Tuesday, October 4, 2016

ISYTIHAR DANA POLITIK LANGKAH BAIK - PENGANALISA.

Mohamed-Mustafa-Ishak_political-fund128

Cadangan parti politik mendedahkan sumber pembiayaan perlu disambut baik oleh semua kerana ia akan membantu mengukuhkan demokrasi dan ketelusan, kata penganalisis politik.

Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata, pengisytiharan sumber dana juga merupakan langkah baik mencegah rasuah.

Bagaimanapun, beliau menyarankan penyokong pembangkang diberi perlindungan supaya tidak menjadi mangsa kerajaan persekutuan atau negeri dan penyokong kerajaan pula tidak mendapat manfaat.

Bertindak balas kepada komen parti pembangkang yang menentang undang-undang pembiayaan politik, termasuk keperluan mengisytiharkan sumber dana, Mustafa berkata penderma yang menyokong parti pembangkang secara semula jadi tidak akan suka idea itu kerana takut tindak balas dari pihak kerajaan persekutuan atau negeri.

“Ia adalah satu kebimbangan yang wajar, tetapi kita juga perlu menitik berat pihak yang menerima wang daripada sumber yang tidak sah atau luar negara, seperti yang didakwa sesetengah orang,” katanya.

“Jika kita objektif dan melihat dari semua perspektif, maka tindakan mengisytiharkan sumber pembiayaan adalah sesuatu yang baik. Syarikat yang menyokong kerajaan akan berada di bawah penelitian berat rakyat.”

Kerajaan persekutuan dan negeri akan menghadapi kesukaran mewajarkan pemberian kontrak kepada penyokong mereka kerana boleh membawa syak kewujudan unsur jenayah.

Mustafa, yang juga ketua majlis politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa dengan Majlis Profesor Negara berkata, undang-undang perlu diperkenalkan untuk melindungi mereka yang membiayai parti pembangkang sebaliknya pihak yang membiaya kerajaan tidak diberi sebarang manfaat.

Tambahnya, walaupun Barisan Nasional menguasai Kerajaan Persekutuan, parti-parti pembangkang seperti Pakatan Harapan dan PAS juga menguasai kerajaan negeri, maka pembaharuan yang dicadangkan tidak memihak kepada sesiapa.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat ahli perniagaan besar mungkin takut menyokong parti pembangkang kerana akan dianiaya.

Justeru beliau mempersoal model yang akan digunakan untuk menggubal undang-undang itu.

“Contohnya, Taiwan mengamalkan undang-undang pembiayaan politik yang sangat ketat. Syarikat yang menjadi penerima tender kerajaan tidak dibenar menjadi penderma dana politik.

“Jika ini dilaksanakan di Malaysia, maka ia boleh menyebabkan kesukaran bagi BN kerana banyak syarikat besar di Malaysia mendapat projek dari kerajaan BN yang dipimpin.”

Awang Azman, yang juga penganalisis sosiobudaya berkata pertubuhan agama di Taiwan juga dihalang membuat sumbangan politik. Sekatan seumpama itu, katanya akan menjadi batu penghalang untuk parti berasaskan agama di Malaysia.

Ekoran itu Awang Azman berkata Malaysia perlu membangunkan model sendiri dan dengan meletakkan kemahuan politik untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.

- fmt.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik