proses pengubahan wang (dari yang kotor kepada yang bersih) lazimnya melalui tiga fasa - iaitu placement (meletakkan wang itu ke satu tempat lain di mana sukar dikesan), layering (membuat pemindahan berulang atau menjual aset berulang kali) dan integration (menjadikan wang itu sebahagian dari ekonomi negara). 

Usaha membanteras jenayah pengubahan wang ada berkait rapat dengan membanteras rasuah dan jenayah menyumbang kepada keganasan (terrorism financing). Rasuah adalah salah satu sumber jenayah pengubahan wang, tetapi dana yang disumbangkan kepada keganasan mungkin wang bersih dan mungkin juga wang kotor dari kegiatan jenayah. 

Di Malaysia, undang-undang utama membanteras jenayah rasuah adalah Akta Pencegah Rasuah 1997 yang kemudian digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) manakala undang-undang utama membanteras jenayah pengubahan wang haram adalah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Akta 613 mengandungi peruntukan mengenai dua jenis kesalahan iaitu kesalahan pengubahan wang haram dan kesalahan membiayai keganasan. Selain itu, akta ini juga mengandungi peruntukan mengenai pelucuthakan harta pengganas dan harta yang terlibat dalam pengubahan wang haram dan kesalahan membiayai kegiatan keganasan.

Istilah pengubahan wang haram ditakrif secara terperinci di bawah Seksyen 3 sebagai bererti “perbuatan seseorang yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada apa-apa aktiviti haram; memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan, menggunakan, mengalihkan dari atau membawa masuk ke Malaysia hasil daripada apa-apa aktiviti haram; atau merahsiakan, menyembunyikan atau menghalang memastikan sifat sebenar, sumber, lokasi, pergerakan, pelupusan, hakmilik, hak berkenaan dengan, atau kepunyaan, hasil daripada apa-apa aktiviti haram”, 

Istilah aktiviti haram ditakrif dalam Seksyen 3 sebagai bererti mana-mana aktiviti yang berhubungan dengan kesalahan berat, manakala istilah kesalahan berat itu ditakrif pula sebagai bererti, antara lain mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta ini. 

Jadual Kedua Akta 613 ini mengandungi satu senarai panjang beberapa undang-undang lain yang kesemuanya disifatkan sebagai kesalahan berat bagi maksud kesalahan pengubahan wang haram. Antara undang-undang ini termasuklah Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penculikan 1961, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Kanun Keseksaan. 

Secara mudah, bolehlah kita katakan sekiranya seorang itu ada melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta 613, orang itu telah melakukan satu aktiviti haram kerana apa yang dilakukannya itu adalah satu kesalahan besar di bawah undang-undang berkaitan, sekali gus menjadikannya satu kesalahan pengubahan wang haram. 

Akta 613 memberi kuasa kepada agensi penguat kuasa mengeluarkan perintah pembekuaan harta dan penyitaan harta alih milik mana-mana orang yang disyaki terlibat melakukan kesalahan di bawah Akta ini. 

Di bawah seksyen 50, Pendakwa Raya diberi kuasa mengeluarkan perintah penyitaan harta alih dalam institusi kewangan. Seksyen 51 memberi kuasa untuk menyita harta tak alih, manakala seksyen 52 memberi kuasa menyita perniagaan. Seksyen 55 memberi kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah pelucuthakan harta. 

Hukuman bagi kesalahan rasuah dan kesalahan pengubahan wang haram berbeza. Di bawah Akta 694 (kesalahan rasuah), hukumannya penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah rasuah, yang mana lebih tinggi. Di bawah Akta 613 (kesalahan pengubahan wang haram), hukumannya adalah penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang dari 5 kali jumlah hasil kegiatan haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. Sebelum Akta 613 ini dipinda pada 2014, hukuman di bawah seksyen 4(1) hanyalah denda RM5 juta, penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulannya, jika ada orang memiliki atau menerima apa-apa wang atau harta secara salah, orang itu boleh didakwa dan dihukum bukan hanya di bawah akta berkenaan, bahkan juga di bawah Akta 613 ini. Selain dipenjara dan didenda, wang dan harta yang diterimanya secara haram itu boleh disita dan dirampas. Paling malang bagi pesalah, andainya mahkamah mengenakan hukuman penjara secara konsekutif (bukan serentak) di bawah dua akta yang berbeza itu, tidak mustahil dia akan meninggal dunia dalam penjara.

- utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik