Thursday, November 17, 2016

75% PASAL PILIHANRAYA.

DUA minggu lagi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur akan bergema dengan idea, perkongsian pendapat dan hujah memperbaiki parti dalam kalangan pemimpin UMNO akar umbi. Perhimpunan Agung UMNO ke-67 itu akan berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember.


Wartawan Utusan Malaysia, menarik perhatian orang lama UMNO, TAN SRI DR. RAIS YATIM, 74, untuk menjelaskan mengapa perhimpunan terbesar orang Melayu itu kali ini amat signifikan dalam senario politik dan cabaran ekonomi yang ‘membadai halus’ negara ini. Justeru, apakah yang harus menjadi fokus kalangan yang hadir dan berbahas nanti? Ikuti luahan Rais:


1. Pilihan raya umum

- Perhimpunan Agung UMNO kali ini mesti suatu perhimpunan pemimpin yang secara serius membuat muhasabah diri. Ini bermakna UMNO juga harus mengenal kelemahan sendiri dalam mentadbir atau melaksanakan dasar-dasar parti dan kerajaan.


Perbahasan mesti tertumpu kepada bagaimana hendak memenangi pilihan raya umum dengan meraih majoriti dua pertiga daripada jumlah undi supaya kerajaan kuat dan berkesan.


Mesti 75 peratus topiknya berkisar bagaimana hendak menang. Tidak perlu sorak-sorai banyak kali ini. Wakil-wakil negeri mesti berterus terang dengan membuat homework atau kerja rumah dari sekarang untuk membincangkan perkara ini. Diharapkan presiden dan rakan-rakan terbuka mendengar dan melaksanakan cadangan yang praktikal - soal perut (kos sara hidup), ekonomi dan pilihan raya. Oleh itu, mesti topik pilihan raya, tidak boleh yang lain. Sampai masanya tidak boleh lagi usul agama, usul pendidikan dan usul ekonomi dibuat berasingan. Hanya sepatutnya isu survival pilihan raya dibincangkan, digaul dan diberi kepada presiden.


2. Calon pilihan raya

- Topik calon pilihan raya amat penting dibahaskan. Pandangan umum mesti digunapakai. Sekarang tidak boleh lagi kata lambang Barisan Nasional (BN) akan dipilih orang. Kita mesti berterus terang bahawa senarainya mesti disertakan lambang BN dengan calon berpotensi. Orang lebih banyak melihat siapa yang akan jadi calon. Mereka tidak begitu taksub pada lambang. Inilah realiti. Kalau buat cara dahulu, yakni tukar calon di saat-saat akhir, calon payung terjun serta ditukar tengah malam, UMNO akan hadapi masalah besar. Berikan peluang kepada bahagian untuk buat cadangan calon dan hormati pilihan mereka. Pilih calon yang baharu dan berbakat.


3. 1MDB

- Memang ada benarnya bahawa data dan beberapa informasi syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB itu relevan untuk diputuskan secara politik. Rungutan dan kritikan setakat ini adalah semasa pembentangan Bajet 2017.


Namun, barangkali dalam perhimpunan agung parti nanti dibuat penjelmaaan hujah sama ada kes ini sudah tutup atau masih isu yang dibawa ke pilihan raya. Mendiamkan setakat ini kurang bijak. Dengan keadaan sebegitu, terpaksa jugalah nampaknya kalau boleh presiden memberi kata putus dalam soal ini.


Yakni, isu tersebut sudah selesai, maka tidak perlu dibahaskan lagi. UMNO mesti buat pendirian itu. UMNO mesti putuskan bahawa ia tidak lagi isu. Sudah pun dibereskan di peringkat laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan laporan diteliti negara. Jika tidak , ia akan berterusan sehingga pilihan raya.


4. Kos sara hidup 

- Isu mengatasi perbelanjaan harian rakyat ini pun belum mendapat suatu rumusan yang muktamad dari segi pelaksanaan dan kemampuan kerajaan sendiri. Kemampuan kerajaan harus dikisahkan dalam perbincangan khususnya berkaitan kedudukan dan pencapaian ekonomi bumiputera. Dan bagaimana untuk survive menjelang tahun ini dan tahun depan dengan peruntukan bajet sedia ada.

 

5. Jangan terlampau humor

- Kalau suasana perhimpunan ini banyak buat humor, gelak ketawa macam dahulu, UMNO dibimbangi tak akan berada di tahap yang serius untuk hadapi pilihan raya. Setiap ahli mesti bercakap dengan ikhlas tanpa dan segan dan tanpa ‘menyorok’ pada protokol keterlaluan. Kelak, baru parti mendapat satu genggaman prinsip baharu. Harus diberi satu ruang yang cukup luas dan berkesan untuk pembahas kali ini. Contohnya di Johor, apa yang sedang dibuat oleh parti untuk tangani soal kritikan dan tindak tanduk Muhyiddin (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin). Kalau seperti biasa sahaja berbahas, kita tak akan capai matlamatnya.


6. Jangan remehkan lawan

- Kalau pilihan raya umum berlangsung tahun depan, persiapan parti baharu seperti PPBM tidak cukup kerana mereka perlu ada infrastruktur.


Apa pun, sama ada Tan Sri Muhyiddin mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamad, kedua-duanya masih ada impak. Tinggal lagi ada yang tidak mahu zahirkan perkara ini. Jangan ambil ringan sebab mereka ini heavyweight dalam sumbangan masing-masing terutamanya Dr. Mahathir. Waima apa pun, Dr. Mahathir mesti dinilai daripada apa yang disarankan. Laluan Muhyiddin dan Dr. Mahathir bagaimanapun tidak mudah.


7. Mencengkamkah Mohd. Shafie di Sabah?

- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sekarang berkongsi dengan ‘kelab kecewa’. Namun sentimen Sabah tidak boleh diperkecilkan sebab kita selalunya dikejutkan dengan perkembangan saat akhir. Kalau diamati, hujah-hujah Mohd. Shafie semasa (perbahasan Bajet 2017) di Parlimen tempoh hari tidak sekali pun seseorang menteri mencanggah beliau. Ucapannya terus, tak ada gangguan. Biasanya ada gangguan tetapi kali ini tidak ada. Saya pun tertanya-tanya juga kenapa sampai begitu?


8. Peranan parti komponen MCA, Gerakan?

- Sumbangan MCA dan Gerakan dalam memantapkan BN masih tidak seberapa. Maka, UMNO mesti buat kata putus siapa akan turun jadi calon. MCA dan Gerakan mesti dikaji prestasi mereka. Jika persaingan di kawasan itu hanya 50-50, UMNO kena masuk selamatkan keadaan di situ. Apapun, kena diakui tiada satu formula yang dapat menampung semua lubang dan petak. Ini ditambah pula dengan generasi sekarang yang ramai orang muda.

- Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik