Saturday, November 19, 2016

BERJAYAKAH AGENDA SOROS DAN MARIA CHIN?

GEORGE SOROS

Kedegilan penganjur Bersih 5.0 untuk tetap mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, esok walaupun diberi amaran keras oleh pihak polis menimbulkan persoalan apakah akan berlaku ketika ia berlangsung.


Ia memandangkan Gerakan Baju Merah juga akan turun ke jalanan dan keadaan itu boleh memungkinkan berlaku pertembungan antara kedua-dua kelompok seterusnya mencetuskan huru-hara.


 Dalam kenyataan terbaru, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah menegaskan, amaran yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hanya sekadar pandangan, oleh itu mereka tetap akan meneruskan perhimpunan tersebut.


 Persoalannya kenapakah Maria dan Bersih yang disokong oleh parti-parti pembangkang kecuali Pas mahu mengadakan perhimpunan itu walaupun sudah diberi amaran oleh pihak berkuasa. Apakah agenda di sebalik perhimpunan tersebut?


 Melalui reaksi dalam media-media sosial banyak pihak mempersoalkan kedegilan Bersih tersebut dan bertanya apakah perhimpunan itu benar-benar untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil atau bagi menjayakan agenda Maria yang sebelum ini mengakui Bersih pernah mendapat dana asing daripada National Democracy Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) yang dibiayai oleh George Soros.


 Berikutan itulah pelbagai pihak menyifatkan tindakan Bersih tersebut boleh menghancurkan negara yang sudah pastinya akan memberi laluan kepada pihak asing untuk campur tangan jika negara ini berada dalam keadaan huru-hara.


 Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman secara tegas menyifatkan, kedegilan penganjur perhimpunan haram berkenaan merupakan eksploitasi bagi menghancurkan negara.


 Oleh itu, perhimpunan haram yang akan diadakan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya warga kota. Mereka mahu pihak berkuasa bertindak tegas dan tidak lagi berkompromi dengan penganjurnya.
 Desakan itu dilakukan kerana perhimpunan haram berkenaan merupakan kali kelima diadakan dan sebelum ini dan pihak berkuasa sudah cukup sabar dengan kerenah kelompok yang tidak tahu menghormati undang-undang tersebut.


 Turut menjadi persoalan, bagaimana dengan nasib peniaga-peniaga di lokasi-lokasi yang menjadi tempat berkumpul penunjuk perasaan. Dalam Bersih 3.0 sebelum ini, premis-premis tersebut turut dirosakkan apabila kekecohan tercetus.


Apapun orang ramai berharap pihak polis seramai 7,000 orang yang dikerahkan untuk menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berkenaan akan bertindak tegas ke atas penunjuk-penunjuk perasaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Jika kekecohan dan huru-hara berlaku maka terlaksanalah agenda Soros.


- UM.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik