Tuesday, October 11, 2016

BENDERA LAMBANG KEDAULATAN DAN JATI DIRI.

SELURUH rakyat negara ini tanpa mengira ideologi politik, kaum

BENDERA adalah simbol yang mewakili negara, negeri, orang dan organisasi. Perkataan ‘bendera’ berasal daripada perkataan Portugis iaitu ‘bandeira’ bagi menggambarkan sepotong kain bercorak yang digunakan sebagai simbol sesebuah negara atau juga suatu entiti. 

Pada awal kewujudan bendera sejak beribu-ribu tahun lalu, orang Mesir, Parsi, Yunani dan Rom membawa pelbagai objek yang dijadikan simbol tuhan atau pemerintah mereka dikibarkan pada tiang. 

Tentera Mesir purba menggunakan kain ini sebagai alat penyelaras tentera di medan perang. Namun kini, bendera lebih berfungsi sebagai simbol identiti sesebuah negara dan juga suatu entiti. Bendera negara boleh membangkitkan semangat untuk bergembira, berani dan berkorban.

Dari sudut kenegaraan, bendera mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri warganya. Justeru, kaedah dan atur cara penggunaannya perlu bersesuaian bagi menjaga nilai kedaulatan negara dan rakyatnya. Penggunaan dan kaedah yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera negara berkenaan. 

Misalnya, laporan tentang sembilan warga Australia memakai seluar renang bercorak Jalur Gemilang semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 2 Oktober lalu. Tindakan mereka itu contoh penggunaan yang salah dan tidak berbudaya. 

Adalah suatu yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras untuk menghina bendera negara sendiri dan negara orang lain terutama di khalayak ramai. Perbuatan tersebut boleh diertikan sebagai barbaric terhadap nilai hidup manusia negara ini dan sejagat.

Setiap elemen seperti rupa, warna dan susunan suatu bendera mempunyai maksud berdasarkan sosiobudaya dan sejarah sesebuah negara. Selain itu, sejarah kewujudan sesebuah reka bentuk bendera sangat berkait rapat dengan unsur-unsur keagamaan. 

Oleh kerana bendera negara mempunyai nilai kedaulatan dan lambang jati diri rakyat, maka kebanyakan negara di seluruh dunia telah menetapkan kod etika dan undang-undang bagi tata cara penggunaan bendera kebangsaan sebagai penghormatan kepada simbol rasmi negara. 

Amerika Syarikat, Australia, India, New Zealand dan pelbagai negara lagi mempunyai undang-undang berkaitan bendera kebangsaan. Malaysia juga mempunyai undang-undang berkaitan penggunaan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang. 

Undang-undang tersebut termaktub dalam Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. Mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap bendera Jalur Gemilang dengan tujuan mencemar nama baik atau menghasut boleh juga dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 (Buku Kecil: Bendera Kita Jalur Gemilang, terbitan Jabatan Penerangan Malaysia). 

Kesemua negara di dunia secara dasarnya mempunyai kaedah yang berbeza tentang cara serta etika menghormati bendera masing-masing, namun kesemuanya mempunyai persamaan iaitu bendera kebangsaan tidak boleh digunakan dengan cara yang menimbulkan keaiban atau satu keadaan yang merendahkan martabatnya. Hal ini kerana bendera kebangsaan adalah ganti diri negara dan warganya.

Di sebalik persoalan yang berkaitan dengan undang-undang, penulis juga ingin menyentuhnya dari sudut kemanusiaan. Seperti yang dibicarakan sebelum ini, bendera adalah citra sejarah dan jati diri bangsa bagi satu-satu negara. 

Timbul persoalan, bagaimana seseorang manusia yang dikatakan bertamadun boleh tidak menghiraukan perasaan rakyat negara lain dengan menghina bendera kebangsaan negara berkenaan dengan cara yang jijik sekali. Malah dalam kehidupan beragama dan kehidupan yang berteraskan nilai moral turut menolak tata laku menghina simbol negara orang lain. 

Dalam konteks ini, sembilan warga Australia yang berkelakuan songsang itu tidaklah menggambarkan sikap keseluruhan warga negara tersebut, tetapi kelakuan mereka ini sedikit sebanyak telah merosak kredibiliti rakyat negara itu di mata rakyat Malaysia. 

Di pihak rakyat Malaysia pula, insiden itu disifatkan sebagai satu asas penyatuan berkaitan sikap kita terhadap negara. Kita boleh berbeza dari sudut pendirian atau pandangan politik atau cara bagaimana menguruskan hidup,

Namun dalam hal berkaitan taat setia terhadap negara, kita perlu bersatu menyatakan pendirian tegas apabila maruah lambang negara kita, Jalur Gemilang diceroboh.

PENULIS ialah Pereka Komunikasi Visual, Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Jabatan Penerangan.

- Marzudi Md Yunus.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik