Thursday, November 17, 2016

BUKAN MEDAN UNTUK BERNOSTALGIA.

UMNO perlu mengakui bahawa perjuangan parti itu jauh lebih getir,

UMNO kini berusia 69 tahun dan tahun depan parti yang dianggap tonggak perjuangan orang Melayu itu akan mencapai 70 tahun. UMNO sekarang bukanlah seperti mana UMNO dahulu. Perjuangan dahulu tidak boleh disamakan dengan perjuangan sekarang. Zaman sudah berubah, UMNO tidak boleh lagi bernostalgia dengan sejarah perjuangan silam.


Mahu tidak mahu UMNO perlu mengakui perjuangan parti itu jauh lebih getir, mencabar serta penuh dengan ranjau. UMNO tidak boleh lagi leka dengan andaian apatah lagi persepsi yang menyatakan mereka masih kuat mendapat sokongan orang Melayu. 


Justeru perhimpunan agung hujung bulan ini seharusnya menjadi medan untuk pemimpin dan ahli UMNO bermuhasabah demi memastikan parti itu kukuh dalam meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. UMNO tidak boleh lagi beretorik dengan sejarah silam, sebaliknya perlu memperkukuhkan agenda perjuangan bagi memastikan orang Melayu terus bersama dengan parti keramat tersebut. Janganlah UMNO terus dibuai dengan kata-kata mahupun laporan yang menyatakan sokongan kepada parti itu masih kuat.


Ledakan teknologi maklumat yang menggila ketika ini sehingga memungkinkan yang benar menjadi batil dan yang batil dianggap benar adalah cabaran terbesar. Di peringkat akar umbi, suara-suara yang tidak berpuas hati dengan UMNO makin ketara dan inilah cabaran yang perlu ditangani, bukannya terus berada dalam zon selesa.


Perlu difahami orang Melayu kini semakin berpecah. Kewujudan terbaru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN sedikit sebanyak akan memungkinkan sokongan kepada UMNO akan berkurangan.


UMNO perlu berani melakukan perubahan dan mengatur langkah untuk mendengar nadi denyut rakyat khususnya orang Melayu. UMNO tidak boleh ada sikap apologetik dalam memperjuangkan nasib mereka. Agenda memperkasakan orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain perlu terus menjadi keutamaan. Ini memandangkan selama ini UMNO kukuh disebabkan sokongan orang Melayu dan UMNO wujud sehingga ke hari ini kerana orang Melayu.


Walaupun untuk ‘menyedapkan hati’ kita boleh sahaja menyatakan tiada parti yang boleh menyaingi jasa UMNO tetapi dalam masa sama kita juga perlu mengakui jasa UMNO semakin dilupakan berikutan pelbagai kemelut politik yang berlaku.


UMNO perlu ‘dilahirkan semula’ sebagai sebuah parti yang menjadi kebanggaan orang Melayu dan menjadi payung kehidupan mereka. Berbanding PPBM,PKR mahupun PAN, UMNO jauh bernasib baik kerana mempunyai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia bertolak ansur dan berkompromi serta menghormati dasar perjuangan antara satu sama lain.


Keadaan itu berbeza dengan gabungan pakatan pembangkang yang turut disertai oleh DAP. Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada pakatan tersebut dalam memastikan survival kehidupan mereka. Ini memandangkan segala-galanya dalam pakatan itu perlu mendapat restu DAP dan keadaan ini dapat disaksikan ketika Pas bersekutu dengan mereka dahulu.


Tetapi ini bukanlah bermaksud bahawa UMNO boleh berpeluk tubuh dengan bergantung dengan sejarah dan jasa silam sahaja, sebaliknya perlu menzahirkan satu agenda perjuangan yang mampu memastikan orang Melayu terus memberi sokongan khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Kekalahan demi kekalahan yang dialami dalam pilihan raya seperti pernah terlepas Kedah, Terengganu dan Perak buat seketika serta sehingga kini belum mampu menawan kembali Selangor dan Kelantan membuktikan bahawa UMNO bukanlah lagi sebuah parti yang mendapat sokongan padu orang Melayu. 


Kalaupun UMNO mencatat kemenangan, ada di sesetengah kawasan sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, ia hanya cukup-cukup makan sahaja. Kawasan-kawasan tersebut kini menjadi sasaran pakatan pembangkang untuk meranapkan kemenangan UMNO. Di negeri-negeri yang perintah oleh UMNO pula ada yang nyawa-nyawa ikan khususnya di Terengganu.

Mungkin kenyataan ini agak pahit untuk ditelan tetapi inilah hakikat yang harus diterima oleh seluruh kepimpinan UMNO. Fakta ini bukanlah bermaksud UMNO sebuah parti yang teruk atau semakin memburuk, tetapi UMNO dilihat gagal menangkis serangan demi serangan oleh pakatan pembangkang yang berjaya mewujudkan persepsi buruk terhadap UMNO.


Keadaan menjadi betapa parah apabila dalam keadaan tertentu, UMNO dilihat teraba-raba untuk mengendalikan sesuatu isu yang berbangkit termasuklah berkaitan pentadbiran kerajaan. Justeru, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu memahami cabaran yang sedang mereka harungi dan yang sedang menanti.


UMNO akan terus berada dalam kedudukan boleh dilemahkan jika parti itu tidak segera bangkit untuk melakukan perubahan khususnya dari segi sikap dan strategi politik. Dalam soal ini, peranan sayap-sayap sangat penting. Mereka tidak boleh mengadakan program yang dilihat ‘syok sendiri’ atau mengumumkan pelancaran gerak kerja politik tetapi hasilnya entah ke mana. 


Penulis memahami kenyataan seumpama ini mungkin tidak akan menyenangkan sesetengah pihak tetapi fakta tetap fakta dan tidak boleh dinafikan apatah lagi ditutupi dengan sindrom penafian.


Walaupun kita mengetahui pakatan pembangkang tidak mungkin boleh bersatu dan tidak mempunyai persefahaman, namun perlu difahami rakyat mempunyai pandangan berbeza. Atas sebab itulah perhimpunan kali ini amat penting kepada UMNO kerana ia juga mungkin menjadi perhimpunan terakhir sebelum UMNO turun ke gelanggang PRU-14 yang bakal menentukan sama ada berupaya atau tidak parti itu mempertahankan kuasa pemerintahannya bersama komponen BN yang diperoleh sejak awal merdeka lagi.


By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik