Saturday, November 12, 2016

AKTIVIS AS HANYA MAHU UBAH REJIM KATA TUNKU A AZIZ.

tunku azizPendedahan terkini mengenai beberapa organisasi di Malaysia menerima dana daripada jutawan Amerika Syarikat (AS) George Soros menunjukkan minat AS membawa perubahan rejim di negara ini, kata bekas ahli politik.

Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata agenda beberapa organisasi AS termasuk Yayasan Soros, Open Society Foundations (OSF) dan National Democratic Institute itu berkait dengan dasar luar kerajaan AS.

Beliau turut menyentuh campur tangan AS dalam negara lain seperti Libya, Mesir, Iraq dan Syria yang jelas menunjukkan niat untuk “membawa perubahan rejim”.

“Mereka tidak peduli sama ada kerajaan itu dipilih secara berperlembagaan atau tidak. Mereka mahu membawa perubahan rejim dan ia hanya berasaskan kepada tuduhan rakyat negara berkenaan.

“Dalam kes kita di Malaysia, anda ada Bersih sebagai contoh, ada Malaysiakini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Dokumen bocor daripada OSF diterbitkan secara atas talian baru-baru ini menyebut geran diberikan kepada Malaysiakini, Bersih dan Majlis Peguam.

Pada sidang media itu, di mana wartawan Malaysiakini tidak dibenarkan masuk, Tunku Aziz menyelar aktivis yang pergi ke AS untuk mengadu mengenai kekurangan demokrasi di Malaysia.

“Orang seperti Maria Chin, Ambiga(Sreenevasan) dan NGO lain. Saya fikir penting supaya NGO ini diteliti bagi memastikan mereka tidak membahayakan Malaysia,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan status undang-undang beberapa NGO dan berkata banyak NGO dibenarkan beroperasi meskipun tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar dan menjadi subversif.

Katanya, Bersih 2.0 bermula sebagai organisasi menganjurkan perjuangan pilihan raya bebas dan adil.

“Siapa yang akan bantah itu (pilihan raya adil dan bebas)? Saya pun perjuangkannya,” katanya yang juga bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M) dan bekas naib presiden DAP.

“Tetapi semakin lama, mereka sudah dirampas. Mereka ada duit dari luar. Mereka kata ambil RM70,000. Tetapi fakta yang mereka ambil duit dari luar itu menunjukkan mereka sudah dibeli,” katanya.

Tunku Aziz berkata sepanjang menjadi presiden TI-M beliau enggan mengambil dana asing kerana kesan yang terkait dengannya.

Beliau berkata pemilihan presiden AS baru-baru ini menunjukkan aktivis yang memperjuangkan demokrasi tidak ada apa-apa untuk Malaysia.

“Lihat apa jadi selepas pemilihan AS. Mereka tidak boleh terima keputusan Donald Trump ialah presiden. Mereka turun ke jalanan, sama seperti Bersih di sini. Tidak ada beza.

“Jadi ini menunjukkan kononnya ia demokrasi matang yang mahu dipromosikan ke seluruh dunia. Mereka tidak ada apa-apa langsung untuk mengajar kita,” katanya - FMT.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik