Thursday, November 17, 2016

HANYA MEMUDARATKAN RAKYAT DAN NEGARA.

PERANAN pembangkang sepatutnya menjadi pemantau atau pengimbang

HARMONI itu indah. Namun tidak wujud harmoni jika nilai-nilai sejagat tidak dihormati dan hargai. Ini termasuk etika, peraturan serta susila rasa dan peradaban, yang sedia diakui sebagai paksi dalam pembentukan kehidupan yang damai dan harmoni.


Dunia politik di Malaysia akhir-akhir ini semakin kurang harmoni. Ini ekoran ada sesetengah pihak yang usahanya hanya meraih emosi rakyat demi mengejar agenda yang ‘dicipta sendiri’. Golongan ini bukan mencari jawapan tepat kepada segala isu dan persoalan yang dibangkitkan. Mereka tidak pun berminat terhadap apa penjelasan dan pencerahan yang diberi kerajaan. Kecenderungan hanya menjurus kepada menggoncang kestabilan kerajaan sedia ada.


Dikatakan bahawa golongan ini mahu menyekat momentum keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka bimbang trend sokongan rakyat terhadap BN ekoran Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar kekal konsisten.


Golongan yang dimaksudkan ini juga dikatakan cuba menjadikan isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST), kedudukan kewangan negara serta hal-hal yang kononnya negatif dikaitkan dengan peribadi dan keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik sehingga ke PRU-14.


Di Parlimen, boleh dikatakan saban hari ada saja soalan menyentuh hal-hal berkenaan dibangkitkan, baik semasa sesi soal jawab mahu pun semasa sesi perbahasan. Setidak-tidaknya semasa mencelah terutama ketika rakan-rakan ‘seangkatan’ mengambil bahagian dalam perbahasan.


Walau sebanyak mana penjelasan dan penafian dibuat, mereka terus mengasak agar modal politik ini dapat mengganggu emosi rakyat. Mereka mahu rakyat bangkit dan memarahi kerajaan atas hal-hal yang mereka cuba kelirukan secara berterusan. Jadi di mana demokratik dan rasionalnya? 


Kecenderungan sengaja mencari sebab untuk bertindak keluar dewan, yang kononnya memprotes ketetapan Speaker kerap berlaku. Gambaran yang cuba dipamerkan seolah-olah keputusan Speaker ‘berat sebelah’. Pada hal apa yang dilakukan oleh Speaker dan timbalan-timbalannya berasaskan peraturan-peraturan persidangan yang sedia tercatat. Mereka juga membuat kecoh semasa pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini.


Hal sedemikian sepatutnya tidak berlaku jika setiap ahli dewan tahu menghormati peraturan persidangan dan institusi Speaker. Sementelah pula, ada kalangan mereka bukan penggal pertama menduduki kerusi Dewan Rakyat, malah ramai pula yang memiliki latar belakang perundangan. Jadi tidak hairan kalau ada yang menyifatkan kerenah demikian sekadar mencari publisiti murahan.


Dalam hubungan ini, pujian patut diberi kepada Speaker Dewan Rakyat dan timbalan-timbalannya yang sentiasa bijak dan tegas mengendalikan persidangan dewan walaupun ada kalanya suasana yang berlaku benar-benar menguji kesabaran dan kecekalan mereka.


Seperti kata sesetengah pemerhati, pihak pembangkang bimbang dengan keupayaan kerajaan meneruskan pengurusan negara dengan baik dan berkesan. Dalam masa sama, mereka cuba mengalih pandangan umum terhadap kecelaruan perkongsian dalam kalangan mereka yang semakin sukar terbendung. Lebih-lebih lagi, Bajet 2017 yang dibentangkan, jelas membuktikan kerajaan mampu menguruskan keperluan rakyat dan negara dengan berhemah biar pun dalam suasana ekonomi negara tercabar hebat. 


Peranan pembangkang sepatutnya menjadi pemantau atau pengimbang kepada kerajaan. Mereka boleh bertindak menjadi ‘nilai tambah’ kepada usaha memaju dan memakmurkan negara. Bukan ghairah membangkit kemarahan rakyat terhadap kerajaan atau menggugat kestabilan pemerintahan yang dipilih secara demokratik.


Dalam konteks nilai keislaman, di saat pembangkang tidak mampu memberi nilai tambah kepada negara atau tidak mampu menyumbang demi kebaikan negara, mereka sepatutnya mengambil sikap yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad (SAW), yang bersabda: “Jika tiada kebaikan yang mampu kamu berikan kepada orang lain, maka tetaplah berbuat baik kepada mereka dengan tidak menyakiti mereka.”


Di luar Dewan Rakyat, ada pula mengadakan perhimpunan jalanan. Perhimpunan yang belum dipastikan bersih itu dicanang kononnya untuk mencari kebenaran dan keadilan. Namun umum memahami benar agenda yang tersirat di sebalik perhimpunan itu. Persoalannya, apakah mereka boleh mencagarkan tindakan mereka itu direstui oleh majoriti rakyat negara ini yang cintakan harmoni dan kemakmuran?


Kenyataannya, majoriti rakyat yang telah membuat pilihan bagi membentuk kerajaan yang ada sekarang melalui PRU-13 lalu. Ertinya kerajaan yang ada ini sah dan perlu dihormati. Jangan nafikan, majoriti rakyat semakin bosan dengan gangguan ‘politiking’ yang tidak pernah berpenghujung ini sehingga boleh menjejas konsentrasi kerajaan membangunkan negara.


Ada sesetengah rakyat di kawasan-kawasan diwakili pembangkang ini mengeluh: “Wakil rakyat kami hanya pandai cakap berdegar-degar di Dewan Rakyat, tetapi hal kebajikan kami tak pernah dipedulikan pun.”


Sebenarnya, semakin banyak tindakan kurang wajar dilakukan bagi menggoncang kerajaan yang dipilih secara sah, semakin menyerlah kepincangan moral pembangkang. Situasi ini memudahkan rakyat membuat pilihan pada PRU-14 akan datang. Setiap orang impikan damai dan harmoni dalam kehidupan. Justeru, hidup sepatutnya menjadi penyelesai masalah bukan pencipta masalah!

By: SAYUTI MUKHTAR.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik