Friday, October 14, 2016

VIRAL MEDIA SOCIAL DARI SEGI UNDANG-UNDANG...

PENGGUNAAN media sosial pada abad ini bukanlah sesuatu perkara baharu. Tidak kira peringkat umur, bangsa dan sama ada di bandar mahu pun luar bandar, umumnya seorang individu pasti memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Facebook, Instagram atau Twitter - semua ini bukan lagi alien, malah seseorang individu akan berasa ketinggalan sekiranya tidak mempunyai akaun media sosial.

Pada kali ini, penulis ingin berbincang berkenaan penyebaran atau perkongsian cerita, berita, video grafik dan gambar menerusi media sosial atau istilah popularnya ‘viral’. Sepertimana yang pembaca sedia maklum, viral adalah kesan ledakan maklumat tanpa sempadan dan had, hasil sampingan perkembangan teknologi komunikasi pada abad ini. Bagi penulis, ledakan teknologi maklumat dan media baharu pada masa ini sudah menjadi trend yang perlu diterima dan sukar untuk dibendung. Oleh itu, ia perlu ditangani dengan baik. Penyebaran maklumat melalui media sosial terutamanya perkongsian menerusi laman blog, Facebook, Twitter, ataupun Instagram memudahkan sesuatu perkara menjadi sangat popular dan diketahui dengan pantas. Malah, maklumat tersebut juga boleh diakses oleh mana-mana individu di seluruh pelosok dunia.

Oleh itu, setiap individu perlu bertanggungjawab setiap kali mahu memuat turun maklumat untuk dikongsi dalam media sosial. Ini untuk menghindarkan maklumat fitnah atau rekaan dari dikongsi. Dalam era ledakan maklumat, media sosial sering dijadikan medium penyebar fitnah dan maklumat palsu pihak tertentu. Tindakan yang mempunyai agenda tersendiri ini, boleh mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan rakyat. Anehnya, tanpa usul periksa sama ada maklumat yang disebarkan itu benar atau tidak, masyarakat akan terus menyebarkannya.

Namun, ramai yang tidak peka atau pun tidak tahu bahawa mereka sebenarnya mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang disebabkan menyebarkan sesuatu maklumat tanpa pengesahan kebenaran dan kesahihannya. Di Malaysia, terdapat peruntukan undang-undang untuk tindakan fitnah sama ada sivil mahu pun jenayah. 

Peruntukan undang-undang sivil adalah seperti mana yang digubal di dalam Akta Fitnah 1957, manakala undang-undang jenayah pula termaktub di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan 1997 (Akta 574). Seksyen 500 akta yang sama memperuntukkan sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman bagi tindakan fitnah itu adalah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebagai contoh, dalam kes Mohd. Desa Ahmad & Satu Lagi lwn. Hazudin Hashim & Yang Lain (2015) 5 LNS 85, kausa tindakan fitnah yang difailkan terhadap defendan-defendan adalah berhubung dengan penerbitan gambar sitaan premis plaintif-plaintif dalam halaman Facebook Majlis Perbandaran Jasin yang memaparkan gambar plaintif kedua yang sedang mendukung anak di bawah tajuk “Operasi sita di Taman Seri Asahan, Jasin.” 

Berita premis tersebut disita oleh defendan pertama telah tersebar luas dan menjadi viral kerana laman Facebook boleh diakses oleh orang awam. Walau bagaimanapun dalam kes ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan defendan-defendan untuk mengetepikan writ dan membatalkan tuntutan plaintif-plaintif kerana kegagalan plaintif-plaintif untuk menamakan pegawai atau pekerja defendan-defendan yang telah memuat naik gambar premis mereka di halaman Facebook tersebut.

Berdasarkan kes di atas, walaupun tuntutan plaintif-plaintif tidak dibenarkan atas alasan teknikal undang-undang, apa yang ingin disampaikan oleh penulis adalah, risiko untuk anda disaman disebabkan sesuatu maklumat yang diviralkan sememangnya ada.

Perlu diingatkan bahawa setiap individu yang menyebarkan sesuatu maklumat viral terdedah kepada tindakan undang-undang. Tidak kira anda orang yang pertama menyebarkan maklumat itu atau seterusnya. Plaintif boleh memilih mana-mana individu untuk dinamakan sebagai defendan. Tidak semestinya plaintif menamakan semua orang yang terlibat sebagai defendan. Sebagai contoh, terdapat 500 orang yang menyebarkan fitnah tersebut, plaintif boleh memilih untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hanya penyebar ke-10 hingga 100 atau hanya penyebar yang pertama. Hak untuk menyaman adalah terletak kepada plaintif, tetapi dari sudut undang-undang, semua individu yang terlibat dalam penyebaran itu adalah liable untuk tindakan fitnah tersebut. 

Prinsip ini dinyatakan dengan jelas dalam kes Lim Guan Eng lwn. Ruslan Kassim & Yang Lain (2015) 1 LNS 1014, di mana Mahkamah Tinggi memutuskan seperti berikut:-

“71. Saya perlu menyentuh mengenai tanggungan defendan kedua dan defendan ketiga. Defendan pertama adalah penulis atau eksibit P1 dan dengan jelas bertanggungan bagi perkataan-perkataan yang diadukan, berkaitan defendan kedua dan defendan ketiga, dalam Evans on Defamation In Singapore and Malaysia, 3rd Edition di muka surat 69 hingga 70 dinyatakan:-

“The originator of the defamatory words is liable for the defamation. However each person who participated in, authorized or approved of the original publication is also liable under separate cause of action. For example, a journalist may have written the article containing the defamatory words, but the editor who approved it, the owner of the newspaper in which the article was published and the printers who printed it can all be sued by the plaintiff.”

Berdasarkan kes di atas, adalah jelas secara umumnya, setiap individu yang terlibat dalam penerbitan fitnah tersebut adalah liable di bawah kausa tindakan yang berbeza.

Kesimpulannya, kita tidak seharusnya menyebarkan sesuatu cerita atau maklumat jika kesahihannya belum diketahui. Seringkali berlaku ketidakadilan pada individu yang menjadi mangsa keadaan yang mana kesan penyebaran maklumat awal lebih mempengaruhi minda pembaca. Walaupun disebarkan maklumat terkemudian atau ralat yang bertujuan untuk menjernihkan situasi, namun sukar untuk memperbetulkan persepsi masyarakat umum terhadap seseorang.

Kesan ledakan maklumat serta faktor globalisasi, sebaran maklumat secara viral adalah sebahagian asam garam kehidupan masyarakat pada abad ke-21. Maka, kita mestilah menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti serta beramanah untuk mengelak berlaku salah faham terhadap sesuatu maklumat yang dikongsi sehingga mengakibatkan pencerobohan hak peribadi seseorang. 

Sebagai rakyat berilmu, beragama dan berfikiran terbuka, kita seharusnya menghentikan sesuatu berita atau perkara viral, jika sudah ditokok tambah dengan maklumat yang tidak betul. Renungkanlah.

By: DATUK M REZA HASSAN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik