Sunday, November 20, 2016

HIMPUNAN HARAM BERSIH HAMBAR.

CAPTIONKAUM Cina yang dipercayai penyokong DAP memenuhi Jalan

Perhimpunan haram Bersih yang pada asalnya diadakan bagi menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil kini ternyata hanya menjadi platform kepada pakatan pembangkang untuk melunaskan agenda politik mereka.


Berikutan itu perhimpunan tersebut yang diadakan di sini hari ini dianggap hambar dan hanya menjadi medan kepada ribuan kaum Cina yang dipercayai penyokong DAP menguasainya untuk membangkitkan isu-isu yang sama sekali tiada kaitan dengan pilihan raya.


Penunjuk perasaan berkenaan yang mula berkumpul sejak pukul 8 pagi di sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berhampiran Dataran Merdeka sebelum sebahagiannya bergerak ke KLCC melaungkan pelbagai slogan anti kerajaan termasuklah membawa sepanduk menghina pemimpin negara.


Keengganan Pas untuk bersekongkol dan menyokong Bersih memungkinkan jumlah orang Melayu yang menghadiri perhimpunan berkenaan terus merudum dan ia juga memberi tamparan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN – dua buah parti yang diharapkan oleh DAP dan PKR untuk menarik sokongan kaum tersebut menyokong pembangkang.


Walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru sahaja pulang dari menghadiri persidangan antarabangsa di Sudan turut menyertai perhimpunan dan menyampaikan ucapan di hadapan KLCC namun ia tetap tidak mampu menarik orang Melayu menghadirinya. Begitu juga dengan kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Razak. 


Turut hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden PAN, Mohamad Sabu; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin; bekas Pengerusi Bersih, S. Ambiga dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain.


Berdasarkan pemerhatian wartawan Mingguan Malaysia, isu-isu yang dibangkitkan lebih berkisar kepada perkara yang dipejuangkan oleh pembangkang termasuklah 1MDB, pembalakan di Kelantan, tuntutan untuk rakyat Sabah dan Sarawak serta beberapa isu lain yang tiada kaitan dengan pilihan raya.


Ia membuktikan Bersih yang Pengerusinya, Maria Chin Abdullah mengakui pernah menerima dana daripada organisasi dikuasai ahli perniagaan, George Soros bukan sahaja sudah menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhannya malah kini menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.


Justeru ia mewujudkan persoalan, apakah gerakan yang dilakukan melalui perhimpunan haram tersebut semata-mata berkaitan pilihan raya atau bermotifkan politik sehingga wujudnya pandangan adakah perhimpunan berkenaan satu gerakan bagi menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan?

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya memastikan perhimpunan tersebut tidak mencetuskan kekacauan biarpun di beberapa lokasi berlaku provokasi antara penyokong baju kuning dan baju merah.


Penangkapan beberapa individu termasuk darpada Gerakan Baju Merah ketika perhimpunan berlangsung kerana cuba melakukan provokasi telah membuktikan pasukan keselamatan tersebut menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.


Penyokong Bersih dan Baju Merah bersurai secara aman kira-kira pukul 5 petang dan sekaligus membolehkan pihak polis membuka hadangan ke Dataran Merdeka yang dipasang sejak semalam.

- Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik