Friday, October 14, 2016

KENAPA MAHU MUDARATKAN NEGARA?

SIRI jelajah Bersih 5.0 gagal mendapat sambutan selepas disertai

“Buahnya berulat dan beracun membunuh mangsanya lebih dahsyat daripada wabak penyakit biasa sehingga meragut mangsanya tanpa batas. Banyak darah yang telah mengalir korban yang gugur, menjadi pelarian serta menunggu giliran (untuk dibunuh).’’

Perumpamaan itu dinyatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan puak-puak tertentu khususnya yang berhasrat mengadakan demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan.

Peringatan itu diberikan ketika parti-parti pembangkang lain menaruh harapan agar Pas bersama-sama mereka turun ke jalanan pada 19 November ini bagi menyertai perhimpunan haram Bersih, namun Pas semakin sedar dan insaf apa yang akan dilakukan itu tidak akan memberi manfaat kepada negara.

Sebaliknya, ia boleh dianggap tindakan berterusan bagi menggugat ketenteraman dan kedamaian negara ini, apatah lagi demonstrasi jalanan adalah perbuatan yang selama ini amat asing untuk rakyat Malaysia. Bagaimanapun kononnya atas matlamat menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil maka himpunan jalanan menjadi platform kepada puak-puak tertentu bagi mencapai matlamat politik mereka. Tidak payahlah mana-mana pihak cuba menafikan Bersih 5.0 bukan bermotif politik. Semua orang tahu kenapa ia diadakan dan siapa menyokong mereka.

Sebagai salah satu pihak yang pernah bersama-sama mengerahkan penyokongnya menyertai himpunan haram tersebut suatu ketika dahulu, Pas sudah pastilah memahami muslihat di sebalik himpunan itu. Oleh itu, Pas tidak mahu terlibat lagi dalam satu perbuatan yang boleh dianggap mampu mengundang malapetaka kepada negara. Atas sebab itulah dalam kenyataannya, Abdul Hadi mengimbas kembali bahana ‘Arab Spring’ bermula daripada apa yang dinamakan Revolusi Agung Bangsa Arab pada 1916 hinggalah pergolakan yang berlaku di Syria ketika ini.

Ternyata kalau semua itu dikaji, jelaslah ‘Arab Spring’ atau lebih tepat lagi gerakan menggulingkan kerajaan melalui proses di luar demokrasi tidak akan memberi manfaat kepada sesebuah negara.

Penulis tidak mahu mengaitkan Bersih dengan usaha tersebut tetapi kita berhak bertanya apa sebenarnya Bersih mahu? Kalau mahu menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, bagaimana sehingga ke hari ini Kelantan masih berada dalam genggaman Pas? Mana mungkin DAP yang adalah penyokong kuat Bersih boleh terus memerintah Pulau Pinang? Bagaimana pula dengan Selangor yang terus selesa berada di bawah PKR? Kalaulah dibimbangi pilihan raya tidak bersih kenapa kelompok kaum tertentu begitu bersemangat mendaftar pengundi-pengundi mereka? Oleh itu, tidak payahlah menggunakan alasan pilihan raya sebagai ‘senjata’ untuk menghasut rakyat turun ke jalanan. Hakikat sebenarnya, Bersih adalah agenda politik pihak tertentu, tidak ada hujah lain.

Namun begitu kita percaya, apapun peringatan atau amaran termasuklah yang dibuat oleh Abdul Hadi tidak akan memberi kesan kepada puak-puak berkenaan kerana matlamat mereka bukanlah ‘benar-benar bersih untuk rakyat’ tetapi bagi mencapai matlamat politik mereka. Justeru kelompok seumpama ini tidak boleh dibiarkan. Kalaulah perhimpunan tersebut tidak mendapat permit polis atau melanggar undang-undang maka tindakan tegas perlu dilakukan oleh pihak berkuasa. Sampai bila kita harus berkompromi dengan puak-puak ini yang kononnya bijak undang-undang tetapi jahil untuk mematuhinya.

Kalaulah mereka berasa hebat dan kini sokongan majoriti rakyat bersama pembangkang, tiada apa yang perlu dibimbangi. Senario kecenderungan ini pernah berlaku dalam pilihan raya umum 1990,1995,2008 dan 2013, biarlah rakyat menentukan siapa yang mereka mahu memerintah negara ini. 

Lagipun bukankah pembangkang semakin diperkuatkan dengan kehadiran bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Presiden UMNO iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka adalah tokoh yang hebat belaka dan dianggap boleh membantu pakatan pembangkang mencapai impian mereka menawan Putrajaya. Tetapi parti-parti pembangkang dengan disokong oleh Bersih amat memahami kerapuhan kesepakatan mereka. Antara mereka sebenarnya memperalatkan satu sama lain. Soalnya, siapakah yang akan untung?

Jika Pas bersetuju menurun ‘bala tenteranya’ untuk sama-sama terpekik terlolong di jalanan pada 19 November ini, adakah ketika pilihan raya, parti-parti pembangkang lain akan memastikan Pas mendapat ganjarannya? Yang beria-ia benar mahu turun ke jalanan ini siapa? Dan apa tujuan mereka?

Sebenarnya, dalam apa pun situasinya yang akan terus rugi dan berada di jurang ‘menang sorak kampung tergadai’ adalah orang Melayu. Perpecahan politik sesama mereka jika dibiarkan boleh membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan. Kini wujud pula sebuah lagi parti akibat perpecahan dalam kalangan orang Melayu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Maknanya, dalam parti pembangkang kini ada empat parti yang ahlinya majoriti orang Melayu iaitu Pas, PKR, PPBM dan PAN manakala di luar pula ada UMNO. Perpecahan inilah yang membuka ruang untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan bagi menjatuhkan kerajaan yang UMNO menjadi tonggaknya.

Apapun gerakan ‘Arab Spring’ mahupun demonstrasi jalanan jika dibiarkan boleh mendatangkan seribu satu keburukan kepada negara ini. Dalam apa keadaan sekalipun biarlah pilihan raya menjadi medan penentu sesebuah kerajaan. Kalaulah puak-puak ini begitu percaya dan yakin serta sering melaung-laungkan bahawa ‘suara rakyat adalah suara keramat’, maka carilah jalan lain bagi ‘meraih suara’ tersebut bukanlah melakukan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Dari: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik