Saturday, October 8, 2016

JANGAN SESEKALI DEDAH AIB SENDIRI.

TIDAK seperti sesetengah amalan agama lain yang memerlukan pengakuan dibuat kepada individu tertentu sebagai tanda penyesalan dan pengampunan dosa, Islam mengajar umatnya untuk menutup aib sendiri daripada pengetahuan orang lain termasuk kepada tokoh agama dan keluarga terdekat.

Ketua Umum Yayasan Ats Tsabat Jakarta Timur, Khalid Zeed Abdullah Basalamah berkata, perkara itu membuktikan keunikan dan toleransi dalam agama Islam bagi memelihara kemuliaan manusia, di samping memberi peluang kepada umatnya untuk bertaubat serta menginsafi kesilapan silam.

Tambah pendakwah terkemuka Indonesia itu, sebagaimana peristiwa berlaku kepada Rasulullah SAW ketika didatangi seorang wanita yang mengakui dosa dilakukan dan memohon untuk dihukum.

“Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Imran bin Hushain menceritakan, seorang perempuan dari (suku) Juhainah datang kepada Nabi yang pada ketika itu sedang mengandung hasil zina, lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, saya telah berzina, hukumlah aku”. Lalu Rasulullah bertanya, “adakah kamu sedang mengandung?” Wanita itu menjawab: “Ya.”

“Rasulullah meminta wanita terbabit pergi dan melahirkan anaknya. Tanpa dipaksa, setelah melahirkan anak, wanita itu kembali kepada Rasulullah meminta untuk dikenakan hukuman, lalu Rasulullah memerintahkan wanita itu supaya direjam dan baginda sendiri yang menyembahyangkan wanita itu.

Sahabat Rasulullah bertanya, “wanita ini telah berzina”. Lalu Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya dia telah bertaubat, nilai taubat ini jika dibahagikan kepada 70 penduduk Madinah, nescaya cukup buat mereka. Adakah engkau dapati (seorang) lebih utama daripada (perempuan) yang menyerahkan dirinya kerana Allah?” katanya.

Khalid berkata, walaupun hudud merupakan hukum syarak yang ditetapkan Allah kepada pesalah dalam Islam, namun Rasulullah mengajarkan supaya bertaubat dan tidak menceritakan keburukan kepada orang lain jika melakukan kesalahan.

“Di sini, Rasulullah menunjukkan supaya wanita itu pergi dan bertaubat, tetapi kerana dia betul-betul ingin dihukum maka dia dihukum. Kisah sama juga ditunjukkan oleh Rasulullah ketika baginda didatangi seorang meminta dihukum kerana melakukan zina.

“Rasulullah tidak terus menghukum, sebaliknya berpaling muka sebanyak empat kali. Oleh kerana lelaki itu benar-benar ingin dihukum, Rasulullah perintahkan supaya dia direjam. Diceritakan ketika sedang direjam, lelaki itu berasa sakit, dia melarikan diri. Kemudian sahabat mengejarnya lalu merejam sehingga mati. Rasulullah berkata: “mengapa kamu membunuhnya, biarkan sahaja dia pergi dan bertaubat kepada Allah”. 

“Begitu juga Islam melarang umatnya daripada mencungkil kesalahan orang lain dengan tujuan memburukkan individu tersebut, termasuk kepada isteri kita. Tidak salah kita hendak mengambil tahu urusan mereka, tetapi jangan terlalu mengawal tingkah laku mereka walaupun kita mempunyai hak, kita hanya memberi panduan, selebihnya biarlah urusan mereka dengan Allah,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, bagi menghapuskan dosa dilakukan, umat Islam perlu bertaubat di samping memperbanyakkan amal ibadah secara berterusan dan bukannya menceritakan keburukan sendiri yang hanya memberi kesan buruk terhadap diri.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap, iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan pada petang hari menjadi kafir. Ada pula yang pada petang hari dalam keadaan beriman dan ketika pagi hari menjadi kafir. Ia kerana menjual agamanya kerana sedikit keuntungan dunia.” - Riwayat Muslim 

“Jika kita melakukan maksiat, bertaubatlah, tenangkan fikiran dan perbanyakkan amalan berterusan. Ulama mengatakan untuk menghilangkan dosa adalah umpama membersihkan air kotor di dalam gelas, caranya adalah menuangkan air bersih sebanyak mungkin supaya air kotor itu keluar, seterusnya hilang. 

“Jangan pula kita melakukan kebaikan dalam masa sama melakukan kejahatan kerana air yang kotor itu tidak akan bersih, malah tidak akan merasakan nikmat kemanisan ibadah itu bagi mereka yang mempunyai dosa dalam hatinya walaupun sedikit.

“Seorang ulama bernama Hasan al-Basri berkata: “Jika kita merasakan kematian, pastinya kita akan memohon kepada Allah agar dihidupkan kembali walau untuk seketika bagi menginsafi dosa dan menghabiskan masa dengan beribadah,” katanya.

- Mohd. Shah.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik