Tuesday, October 4, 2016

PENJAJAHAN ALAF BARU.

Dunia alaf baru banyak mengubah manusia dan sifat kemanusiaan. Perkembangan pesat teknologi menjadikan dunia ini semakin kecil. Negara diseluruh dunia menjadi jiran sekampung. Apa yang berlaku di seberang kampong dapat diketahui dengan cepat dan pantas.

Konsep kemerdekaan sesebuah negara seperti sudah tidak bernilai  dan diguna pakai. Sebarang campurtangan kuasa besar terhadap negara-negara kecil dan lemah samada secara langsung atau tidak langsung boleh mengubah kepimpinan sesebuah kerajaan tertentu oleh kuasa asing. 

Begitulah dunia abad 21 yang kita tinggal sekarang, kemajuan teknologi tidak membimbing manusia bertindak dengan penuh sifat kemanusiaan. 

Apatah lagi apabila tumbangnya komunisme  di Blok Timur menjadikan dunia ini dikuasai oleh satu kuasa besar atau unipolar, dan pihak kapitalis yang menang mula menunjukkan taring sebenar mereka dalam menentukan bagaimana dunia ini dicorakkan. Sudah tentu kapitalis rakus ini ingin dunia tunduk pada satu sistem iaitu sistem yang mereka ciptakan. 

Justeru itu globalisasi dibentuk dan diperkenalkan oleh negara-negara kapitalis untuk mereka menguasai dunia. Tidak ada sesuatu pun yang mereka buat melainkan ada kepentingan untuk mereka.

Jelas sekali mereka tidak pernah melupakan niat untuk menguasai dunia kembali seperti mereka pernah lakukan ketika zaman imperalis. Walaupun mereka tidak menakluk secara fizikal, namun campur tangan dalam menentukan dasar-dasar sesebuah negara agar patuh pada kehendak mereka adalah sama seperti penjajah. Jika perlu mereka tidak segan silu mengunakan kuasa ketenteraan untuk menceroboh dan menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat. Begitulah hipokritnya amalan demokratik yang mereka amalkan. 

Sejak selepas perang dunia kedua ekonomi Asia Timur berkembang dengan amat pesat. Negara-negara Asia Tenggara, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan telah mencapai kemajuan yang pesat dan amat membanggakan. Apa yang lebih membanggakan negara China telah meninggalkan sistem ekonomi sosialis dan menerima pakai sistem pasaran terbuka walaupun tidak sepenuhnya. 

Namun kapitalis ini begitu bernafsu melihat wilayah yang pernah ditakluk oleh mereka dahulu kini mencapai kemerdekaan dan maju dan serta mampu menghalang nafsu rakus mereka mengeksploitasi. Tidak puas dengan agensi antarabangsa dan pertubuhan badan-badan bukan kerajaan sebagai agen mereka dalam usaha menidakkan kebebasan negara-negara yang baru merdeka ini, mereka mendakwa sempadan negara tidak penting lagi dan berharap mereka dapat kembali untuk menguasai semula tanah-tanah jajahan mereka dahulu.

Kapitalis Barat mentafsirkan dunia tanpa sempadan atau globalisasi sebagai satu kebebasan bagi modal melintasi sempadan tanpa peraturan atau syarat untuk negara-negara yang bebas dan berdaulat melindungi diri. Oleh kerana negara miskin tidak mempunyai modal, kebebasan ini tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka. Selain daripada modal tidak ada kebebasan melintasi sempadan. Rakyat negara miskin tidak boleh berhijrah ke negara kaya. Amalan globalisasi mereka jelas hanya mementingakan diri mereka sahaja. 

Dakwaan mereka kemasukan modal akan memberi pulangan besar kepada negara miskin, namun mereka tidak menyebut apa yang berlaku apabila modal ditarik keluar secara mendadak. Negara-negara yang sederhana maju pun boleh menjadi miskin dan merana dalam sekelip mata.

Inilah yang dilakukan ketika krisis kewangan di Asia Timur 1998. Kononnya negara-negara Timur ini tidak ditadbir dengan telus dan baik maka mereka diramal akan mengalami kemerosotan ekonomi. Untuk mengelak daripada kerugian, pelabur asing menarik keluar dana mereka dan spekulator mata wang menjual wang yang kononnya dimiliki oleh mereka dalam pasaran wang secara mendadak. Dengan tindakan ini maka kemerosotan ekonomi negara-negara ini dan beruntunglah mereka yang menjual saham dan wang yang kononnya mereka miliki.

Itulah sikap kapitalis, tidak ada suatu konsep dagangan wang yang mereka ciptakan di dunia ini melainkan hanya mementingkan keuntungan mereka. Pentadbiran yang dikatakan tidak cekap, tidak telus, rasuah dan kronisme hanyalah alasan ciptaan mereka untuk menghalalkan serangan mata wang yang disebabkan oleh penyangak mata wang menjual secara besar-besaran mata wang negara-negara ini serta pemain pasaran saham yang menjual secara jualan singkat atau "short-selling" saham dalam bursa saham.

Walaupun ini semua jelas membawa malapetaka ekonomi tetapi pihak-pihak tertentu masih enggan meminda sistem kewangan antarabangsa. Mereka ingin mengekalkan sistem kapitais supaya mereka dapat terus meraih keuntungan bagi diri mereka dan tidak ada sesiapa mampu menghalang tindakan zalim mereka. 

Sesungguhnya sistem kewangan antarabangsa dan dunia tanpa sempadan atau globalisasi menjadi ancaman dan cabaran kepada negara kecil seperti kita. Hari ini kita sudah melihat kesannya apa yang dibimbangi oleh dunia dahulu. BUKANLAH BERMAKSUD KITA MENOLAK GLOBALISASI secara total tetapi kita berpendapat tafsiran yang hanya memberi kebebasan kepada pemodal-pemodal kapitalis  MELINTASI SEMPADAN TANPA BATASAN  adalah amat merbahaya.

Adalah amat berbahaya dan menakutkan jika mereka yang mempunyai kuasa wang boleh menentukan sesuatu pentadbiran dalam sesebuah negara. Tidak mustahil ini juga akan berlaku apabila gergasi-gergasi asing sudah menguasai ekonomi dunia sepenuhnya. Tiap gergasi ini adalah beribu  kali lebih besar kemampuan mereka dari segi kewangan dari majoriti negara-negara membangun.

Negara kita Malaysia sehingga hari ini menjadi sasaran media asing yang tidak berhenti-henti memburukkan negara ini. Semua yang baik kita lakukan untuk rakyat dan negara dikecam oleh mereka. Pelbagai fitnah dan tohmahan dikenakan kepada pucuk pimpinan negara semata-mata ingin menjatuhkan negara apatah lagi negara kita ini sebuah negara Islam. Tumbangnya satu persatu negara Islam hari ini membenarkan apa yang kita bimbangi selama ini. 

Sejauh mana kita dapat mempertahankan kebebasan dan kedaulatan tanahair kita adalah berdasarkan kemampuan kita mengekalkan jatidiri menangkis segala tohmahan dan serangan mereka melalui media antarabangsa yang sudah tentunya bias dan berat sebelah. 

RAKYAT YANG MERDEKA MELAMBANGKAN NEGARA BERDAULAT
- Friend Of Kedaulatan.

2 comments:

  1. Tak payahncerita pasal anasir luar. Kat dalam negara sendiri pun sebenarnya kita telah dijajah oleh bukan melayu. Berapa kerat orang melayu yg mempunyai aset. Orang kita sendiri yg menggadaikan tanah air sendiri. Pemimpin lebih memandang duit memenuhi poket daripada survival bangsa sendiri.

    ReplyDelete

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik