Wednesday, October 26, 2016

KEMATANGAN BERPOLITIK HADI.

PERHIMPUNAN Bersih 5.0 ingin dijadikan gelanggang untuk menghina

KENYATAAN Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) di Parlimen baru-baru ini bersifat berani dan matang. Pendirian Pas menolak Bersih 5.0 adalah juga pendirian yang berani dan matang. Ini selari dengan pendirian baru Pas yang mengambil pendekatan matang dan sejahtera.

Kematangan pendirian ini dilihat di sebalik mengapa wujudnya GST dan latar belakang yang tersirat mengapa GST ditentang. Ia melibatkan kelompok peniaga dan usahawan yang cuba mengelakkan cukai dan memanipulasi harga barang supaya rakyat menjadikan GST sebagai sebab dan menimbulkan kebencian politik rakyat terhadap kerajaan. Setengah kelompok pembangkang menggunakan isu ini untuk menggulingkan kerajaan.

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang mengalami proses transformasi ke arah negara maju memerlukan dukungan semua pihak supaya dalam konteks bina negara sumbangan dan peranan yang diberi amat dituntut supaya kestabilan negara terus wujud.

Jangan kita hanya mengharapkan negara membangun sedangkan sumbangan kita hanya ke arah membantutkan pertumbuhan ekonomi dan menyusahkan rakyat. Keresahan rakyat dijadikan modal politik untuk digerakkan dalam Bersih 5.0.

Kedudukan ekonomi negara yang sifatnya tidak menentu menyebabkan kedudukan harga minyak yang menjadi sumbangan utama ekonomi negara terjejas. Dan ini akan menjejaskan sama pengurusan bajet negara dan memberi kesan kepada rakyat.

GST menjadi salah satu faktor penyelamat bajet negara seperti yang tercermin dalam pembentangan bajet 2017 yang baru berlangsung. Kalau tidak bagaimana kerajaan ingin membelanjakan pembinaan prasarana untuk menggiatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi fokus kepada keperluan dan kepentingan rakyat.

Pas juga mengambil pendirian menolak Bersih 5.0 kerana Abdul Hadi berpendapat apa yang berlaku di Asia Barat mengenai Arab Spring mempunyai kaitan dengan strategi pihak luar menimbulkan kekacauan. Meskipun pada masa lalu Pas terlibat, namun kematangan parti itu menilai menyebabkan Pas membuat kesimpulan ia tidak patut disertai.

Memang bagi mereka yang mengkaji perjalanan Bersih mempunyai agenda yang tidak baik. Sama ada yang mendapat dukungan dari pihak luar, ia ingin menimbulkan kekacauan supaya Malaysia berada dalam keadaan yang tidak stabil dan memungkinkan campur tangan pihak luar atau menyebabkan krisis dalaman terjadi.

Bayangkan kalau kumpulan baju kuning akibat provokasi bertempur dengan kumpulan baju merah, ia boleh menimbulkan kekacauan dalam negara. Jika ini terjadi untuk meleraikannya bukan satu perkara yang mudah.

Jalan yang terbaik bukan saja menyekat kumpulan baju merah daripada terlibat melakukan perhimpunan tetapi terlebih dahulu kumpulan baju kuning harus disekat daripada melakukan perhimpunan. Ketegasan pihak berkuasa amat dituntut kerana mencegah daripada berlaku adalah langkah terbaik mengubati sesuatu krisis.

Penulis yakin peringatan Abdul Hadi dan Pas itu membayangkan rasa prihatin yang tinggi terhadap keselamatan dan ketenteraman negara. Pihak luar yang bersekongkol dengan pihak dalam negeri yang berkepentingan akan terus melakukan provokasi dan penentangan di luar proses demokrasi untuk menjatuhkan kerajaan yang ada.

Mereka tidak bersedia menunggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengikut proses demokrasi sebaliknya melakukan kegiatan kepembangkangan dengan pelbagai cara yang boleh memecahbelahkan rakyat. Tindakan pembangkang keluar dari Dewan Rakyat sewaktu Perdana Menteri membentangkan Bajet 2017 adalah suatu contoh tentang budaya protes jalanan yang ditunjukkan.

Warga Malaysia yang prihatin akan sentiasa memikirkan bagaimana keamanan di Malaysia dapat dikekalkan dan sentiasa bersyukur dan memperbaiki kelemahan yang ada. Terdapat sekelompok lagi yang hidup senang-lenang dan tidak cukup dengan apa yang ada bersifat tamak tanpa memikirkan perihal orang lain.

GST dijadikan sebab harga barangan dinaikkan dan menyebabkan kesulitan kepada pengguna dan menyebabkan pengguna menjadi resah. Bersih 5.0 ingin dijadikan gelanggang untuk menghina dan mengutuk kepimpinan negara sebagai persiapan awal menghadapi PRU-14 nanti. 

Ini boleh menyebabkan hubungan kelompok dan kaum menjadi tegang dan ia tidak baik di tengah-tengah kemelut ekonomi yang sedang dihadapi. Justeru tindakan tegas kerajaan yang berkuasa amat ditunggu.

- UtusanOnline.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik