Sunday, October 9, 2016

PERTAHANKAN BAHASA KEBANGSAAN.

SELAIN identiti, sejarah Kerinchi juga dilihat semakin tenggelam

Masalah tidak memperkasa bahasa kebangsaan terus mendapat perhatian ramai pihak berikutan banyak nama tempat, kawasan perumahan dan rancangan televisyen menggunakan bahasa asing.

Bahasa Inggeris dilihat terus menjadi pilihan terutama syarikat pemaju untuk menamakan sesuatu tempat kerana mendakwa nilai komersialnya lebih tinggi.

Sikap tersebut dilihat salah satu faktor mengurangkan jati diri individu terutama dalam aspek cintakan tanah air dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Prof. Madya Dr. Amer Shakir Zainol (gambar), konteks penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dilihat semula pada sejarahnya.

Beliau berkata, bahasa Melayu merupakan lambang perpaduan di awal kemerdekaan tanah air, kerana pada waktu itu tidak timbul persoalan untuk mengangkat sebarang bahasa bagi dijadikan bahasa kebangsaan.

“Antara intipati perjanjian kemerdekaan, misalnya persetujuan semua kaum untuk menetap di Tanah Melayu adalah bahasa Melayu dipersetujui semua orang untuk dijadikan sebagai bahasa kebangsaan.

“Negara kita unik kerana mempunyai pelbagai kaum terutama Melayu, Cina dan India yang jelas berbeza agama, budaya dan bahasa tetapi boleh wujud perpaduan apabila semua bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk mencapai kemerdekaan.

“Tetapi akhir-akhir ini, banyak isu ditimbulkan. Dahulu pernah heboh tentang ‘bahasa rojak’ dan sewenang-wenangnya ada pihak mengambil bahasa asing untuk ‘dicampuradukkan’ ke dalam bahasa Melayu. Itulah, yang mengurangkan jati diri sesuatu bangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Tambah beliau, pemimpin di sesuatu kawasan perlu mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang tinggi untuk memperkasa dan mempertahan bahasa Melayu.

“Kesedaran perlu ada dalam mempertahan bahasa kebangsaan. Contohnya, pertukaran nama-nama jalan di sekitar Kuala Lumpur menggunakan nama Yang DiPertuan Agong sebelum ini.

“Justeru, sesiapa yang menjadi penggubal dasar, pemegang kuasa dan individu bertanggungawab perlu mempunyai jati diri, selain memainkan peranan untuk mempertahan bahasa kebangsaan.

“Yang penting, mereka harus tahu keperluan dan kepentingan untuk menggunakan bahasa Inggeris mestilah di tempat dan masa yang betul. Kita harus ingat, jasa pejuang dahulu yang berjuang untuk tanah air, bukannya orang putih,” tegasnya.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik