Friday, October 21, 2016

PAS ULANGI ENGGAN TERLIBAT GULINGKAN KERAJAAN ATAU NAJIB....

PAS mengulangi pendirian parti tersebut tidak mahu berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menggulingkan kerajaan ataupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam ucapan sulung di Kelantan selepas baru dua minggu dilantik menerajui jawatan tertinggi PAS itu, berkata parti itu sudah membuat pelbagai jenis kerjasama sebelum ini dan terbukti ia tidak memberikan hasil.
 
“Kamu ajak kami berpadu, nak tukar kerajaan, nak ganti PM. Saya nak kata, kami tak boleh terima. Dulu kami dah cuba macam-macam, masuk dalam BN, kemudian berpakat dengan pembangkang, semua tak jadi," katanya dalam majlis sambutan 26 tahun kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS, di Kota Bharu, malam tadi. 
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas merujuk usaha PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendekati PAS bagi memastikan tiada pertindihan kerusi di kalangan pembangkang menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
 
Baru-baru ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hanya satu cara sahaja BN boleh dikalahkan iaitu dengan menggunakan satu simbol, satu manifesto dan satu calon melawan BN.
 
Pada awal 1990an, PAS pernah bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, gabungan yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, sebelum beliau membubarkan parti itu. 
 
Selepas 2008, PAS turut serta dengan PKR dan DAP di bawah Pakatan Rakyat, gabungan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditamatkan selepas pertikaman lidah PAS-DAP mengenai usaha memperkenalkan hudud.
 
Hashim berkata PAS tidak mahu lagi terus menjadi pengikut kepada mana-mana pihak kerana ia mahu menjadi pemimpin, bukan dipimpin.
 
“PAS tak boleh dah bagi orang lain duduk depan, orang dok pimpin kita, kita kena jadi pemimpin, PAS kena jadi pemimpin,” kata bekas pesuruhjaya PAS Perlis itu yang kini merupakan mursyidul am PAS yang ke-4 selepas kematian Datuk Dr Haron Din bulan lalu.
 
Katanya, PAS tidak kisah kalau ada kumpulan lain yang mahu bersamanya.
 
“Orang tak ikut tak apa… Kita yakin kalau kita tolong Allah, Allah akan tolong kita,” kata Hashim.

- Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik