Wednesday, October 19, 2016

DEBARAN MENANTI USUL PINDAAN AKTA 355.

parlimen

Penulis yakin bahawa ramai yang berdebar-debar menanti saatnya Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang Pindaan RUU Akta 355 di Dewan Rakyat. Tidak hari ini, mungkin esok. Tidak esok, mungkin lusa. Ramai yang menanti.

Bagi mereka yang beragama Islam dan pernah mengikuti kursus perundangan Syari’ah, pastinya mereka faham dan setuju tentang keperluan meminda Akta 355. Bagi umat Islam biasa yang lain dan mengikuti perkembangan, penulis yakin ramai yang mengharap ia diluluskan badan legislatif itu.

Yang penulis hairankan, masih ada lagi kedengaran anggota dewan beragama Islam yang tidak setuju dengan usaha memperkasa undang-undang Syari’ah di negara ini. Hendak dikatakan bukan Islam, mereka memang Islam.

Entah mengapa mereka bagai tidak menyokong usul pindaan itu agaknya? Penulis tidak hairan jika yang membantah itu bukan Islam. Tapi yang beragama Islam, mengapa bantah sesuatu yang baik untuk umat Islam di negara sendiri?

Penulis sudah muak dengan cerita-cerita tangkap khalwat di hotel-hotel bajet. Diheret ke mahkamah, mereka didenda RM1,000 dan dikaunseling sedikit. Jika yang didenda itu penoreh getah, mungkin dia serik. Tapi jika yang didenda itu berpendapatan RM10,000 sebulan, mungkin ada yang memperuntukkan RM1,000 setiap bulan untuk melepaskan serakah nafsu, bukan?

Itu belum pun dilaksanakan hukum hudud yang sebenar. Belum apa-apa lagi ada yang membantah? Jika dilaksana hudud, ada yang dipotong tangan kerana mencuri, disebat 100 rotan kerana berzina, disebat 80 rotan kerana membuat tuduhan palsu orang berzina, bagaimana?

Mungkin jika hudud sebenar dilaksana, ada yang meracau-racau bersama sepanduk di depan mahkamah Syariah. Meroyan-royan di media mendakwa konon ‘batu sudah habis di Malaysia kerana hukuman rejam di dalam hudud’. Sedangkan, mereka sendiri ‘bodoh sombong’ tentang hukum Allah itu.

akta-355

Mereka tidak tahu betapa sukarnya membuat sesuatu hukuman terhadap pertuduhan berkaitan hudud. Mereka fikir ia hanya sekadar ‘beyond reasonable doubt’ seperti di mahkamah sivil? Mereka tidak tahu bahawa ‘beyond reasonable doubt’ dalam hudud lebih sukar dibuktikan?

Hukum Islam sebenarnya adalah lebih mencegah dan memberi iktibar yang lebih mendalam. Sebagai contoh, selepas seorang pencuri dipotong tangan akibat mencuri, siapa lagi yang berani mencuri selepas itu? Selepas seorang dirotan 80 sebatan (cara Islam), siapa yang berani berzina di hotel bajet lagi? Bilionaire pun tak sanggup tahan azab 100 rotan!

Tapi baru saja hendak diperkasakan Akta 355 bagi memberi pengajaran lebih kepada umat Islam dengan dipertingkatkan hukuman sedia ada, wakil rakyat beragama Islam sendiri menolak usul itu? Di mana keyakinannya terhadap hukum Allah di dalam Al-Quran agaknya?

Bagi Ahli Parlimen bukan Islam pula, jika tidak bersetuju dengan pindaan Akta 355 itu, eloklah tidak perlu ada ketika undian dibuat nanti. Duduklah di ruang legar Parlimen, atau minum kopi di kafe Parlimen. Itu lebih baik dari campur tangan tentang hal ehwal agama Islam.

Penulis faham, ada yang risau hilang undi dari masyarakat sendiri pada pilihan raya nanti. Tapi setahu penulis, belum pernah lagi dalam sejarah negara ada individu bukan Islam yang didakwa melakukan jenayah di mahkamah Syariah, bukan?

Akhirnya, penulis menyarankan kepada semua pemimpin beragama Islam dan seluruh umat Islam di negara ini supaya melakukan solat hajat, meminta padaNya agar pindaan RUU Akta 355 diluluskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Bukan apa, jika sehebat mana pun kita melaung kata setuju, biar sekuat mana pun sokongan kita pada usul itu, ia tidak mungkin akan diluluskan sebelum mendapat ‘kelulusan’ Allah SWT. Kita mungkin mampu merancang, namun Allah yang Maha Menentukan, bukan? Jom solat hajat…

- mykmu. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik