Sunday, November 20, 2016

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG.

ANGIN dingin bercampur titisan hujan menjemput penulis di lapangan terbang antarabangsa Heathrow, London. Ketika itu, setiap hembusan nafas umpama kabus dinihari. Kehadiran penulis di kota raya yang tertua di dunia baru-baru ini adalah untuk menghadiri satu majlis di House of Lords. 


Perasaan bangga bercampur hiba, kerana hanya setelah berpuluh tahun menelaah tentang institusi tersebut, barulah penulis berpeluang menjejakkan kaki di perkarangan bersejarah House of Lords yang menjadi titik permulaan kepada bidang perundangan di seluruh dunia, khususnya dunia Komanwel.


Di majlis tersebut, penulis ditempatkan di sebuah meja bersama dua pelajar Malaysia bukan bumiputera dari University of Cambridge. Di meja itu juga, terdapat beberapa tokoh profesional yang juga berasal dari Malaysia, yang telah sekian lama bertugas di bumi England. Malah, tokoh-tokoh ini telah pun menerima kerakyatan United Kingdom.


Sebelum acara bermula, penulis berborak-borak kosong dengan mereka. Berbagai-bagai topik menjadi perbincangan, daripada undang-undang hinggalah kepada alam sekitar. Tetapi topik yang menjadi common denominator atau persamaan di antara pelajar University of Cambridge dan juga tokoh profesional ini, adalah mereka kesemuanya ingin pulang ke tanah air.


Sekian lama mereka berada di perantauan, rindu terhadap sanak saudara dan kampung halaman kian hari kian membara. Malah ada yang berharap agar mereka dapat disemadikan di kampung halaman mereka.


Ini amat berlainan, kerana beberapa hari sebelum itu, di suatu mesyuarat yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, topik yang sama dibincangkan setelah mesyuarat tersebut tamat. Dan anehnya, peserta-peserta mesyuarat berkenaan yang semuanya berketurunan Melayu, meluahkan hasrat untuk berhijrah ke negara asing kerana pada pandangan mereka, peluang untuk berjaya lebih cerah. Tambahan lagi, mereka tidak sanggup untuk berdepan dengan kontroversi yang melanda negara ketika ini.


Ini juga secara langsung mengingatkan penulis kepada satu pertemuan dengan salah seorang ‘orang kuat’ Majlis Peguam pada awal tahun ini. Dalam pertemuan berkenaan, ‘orang kuat’ itu telah menyatakan rasa cintanya yang tidak berbelah-bahagi terhadap negara ini. Menurutnya, beliau dilahirkan di sini dan beliau akan disemadikan di sini juga. Walaupun bukan kelahiran bumiputera, namun semangat nasionalis yang dipaparkan olehnya amat tinggi jika dibandingkan dengan sesetengah individu yang sama bangsa dengan penulis.


Akhir-akhir ini, Malaysia telah diuji dengan pelbagai kontroversi. Kita harus sedar bahawa sebagai salah sebuah negara muda di dunia ini, kontroversi ini hanyalah suatu ujian. Proses ujian ini bukanlah sesuatu yang asing. Semua negara pasti akan berdepan dengan ujian. Tidak ada satu negara pun di dunia ini yang bebas daripada ujian. 


Untuk membolehkan sesebuah negara demokratik itu mencapai satu tahap kematangan, negara tersebut harus berdepan dengan ujian. Apa yang akan membentuk sesebuah negara itu, adalah bagaimana kita sebagai rakyat berdepan dan mengatasi ujian-ujian tersebut.


Tidak ada gunanya kita lari daripada ujian. Sekiranya penghijrahan adalah pilihan, tidak mustahil bahawa pada satu masa nanti, kita akan menyesal dengan tindakan itu. Bukan itu sahaja, tindakan tersebut juga akan merugikan negara secara keseluruhannya.


Pada pandangan penulis, negara kita adalah salah sebuah negara yang terbaik di dunia ini. Walaupun dilanda dengan pelbagai ujian, namun sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain yang kerap kali berlaku peperangan, di landa penyakit dan bencana alam, kita harus bersyukur kerana negara ini aman dan damai.


Rezeki ada di mana-mana. Sebab itulah, ramai pendatang asing dari Asia Barat hinggalah benua Afrika menjadikan Malaysia sebagai tempat bermastautin mereka. Sekiranya pendatang asing ini berpandangan bahawa mereka boleh mencari rezeki di negara ini, mengapa tidak kita? Mengapakah kita harus mencari jalan dengan lari dari tanah air ini? Sekiranya berhijrah ke negara Barat, kita hanya akan menjadi 2nd Class Citizen. 


Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), pergerakan perkauman yang mendahulukan kepentingan kaum kulit putih, sedang giat dijalankan. Retorik yang digunakan oleh Donald Trump dalam kempen pilihan rayanya, tanpa berselindung, antara lain membidas kaum Mexico dan juga mengutuk mereka yang beragama Islam.


Ini secara langsung mengakibatkan perasaan tidak puas hati timbul dalam kalangan kaum kulit putih terhadap kaum bukan kulit putih. Keputusan muktamad pilihan raya AS sudah tidak penting, kerana perasaan tidak puas hati ini telah pun disemat di sanubari kaum kulit putih. Sanggupkah kita berdepan dengan herdikan kaum kulit putih ini? Yang menganggap taraf mereka sebagai manusia lebih mulia sekiranya dibandingkan dengan kaum lain? Kemuliaan taraf sebagai manusia bagi mereka adalah berasaskan warna kulit, walaupun Thomas Jefferson telah menukil di Declaration of Independence pada 1776 bahawa all men are created equal?


Kita mesti sedar bahawa tiada masalah yang tidak mempunyai penyelesaian. Apa yang penting adalah berusaha dan berikhtiar untuk mencari penyelesaian itu. Dan penyelesaian ini tidak mungkin akan tercapai sekiranya kita lari daripada ujian-ujian yang dinyatakan tadi. Akhir kata, penulis mengajak semua merenungkan peribahasa ini - Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

- M.RezaHassan.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik