Friday, October 7, 2016

BAHASA JIWA BANGSA.

Sedutan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala L


Tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencapai usia 60 tahun penubuhannya. Bahasa Melayu mempunyai hubungan sejarah yang panjang dengan kesultanan Melayu. DBP juga mempunyai hubungan sejarah dengan istana Raja Melayu. DBP ditubuhkan hasil resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada September 1956. Resolusi Kongres telah diserahkan kepada Menteri Pelajaran yang mewakili kerajaan, bertempat di Istana Besar, Johor Bahru. Acara perasmian bangunan DBP, yang berlangsung pada 25 Syaaban 1381 bersamaan 31 Januari 1962, adalah peristiwa pertama selepas merdeka, kesemua sembilan Raja Melayu berangkat hadir. Perkenan beta, menerima undangan DBP adalah satu tanggungjawab seorang raja pemerintah kepada bangsanya, dan kepada institusi yang bertanggungjawab memenuhi salah satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu, di samping, mengekalkan tradisi, peranan istana dengan perkembangan bahasa Melayu.

Hari ini, dianggarkan terdapat 7000 bahasa masih dituturkan di seluruh dunia, 10 daripadanya dipertuturkan oleh lebih 3.6 bilion penduduk dunia. Bahasa Melayu, bahasa perantaraan umum yang berakar di bumi ini, tergolong dalam kumpulan 10 bahasa tersebut, dipertuturkan oleh lebih 300 juta manusia. Bahasa Melayu telah didaulatkan dan berdaulat semenjak 2000 tahun lalu apabila wujudnya pelbagai kerajaan Melayu awal, antaranya Funan, Champa atau Kembayat Negara sehingga ke zaman kerajaan dan kesultanan Melayu Pasai, Perlak, Inderagiri, Melaka, Johor serta Johor-Riau, Patani, Brunei dan Aceh. Kedaulatan bahasa Melayu berasal usul, didaulatkan oleh raja-raja dan rakyat Melayu di Alam Melayu. 

Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu, menjadi tonggak tamadun, digunakan dalam segenap lapangan kehidupan, merangkumi pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Dalam zaman Kesultanan Melayu, untuk kali pertamanya, bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar luas penggunaannya, tulisan Jawi yang didasarkan pada aksara Arab; sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan, yang menjadi asas bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu, berkembang sebagai lingua franca, medium pengantara yang merentas sempadan kaum dan sempadan geografi. Kehebatan bahasa Melayu pada abad ke-16, dirakamkan oleh sarjana Belanda, Francois Valentijin. 

Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa adalah jiwa bangsanya. Bahasa itu sebahagian roh bangsanya, mencerminkan sejarah, adab tertib, etika dan etiket bangsa dalam sesuatu peradaban. Perkembangan tamadun sesuatu bangsa, dari segi keupayaan dan pencapaian intelek, tergambar dalam bahasa yang digunakan. Perbendaharaan kata sesuatu bahasa, menggambarkan khazanah tamadun, hubungan silang budaya yang berlaku, kisah-kisah pengembaraan, sifat-sifat keterbukaan, dinamisme, kemajuan dan tahap kemahiran teknologi, sesuatu bangsa, pada sesuatu masa. Bahasa-bahasa utama di dunia memiliki adukan perbendaharaan kata daripada pelbagai bahasa. Bahasa Melayu juga, melalui diplomasi, perdagangan dan agama, telah mengasimilasikan perkataan daripada pelbagai kaum di gugusan Kepulauan Melayu, serta perkataan dari Barat dan Timur, Arab, Parsi, Portugis, Inggeris, China dan India. Elemen pengaruh mempengaruhi telah memperkayakan bahasa Melayu, menjadikannya, bahasa yang dinamik, bahasa yang hidup, bahasa yang terus berkembang. 

Status sesuatu bahasa dalam sesebuah negara, berkait rapat dengan kuasa pemerintahan dan kuasa politik. Apabila Kesultanan Melayu hilang takhta, bahasanya juga kehilangan tempat. Penjajahan mengubah status bahasa Melayu di bumi ini. Dasar penjajah, yang tidak memberikan ruang kepada bahasa Melayu berperanan dalam urus tadbir negeri; menjadi salah satu punca, pribumi tertinggal jauh ke belakang. Kemudahan pendidikan yang disediakan dalam bahasa Melayu, dihadkan pada peringkat sekolah rendah, dengan kurikulum sekadar membolehkan anak Melayu, tahu membaca, menulis dan mengira, di samping tahu berkebun dan bertukang kayu. Akibatnya, majoriti anak Melayu berakhir sebagai petani dan tukang kayu; jika ada yang bekerja dengan kerajaan, mereka ditawarkan jawatan, penolong kerani, drebar dan peon pejabat.

Pada era pasca Perang Dunia Kedua, berlaku gerakan rakyat di seluruh dunia, menuntut kemerdekaan tanah air. Kesedaran politik yang mendorong perjuangan rakyat untuk mencapai kemerdekaan, turut menyalakan kesedaran tentang pentingnya kedudukan bahasa. Tuntutan untuk bahasa Melayu, dikembalikan bersemayam di takhta asalnya, antara agenda utama pengisian kemerdekaan. Perjuangan menobatkan bahasa Melayu, telah melalui perjalanan yang panjang dan mengambil masa lama. Raja-raja Melayu sejak mesyuarat Durbar pada 1903, telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa:

“Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.”

Titah wasiat raja-raja Melayu serta tuntutan rakyat diberikan jaminan oleh pimpinan politik negara. Ketika berucap, dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah memberikan komitmen berikut:

“....Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini untuk membuat pengakuan bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk mempertahankan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan.” 

Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein semasa berucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, memberi jaminan bahawa bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini. 

Bila kata gagal dikota, bila janji tidak ditepati, para pejuang bahasa terasa amat kecewa. Apabila pucuk pimpinan negara, memperlihatkan sikap kurang bersungguh melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan, para pejuang bahasa menyifatkan pemimpin mempersendakan mereka. Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan telah digerakkan. Pada 3 Mac 1967, bertempat di Balai Budaya, DBP, 2,000 nasionalis bangsa mewakili 120 pertubuhan Melayu berhimpun. Peristiwa tersebut dikenali sebagai peristiwa ‘api dan air mata’; api kemarahan bangsa Melayu, air mata keharuan yang dititiskan oleh Syed Nasir Ismail (Allahyarham Tun). Peristiwa tersebut turut dirujuk, ‘keranda 152’. Ucapan Datuk Mohd. Asri Muda ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa (1967) di Parlimen pada 4 Mac 1967, disifatkan sebagai pidato bersejarah yang kemudiannya dinamakan Rakyat Menggugat. Sasterawan Negara, Usman Awang mengakhiri puisi berjudul, Malam itu di Balai Budaya, dengan bait berikut:

“Malam itu juga

Parlimen jadi petanda

Memenggal leher BAHASA”

Isu bahasa, mempunyai pengaruh kuat, menentukan jatuh bangun seseorang tokoh politik ketika itu. Susulan isu bahasa, populariti Tunku menurun, terutama dalam kalangan orang Melayu. Barisan pimpinan negara, juga pimpinan UMNO membaca mesej rakyat secara tepat, lalu melakukan langkah-langkah pembetulan. 

Bahasa Melayu berjaya dikembalikan di persada yang memang miliknya. Pejuang bahasa pula, tidak sekadar berperanan sebagai kumpulan pendesak, berslogan dan berdemonstrasi, tetapi tampil ke hadapan, menyahut cabaran, mengambil tanggungjawab memperlengkapkan bahasa Melayu agar dapat memenuhi peranan sebagai bahasa kebangsaan negara. DBP, amat besar peranan dan jasanya dalam memenuhi amanah untuk memartabatkan dan memberi nilai kepada bahasa warisan bangsa ini.

Lebih 600,000 istilah dihasilkan dan sistem ejaan diselaraskan. Penerbitan penting diterjemah dan buku-buku dalam bahasa Melayu diterbitkan. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai puncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.

Negara sedang melangkah ke usia 60 tahun kemerdekaannya. Generasi pramerdeka, ramai yang telah kembali ke rahmatullah; bilangan generasi pasca merdeka juga semakin kecil. Kini lahir generasi baru dalam persekitaran dunia yang sangat berbeza. Generasi baru melihat dan mentakrif peranan bahasa dari perspektif yang sangat berbeza, bebas daripada sebarang ikatan emosi. Generasi baru, melihat bahasa hanyalah medium komunikasi, tanpa menghiraukan aspek sejarah dan dimensi jati diri bangsa. Generasi baru, dewasa dalam era komunikasi global, era inovasi teknologi serta era penemuan saintifik berlaku begitu pantas, era hubungan perniagaan dan hubungan profesional antara muka di teater antarabangsa, semakin berlaku. Dunia kini disifatkan sebagai desa buana. Bahasa yang diucap oleh ramai warga dunia, bahasa yang lebih lebar dan luas penyebarannya, semestinya memiliki nilai lebih tinggi, memiliki kelebihan politik, kelebihan ekonomi, kelebihan perdagangan, kelebihan akademik dan kelebihan budaya. 

Hakikatnya, bahasa Inggeris adalah bahasa yang memiliki segala kelebihan. Tidak ada bahasa di dunia ketika ini, yang mencapai tahap perkembangan dan dinamisme setanding bahasa Inggeris. Walaupun dari segi perangkaan penutur, bahasa Inggeris berada di tangga kedua, di bawah bahasa Mandarin, tetapi bahasa Inggeris berjaya merentasi sempadan geografi yang lebih luas, dipertuturkan di 115 negara. 

Bahasa Inggeris berkembang luas apabila Inggeris muncul sebagai kuasa dunia paling berpengaruh setelah kejatuhan Perancis, pada era imperialisme. Ketika puncak keagungan kuasanya, Inggeris menguasai hampir satu perempat bumi ini dan bahasa Inggeris diguna pakai sebagai lingua franca di seluruh Empayar Inggeris. Peranan bahasa Perancis bertambah kecil, susulan Peristiwa Pembelian Louisiana 1803. Disebabkan kekurangan dana untuk membiayai peperangan dengan Inggeris, Napoleon Bonaparte menjual wilayah milik Perancis di Amerika Utara. Penjualan tersebut, memudahkan Amerika Syarikat, menggantikan bahasa Perancis dengan bahasa Inggeris di semua jajahan terlibat. Kerana nafsu mahu meluaskan kuasa, Napoleon, bukan sahaja kehilangan wilayah milik Perancis, tetapi Perancis, turut hilang pengaruh bahasa dan pengaruh budaya di bumi Amerika. Peristiwa salah percaturan Napoleon, wajar dijadikan pengajaran, agar bangsa kita dalam suasana terdesak, jangan sama sekali menggugurkan yang sedang dikendong, kerana mengejar sesuatu yang belum pasti.

Dalam tempoh 100 tahun terakhir, teknologi baru membolehkan produk budaya dihasilkan dengan skala besar, serta disebarkan dengan lebih mudah dan cepat ke kawasan yang lebih luas. 

Kini, teknologi Internet mengupayakan bahasa Inggeris menembusi sempadan negara ciptaan manusia dan sempadan alam semula jadi, ciptaan tuhan, seperti Gunung Himalaya dan Padang Pasir Sahara. 

Dunia hari ini disifatkan sebagai syurga pengetahuan dan utopia maklumat. Usaha gigih sedang dilakukan untuk merakamkan segala penerbitan secara digital. Ibu kepada segala perpustakaan, dalam masa yang singkat akan berada dalam kocek manusia. Kandungan perpustakaan ini, dibangunkan dalam bahasa Inggeris. 

Dilema menghadapi kemaraan dan pengaruh bahasa Inggeris dialami oleh setiap negara. Negara Eropah menanggung kesakitan yang lebih awal. 

Negara dan bangsa ketika ini sedang menghadapi cabaran mengolah formula yang dapat mengimbangkan hasrat untuk mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan dengan keper‑luan melahirkan masyarakat dwibahasa. Generasi dewasa, bertanggungjawab mengolah dasar dan menyediakan program yang dapat memenuhi harapan generasi muda. Kelajuan dan kecepatan adalah kriteria amat penting, dalam menentukan fasa bertindak dalam desa buana.

Bangsa kita tidak harus tertinggal dan tidak harus dibiarkan menjadi penonton dalam kerancakan aktiviti yang pesat berlaku dalam desa buana. Bangsa kita perlu melahirkan sumber manusia yang dapat menguasai dan mengendalikan urusan-urusan di peringkat antarabangsa. Kita wajib, dan kita bertanggungjawab membangunkan barisan peguam, akauntan, pakar kewangan dan perbankan, saintis dan ahli teknologi yang berupaya mewakili, berhujah, mempertahankan kepentingan kita dalam rundingan dan urusniaga di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah, kesedaran ini, ada dalam jiwa bangsa kita. Bangsa kita juga mengakui dan menerima hakikat, pentingnya anak Melayu itu menguasai bahasa Inggeris. Perselisihan yang berlaku adalah dari segi kaedah dan pendekatan. 

Pejuang bahasa tidak boleh menerima pendekatan membakar kelambu kerana hendak membunuh nyamuk. Bahasa kebangsaan tidak harus dijadikan mangsa dipinggirkan kerana kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang kurang efektif.

Orang Melayu jangan melatah sepanjang masa. Dasar dan kaedah yang baik tidak terhasil dalam keadaan latah. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh memperingatkan, bahasa ialah khazanah suatu bangsanya yang paling tua, tercipta oleh moyang sesuatu bangsa, dan dibina kata demi kata, frasa dan ungkapan, oleh leluhur lelaki dan perempuan, moyang nelayan dan petani, moyang peramu di hutan dan juga moyang di rumah yang mengasuh anak dan memasak di tanah. Bahasa memberikan identiti bukan hanya kepada bangsa tetapi kepada negara. 

Bahasa Melayu sudah dijadikan bahasa kebangsaan di empat negara; bahasa Melayu itu, tumbuh di Nusantara ini, dan melukis jiwa, nilai dan falsafah manusia di sini. Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar dijadikan sekadar hiasan; tidak ada maknanya, jika hanya termaktub dalam satu perenggan, dalam Perlembagaan Negara. Bahasa Melayu itu wajib disuntik dengan nilai, diberi nyawa - diberi tempat.

Negara harus bijaksana melakukan perimbangan, demi memastikan warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global. Ketika menerima hakikat, pentingnya warga terutama orang Melayu menguasai bahasa yang lebih sejagat agar bangsa dapat diperkayakan dengan ilmu dan kemahiran, berhati-hatilah dengan kaedah yang dipilih agar yang dikendong tidak berciciran. Jangan nanti, bangsa menjadi Pak Kaduk, menang sorak - kampung tergadai. 

Jangan dinafikan hakikat, bahawa kejayaan meramaikan bilangan kelas menengah Melayu berlaku selepas Dasar Pelaksanaan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya. Anak-anak desa, yang bersarapan pisang goreng dan ubi rebus, nasi lemak dan pulut kukus, jarang sekali terdedah kepada bahasa Inggeris, betapa berat bagi mereka untuk memahami konsep-konsep baru, jika diajar dalam bahasa yang asing. Jangan ditidakkan, dapatan UNESCO, bahawa bahasa yang paling baik dan efisien untuk mendapatkan ilmu ialah bahasa ibunda. Ambil iktibar akan maksud yang terselindung di sebalik ayat 4 Surah Ibrahim:

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka...” 

Bangsa Melayu dan bahasa Melayu ialah bangsa dan bahasa di bumi merdeka ini. Keris yang tersisip di pinggang, gunakan jangan untuk menusuk rusuk sendiri, memungkinkan satu hari nanti, bangsa sekali lagi berlinang air mata, mengiringi jenazah bahasanya yang sudah dikafan dalam keranda, sedang menuju tanah pusara, dikorbankan atas nama pembangunan, atas nama teknologi, atas nama modenisasi, atas nama globalisasi. 

Keadaan kelihatan bertambah songsang, mengingatkan kita kepada lirik lagu, ‘Dunia sudah terbalik, pemudi berbaju belang, pemuda berbaju batik’ Pada satu masa, atas dorongan semangat kemerdekaan yang memuncak, pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menukar nama-nama jalan daripada nama tokoh-tokoh penjajah kepada para pemimpin tempatan. Hari ini, perkara yang terbalik sedang berlaku, semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh PBT, dinamakan dengan bahasa Inggeris. Betapa malangnya bangsa, melihat nasib bahasa Melayu, bagai serba tak kena, dalam dunia korporat dan dalam era globalisasi, bagaikan terbang di sayap pencarian, bagaikan mengemis di bumi sendiri. Demikian kemungkinan bahasa Melayu untuk tinggal dalam lipatan sejarah. Bahasa yang berkemungkinan kehilangan nilai ilmu, nilai pentadbiran dan nilai komersial. 

Bahasa kebangsaan, walaupun dianggap tidak mempunyai nilai antarabangsa, adalah bahasa yang bukan sahaja mampu melindungi pertalian sejarah, ia juga amat afdal untuk mendukung identiti nasional. Memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan. Semangat itu wajib terus dihidupkan, obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa. Tidak ada pihak yang boleh memadam status bahasa Melayu di bumi ini, melainkan kalangan orang Melayu yang terlebih internasional sifatnya, lantas tidak langsung menjiwai dan menghayati warisan sejarah bangsanya. Jangan sekali bersifat tulah, di sebaliknya, junjunglah titah wasiat Raja-Raja Melayu yang telah menyerahkan kuasa negeri kepada pemerintahan Persekutuan. 

Maju bahasa - majulah bangsa; Bahasa jiwa bangsa.

- Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik