Saturday, October 22, 2016

DRAMA PARTI PEMBANGKANG MALUKAN DIRI SENDIRI.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri perangai Ahli-Ahli Parlimen pembangkang ketika beliau membentangkan Belanjawan 2017.

"Mereka memalukan diri sendiri di mata rakyat. Saya yakin rakyat dapat menilai perangai mereka.

“Kalau nak amalkan demokrasi kita mesti hormat proses demokrasi,” kata Najib ketika ditemui wartawan di lobi parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2017, pada Jumaat.

"Di negara maju kita boleh berbeza pendapat dan tapi mereka (pembangkang) tak berkelakuan sedemikian. Tindakan mereka juga mengaibkan imej parlimen.

"Kita mesti menghormati orang yang walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Tetapi kita kena bersopan dan tujuk tingkah laku mulia kerana kita ni adalah pemimpin tak kira pembangkang atau kerajaan.

"Kita ini pemimpin. Jadi pemimpin kena tunjuk tingkah laku baik, perangai baik supaya kita dihormati rakyat. Sistem demokrasi parlimen kita mesti jaga juga.

"Rakyat mesti menilai perangai mereka dan kena buat keputusan bila sampai masanya," katanya lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan pembangkang khususnya daripada Pakatan Harapan itu amat keterlaluan dan memalukan.

"Tidak senonoh, tidak bertanggungjawab dan tidak pernah terjadi dalam sejarah. Ini adalah gimik memalukan kita," katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menyifatkan tindakan keluar dewan itu sebagai helah pembangkang untuk menarik perhatian.

Menteri Pengangkutan itu berkata pembangkang sudah biasa menggunakan taktik berkenaan, namun rakyat lebih bijak menilai tindakan mereka.

"Ini helah pembangkang, rakyat sedang lihat bajet penting negara, tetapi mereka bersandiwara," katanya.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani pula menyifatkan tindakan berkenaan sebagai idea lapuk pembangkang untuk menarik perhatian.

"Ini bukan pertama kali mereka bertindak keluar ketika sesi Dewan Rakyat, kita sudah mengagak akan ada sesuatu yang ingin mereka lakukan," katanya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar kata perbuatan ahli-ahli parlimen pembangkang itu sangat biadap dan melanggar Peraturan Mesyuarat 41 (1).

“Selama 21 tahun saya jadi ahli parlimen, ini pertama kali berlaku dan tindakan keluar parlimen tidak menghormati institusi berparlimen.

“Macam mana mereka nak menghormati perlembagaan dan peraturan negara sedangkan masing-masing sudah bersumpah? Peraturan dewan pun mereka tidak hormati.

“Bajet ini juga membayar elaun mereka, adakah mereka tidak bersetuju tidak ada elaun?,”soal Noh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said menganggap tindakan ahli-ahli parlimen yang keluar pembangkang itu tak ubah seperti gengster.

"Siapa yang tak puashati, bahaslah nanti dalam Dewan Rakyat. Jika mereka berkelakuan begini, apa bezanya dengan  gengster-gengster di luar sana?"

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri pula menganggap perbuatan pembangkang itu seoalah-olah telah dirancang lebih awal.

“Mungkin seperti dirancang sebab mereka ada plakad. Kalau benar, mereka memang tidak peduli apa yang dibentang dalam Belanjawan 2017 bentang.

"Mereka tidak tunjuk kematangan. Inilah standard pembangkang negara ini, " katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamalauddin pula menganggap tindakan pembangkang memalukan dan tidak profesional.

“Malangnya mereka tidak profesional. Patut tunggu sampai habis. Bajet ni berlaku setahun sekali, kalau tak berminat mereka boleh berdebat nanti,” katanya.

Hampir kesemua Ahli Parlimen Pembangkang, kecuali PAS, keluar dewan 15 minit sebelum Perdana Menteri menamatkan pembentangan Belanjawan 2017.

Turut serta keluar dewan ialah Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.- Agendadaily.
 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik