Monday, October 10, 2016

KEKUATAN KEROHANIAN MEMBENA KEJUJURAN.

Kalau hendak mendapat ketenangan dalam hidup pastikan ada tiga perkara: tujuan, konsep dan fokus hidup. Tujuan hidup kita ini untuk mendapat reda Allah, mendapat khusnulkhatimah dan hendak melihat wajah Allah. Jika apa-apa yang kita buat dengan tujuan tersebut, kita akan melaksanakan segala kerja kita dengan ikhlas, jujur dan amanah. Kita tidak akan menyeleweng walaupun, kita berpeluang melakukannya. Hal ini adalah kerana kita yakin tujuan hidup kita ini hanya untuk Allah; mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

Orang yang yakin kepada Allah akan yakin ada malaikat yang mencatat segala perbuatan baik dan buruk yang kita lakukan, sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi. Oleh sebab itu orang yang jujur, berani mengakui kesilapan diri dan tidak akan berbohong untuk mencipta alasan bagi mengelakkan tindakan buruk yang bakal diterimanya.

Contohnya, kalau kita seorang pekerja, kita datang lambat kerana terlambat bangun; akui sahaja di hadapan penyelia kita, kita lambat sebab apa sebenarnya. Tidak perlu kita memberikan alasan kesesakan lalu lintas, kenderaan kita rosak dan sebagainya. Kalau kita membuat kesilapan mengaku sahaja, sebab lagi kurang kejujuran lagi banyak alasan. Kejujuran akan menentukan cara hidup dan masa hadapan kita di akhirat kelak.

Biarlah orang tengok kita tidak bagus tetapi, di mata Allah kita mulia, kerana kita seorang yang jujur kepada diri kita dan orang sekeliling kita. Adakah kita berasa seronok hendak bersolat atau bersolat itu sesuatu yang membebankan. Orang yang mendapat hidup barakah, kalau membuat salah berasa resah, segera bertaubat, perbanyakkan membuat kebaikan, dan sentiasa melakukan perkara yang betul, (yang Allah reda) dengan cara yang betul (ikut syariat).

Kedua, kalau mahukan ketenangan hidup, mesti ada konsep hidup. Iaitu konsep hidup, sentiasa memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Kalau kita hidup berniat hendak sentiasa memberi manfaat, kita sendiri akan rajin. Rajin menjaga kesihatan diri (dari segi fizikal) dan rajin mencari ilmu ( bagi memenuhi dalaman kita) serta rajin bekerja, (bagi mencari pendapatan). Dengan tiga konsep kerajinan itu barulah kita mampu memiliki sesuatu kelebihan yang boleh kita berikan manfaatnya kepada diri kita dan orang lain.

Kekosongan

Ketiga, mesti ada fokus hidup. Manusia penat sebab tidak ada fokus, salah fokus atau gagal fokus. Sebab kualiti hidup kita negatif atau positif bergantung pada fokus kita. Fokus kualiti hubungan komunikasi kita dengan manusia menentukan kualiti hidup kita di dunia, dan kualiti fokus solat kita menentukan kualiti ibadah kita dan hubungan kita dengan Allah. Lihat diri kita setiap saat adakah apa-apa yang kita lakukan sama ada untuk hubungan kita dengan sesama manusia atau untuk hubungan kita dengan Allah, dilakukan dengan penuh kejujuran, kasih sayang atau kebencian dan kemarahan.

Fokus apa yang kita buat semuanya kerana dan untuk Allah. Manusia ini hanya sebagai laluan dan akhirnya kita nampak manfaatnya untuk Allah sahaja. Siapa tidak ada Allah dalam hatinya akan rasa kekosongan dalam hidupnya dan hati tidak tenang. Dalam hidup kita ini tidak cukup hanya dengan IQ (Intelligence Quotient) dan EQ (Emotional Quatient) sahaja tetapi, kita perlukan SI (Spiritual Intelligence). Dengan IQ (Intelligence Quotient) kita boleh berfikir. Iaitu kebolehan atau kecerdasan intelektual seseorang, memikirkan, menganalisis, menghuraikan, menterjemah dan menguasai sesuatu perkara dan fakta sama ada baik atau buruk. Dengan EQ (Emotional Quatient) pula kita boleh mengawal emosi.

Iaitu kebolehan atau kecerdasan emosi seseorang untuk mengawal, memberi reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi. Sedangkan SI (Spiritual Intelligence) pula adalah kebijaksanaan dan kebolehan kerohanian kita mengawal dan memberikan interpretasi positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku kepada kita. Iaitu diyakini sebagai takdir dan ketentuan Allah Yang Masa Kuasa bagi sekalian alam.

Orang yang tinggi SI (Spiritual Intelligence), apa-apa yang berlaku ke atas kita, kita akan fikir, rasa dan hayati, apa yang boleh kita belajar daripada peristiwa itu dan, apakah mesej yang Allah hendak bagi kepada kita dan adakah kekuatan intelektual kita sedang dicuba Allah? Kita akan fikir, rasa dan hayati bahawa hidup ini hanya satu ujian Allah dan, setakat manakah kita mampu menerima ujian itu dengan reda di samping bermuhasabah diri.

Orang yang hebat dan tinggi tahap ketakwaan dan keimanannya ialah orang yang memiliki ketiga-tiganya, iaitu tahap IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quatient) dan SI (Spiritual Intelligence) yang tinggi. Lazimnya untuk mendapatkan orang yang memiliki IQ (Intelligence Quotient) yang tinggi lebih mudah, berbanding untuk mendapatkan orang yang mempunyai EQ (Emotional Quatient) yang tinggi. Demikianlah, apatah lagi untuk mendapat orang yang ada dalam dirinya SI (Spiritual Intelligence), memang sukar.

Terutama apabila berhadapan dengan perkara yang melibatkan atau yang mengukur kejujuran seseorang. Sebab itu hanya orang yang ada SI (Spiritual Intelligence) yang tinggi sahaja yang boleh mengendalikan dan mengawal kejujuran dalam hidupnya. Dalam usaha kita mengendalikan dan mengawal kejujuran itu ada tiga keadaan. Pertama, orang yang jujur akan jujur melihat diri sendiri. Jujur kerana berani melihat diri sendiri, dari segi kesilapan, kelemahan, keaiban dan dosa-dosa diri pada masa lalu (masa kita muda dahulu atau masa silam).

Apabila kita berani melihat dosa-dosa kita pada masa silam, kita pasti tidak ada masa dan tidak berani untuk melihat dosa orang lain. Kalau kita sekarang melihat orang melakukan dosa, kita tidak akan mengata mereka, sebaliknya kita akan bermuhasabah diri, bahawa kita dahulu pun banyak buat dosa macam mereka juga. Kita akan menjadi orang yang tidak suka mengata orang tetapi, banyak melihat diri sendiri.

Kedua, jujur melihat dan menerima kelemahan diri kita dan, kita niatkan untuk memperbaiki diri. Ketiga, jujur dalam berinteraksi (nilai integriti yang tinggi). Ingatlah, tidak guna kalau kita pandai tetapi, kita bukan seorang yang jujur. Jom buat catatan: buat sasaran, buat latihan, dan buat evaluasi diri dalam tekad pembaikan diri. Jika tidak sia-sia hidup jika tidak ada penambahbaikan diri. Setiap hari mesti ada sasaran apa akan dicapai daripada segi akhlak dan manfaat kepada diri dan kepada orang lain.

Kejujuran mulakan dengan kesyukuran. Sebab kita yakin yang segala kita lakukan atas rahmat Allah. Syukur kita tahu mana yg betul salah. Jadikan kejujuran dan kesyukuran sebagai matlamat hidup kita. Orang yang tidak bersyukur telah kufur nikmat, kerana tidak mensyukuri nikmat Allah yang terlalu banyak.

Tanda tidak bersyukur adalah mengeluh, merungut, mengutuk dan mengumpat. Jom audit diri penuhi hati dengan kesyukuran dan jadikan diri kita sentiasa berzikir dan bertaubat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- Muhaya Muhamad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik