Sunday, November 20, 2016

IKTIBAR DARI REVOLUSI YANG GAGAL.

PEMBERONTAKAN ataupun lebih mudah dikenali dengan nama revolusi sudah tidak asing lagi dalam dunia geopolitik antarabangsa kerana ia sering diamalkan untuk tujuan tertentu tetapi paling popular sekali adalah untuk memaksa penukaran kerajaan memerintah. Ada juga yang menggunakan ungkapan yang lebih serasi dengan amalan demokrasi iaitu tunjuk perasaan, perhimpunan ataupun demonstrasi demi menghalalkan apa yang hendak dilakukan.


Jika dikaitkan dengan kesemua ungkapan tersebut yang membawa maksud serupa, sudah pasti peristiwa penukaran kerajaan yang bermula di Tunisia pada 2011 dan berjangkit kepada Mesir dan Libya menjadi perhatian. Memang benar peristiwa penukaran kerajaan ketiga-tiga negara Asia Barat tersebut yang lebih dikenali sebagai Arab Spring walaupun berlaku tidak mengikut lunas demokrasi tetapi hakikatnya adalah untuk memberi peluang rakyat negara tersebut menikmati kehidupan yang lebih baik.


Tunisia umpamanya walaupun telah melalui pilihan raya umum pada 2014 tetapi negara tersebut bergelut dengan ideologi politik yang begitu ekstrem sehinggakan menjadikan negara tersebut tidak banyak berubah selepas lima tahun Arab Spring berlalu. Malah ancaman dan keganasan daripada kumpulan militan sering berlaku dan sukar dibendung oleh kerajaan memerintah.


Begitu jua dengan rakyat Mesir begitu mengharap menikmati manfaat ekonomi yang lebih baik dengan Presiden Fatah al-Sisi berbanding semasa era pemerintahan ala-diktator Hosni Mubarak. Tetapi sebenarnya tidak kesampaian kerana keadaan ekonomi Mesir semakin hari menjadi lebih tenat. Tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut keadaan Libya hari ini kerana mahu tidak mahu rakyat Libya akur bahawa kehidupan mereka adalah jauh lebih aman ketika era Muammar Gadaffi.


Bukan sahaja rakyat negara Asia Barat telah mempelajari bahawa pemberontakan, revolusi, tunjuk perasaan atau demonstrasi bukan jalan terbaik untuk menukar kerajaan kerana banyak negara lain juga sedang menghadapi hari yang lebih sukar berbanding sebelum tercetusnya revolusi.


Perubahan


Selepas tiga dekad rakyat Haiti mengusir keluar Presiden seumur hidup, Jean-Claude Duvalier yang lebih dikenali sebagai Baby-Doc, keadaan Haiti tidak banyak berubah malah bertambah tenat kerana bukan sahaja lazim dilanda malapetaka seperti ribut taufan, banjir dan penyakit berjangkit tetapi juga sering bertukar kerajaan melalui rampasan kuasa.


Salah satu pemangkin mengapa Czechoslovakia berpecah kepada dua negara iaitu Republik Czech dan Slovakia pada tahun 1993 adalah rentetan dari penukaran rejim melalui proses pemberontakan yang lebih dikenali sebagai Revolusi Velvet pada 1989. Walaupun revolusi tersebut telah berjaya menamatkan pemerintahan komunis dengan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya, tetapi faktor tersebut juga telah membuka peluang kepada kumpulan yang mahu memusnahkan Czechoslovakia sebagai sebuah negara.


Begitu jua dengan kejatuhan Presiden Serbia, Slobodan Milosevic pada 2000 melalui pemberontakan yang digelar Revolusi Jentolak telah membuka jalan untuk dua lagi pertukaran kerajaan secara paksa yang dinamakan Revolusi Oren dan Ros yang masing-masing melanda Ukraine dan Georgia.


Situasi Ukraine pada hari ini adalah tidak begitu stabil di mana percaturan geopolitik antara dua kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan Rusia menjadikan Kiev tersepit. Perang saudara sedang melanda dan Malaysia terkesan dengan peperangan tersebut kerana pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 2014. Tidak stabilnya kerajaan Ukraine telah memberanikan wilayah autonomi Crimea mengisytihar kemerdekaan dan berpihak kepada Rusia.

Jika Revolusi Oren telah menjadikan Ukraine lebih rapat dengan AS, serupa juga dengan Revolusi Ros telah menukar paksi Georgia yang selama ini berpihak kepada Rusia. Sehingga hari ini Georgia berada dalam kedaan bergolak kerana permainan geopolitik AS dan Rusia.


Tetapi paling menarik ialah perhimpunan bantahan perlantikan Donald Trump sebagai Presiden AS yang sedang melanda negara yang dianggap mempunyai amalan demokrasi paling subur. Walaupun bantahan tersebut belum boleh dianggap setaraf dengan ungkapan revolusi yang telah melanda beberapa negara sehingga menumbangkan kerajaan pemerintah, hakikatnya adalah kumpulan yang membantah tidak mahu Trump sebagai presiden mereka.


Memang benar setiap perlantikan Presiden AS yang baharu akan berdepan dengan bantahan daripada kumpulan yang tewas seperti yang telah menimpa George W. Bush pada 2001 dan Barack Obama pada 2008, tetapi bantahan terhadap Trump agak berbeza kerana strategi politik kebencian yang diamalkan oleh beliau semasa berkempen.


Menjadi hak rakyat AS untuk membantah perlantikan Trump kerana itu adalah amalan lazim demokrasi yang membenarkan seseorang menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pihak yang lain.


Tetapi oleh sebab taktik kempen Trump yang memecah-belah rakyat Amerika kepada dua kelompok yang bukan dipisahkan oleh ideologi politik tetapi kerana faktor hak asasi yang melibatkan isu agama dan asal usul keturunan, maka bantahan yang sedang berlaku bakal memudaratkan kestabilan AS itu sendiri.


Berbeza dengan bantahan perlantikan Bush dan Obama, protes terhadap Trump amat berbahaya kerana ia akan memburukkan lagi perpecahan yang terbit semasa kempen dan selepas pilihan raya presiden. Sebab itu rakyat Amerika perlu berhati-hati kerana persengketaan ini akan berlarutan sepanjang era Trump yang mungkin menjangkau sehingga lapan tahun lamanya.


Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada kesan pemberontakan, revolusi, tunjuk perasaan atau demonstrasi yang telah melanda bukan sahaja negara yang lemah demokrasinya seperti Mesir, Libya dan Haiti tetapi juga negara yang mempunyai rakan kuasa besar seperti Serbia, Georgia dan Ukraine. Tetapi lebih menarik adalah dunia sedang memerhati dengan teliti apa yang akan terjadi terhadap AS jika bantahan terhadap Trump berterusan tanpa ada kekangan.

- Azmi Hassan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik