Sunday, November 20, 2016

BERANI BUAT BERANI TANGGUNG.

TINDAKAN di luar kawalan ribuan penyokong perhimpunan Bersih merempuh


APABILA penganjur Bersih yang disokong oleh pakatan pembangkang berdegil mahu mengadakan perhimpunan esok biarpun tidak memohon permit berhimpun maka mereka dengan sendirinya sudah melanggar undang-undang. Oleh itu, mereka perlu bersedia untuk menerima apa juga kemungkinan termasuklah ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menjaga ketenteraman awam.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah memberi amaran polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peserta demonstrasi tersebut jika mereka ingkar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.


Sememangnya ketegasan polis amat penting kerana kita tidak mahu mana-mana pihak cuba menunjuk samseng melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya. Tidak kiralah sama ada mereka berbaju kuning, merah, putih atau hijau, selagi tidak tahu menghormati undang-undang maka mereka perlu bersedia berada dalam situasi ‘berani buat beranilah tanggung’.


Walaupun ada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Bersih dan pembangkang bahawa perhimpunan akan berlangsung secara aman tetapi persoalannya adakah mengikut lunas undang-undang iaitu memohon permit dan sebagainya? Kenapa perlu sejak dulu, kini dan selamanya mahu menyasarkan Dataran Merdeka sebagai tempat berkumpul? Kenapa mahu menimbulkan kekalutan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur? Kenapa mahu memaksa orang lain menanggung sengsara akibat jalan-jalan terpaksa ditutup hanya disebabkan sekelompok manusia yang kononnya mahu menuntut pilihan raya bersih, adil dan telus?


Biarpun dari satu segi, mereka berhak berhimpun berdasarkan APA 2012, tetapi kenapa tidak mahu mengikut undang-undang? Kenapa tidak memohon mengadakan perhimpunan di dalam stadium supaya lebih tertib dan terkawal? Dan mungkin kita juga boleh bertanya benarkah pilihan raya yang diadakan selama ini tidak bersih dan tidak telus?


Hakikatnya, kita sudah bosan untuk membentangkan fakta khususnya dari segi keputusan pilihan raya bagi menyanggah tuntutan dangkal Bersih yang disokong oleh pakatan pembangkang, ini memandangkan mereka tidak mempedulikan semua itu.


Mereka sebenarnya bukanlah ikhlas mahu membuat tuntutan itu tetapi mempunyai agenda yang boleh dipersoalkan. Yang anehnya, pemimpin-pemimpin pembangkang yang kononnya pejuang demokrasi dan mempertahankan kedaulatan undang-undang sanggup bersekongkol turun ke jalanan. Mungkin hanya cara itu pakatan pembangkang boleh menyampaikan agenda politik mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan memandangkan majlis ceramah dan forum tidak lagi mendapat sambutan.


Penglibatan pemimpin pembangkang dalam perhimpunan tersebut membuktikan mereka menyokong dakwaan songsang Bersih bahawa pilihan raya kita tidak bersih dan tidak telus, kalau begitu apa tunggu lagi, letaklah jawatan sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kenapa mahu menikmati segala kemudahan melalui hasil pilihan raya yang kononnya tidak bersih dan tidak telus?


Jelaslah apapun hujah yang hendak dikatakan pemimpin Bersih dan pembangkang, faktanya perhimpunan itu bermotifkan politik. Tidak payahlah hendak mereka-reka hujah yang boleh dianggap ‘matlamat menghalalkan cara’.


Justeru kali ini polis perlu bertindak tegas dan jangan memberi muka kepada mereka yang terlibat menganjur dan menyertai perhimpunan haram berkenaan. Undang-undang yang digubal bukanlah untuk dicabuli dengan pelbagai alasan. Dalam melakukan tindakan itu pihak polis tidak perlu bimbang mengenai apa orang asing akan cakap. Ini negara kita, biarlah kita menentukan hala tujunya. Orang asing hanya akan mengambil kesempatan apabila negara ini menjadi huru-hara. Mereka yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal kerana melanggar undang-undang. Tidak kira siapa pun, sama ada yang menentang atau menyokong kerajaan, perbuatan mereka mahu juga berhimpun walaupun mengetahui perhimpunan haram boleh dianggap bersikap biadab terhadap kedaulatan undang-undang negara.


Demonstrasi bukanlah budaya negara ini. Kalau mana-mana pihak merasakan mereka mahu ‘Selamatkan Malaysia’ bukanlah dengan cara turun ke jalanan tetapi mengikut lunas undang-undang melalui pilihan raya. Di situlah sebenarnya gelanggang yang akan menentukan siapa kuat! Bukannya satu kumpulan berarak, satu kumpulan lain pula menghalang.


Kalau situasi atau pertembungan itu berlaku, sudah pastilah yang akan rugi ialah rakyat dan negara. Penulis yakin dengan kewibawaan dan kemampuan pihak polis untuk mengendalikan keadaan dalam apa situasi pun tetapi dalam masa yang sama, puak-puak degil dan keras kepala serta cuba menunjukkan kekuatan secara songsang di jalanan perlu dibanteras habis-habisan.


Mereka bukannya tidak dibenarkan berhimpun, tetapi patuhilah undang-undang dan sudah pasti pihak polis akan memberi kerjasama, tetapi puak tersebut seolah-olah tidak mahu cara sedemikian. Mungkin tidak seronok berbanding mencetuskan hiruk-pikuk dan melakukan perbuatan biadab seperti mana pernah berlaku dalam himpunan-himpunan haram sebelum ini.


Janganlah pula nanti apabila pihak polis bertindak, pasukan keselamatan itu dikecam dan dimaki hamun sedangkan mereka hanya menjalankan tugas serta menjaga ketenteraman awam secara keseluruhan bukannya mana-mana kelompok yang memperjuangkan kepentingan masing-masing sahaja.

Apapun diharapkan kali ini, pihak berkuasa akan benar-benar tegas bertindak kerana kita tidak boleh mengajar rakyat negara ini tidak menghormati undang-undang kerana jika itu dibiarkan berlaku, percayalah kita sengaja menjemput mala petaka untuk negara.

- Zulkiflee Bakar.

1 comment:

  1. Tahniah kepada mereka yang sedar akan dakyah yang ditabur dan mereka yang tidak hadir himpunan bersih 5.

    Insya Allah UMNO akan terus mencapai kemenangan .....

    ReplyDelete

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik