Saturday, November 12, 2016

MELAYU DAN BUMIPUTERA TERAS KEINDUKAN NEGARA.

PADA hari ini, saya sekali lagi dapat menjejak kaki saya di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Saya telah hadir beberapa kali di dewan ini dan antara kehadiran saya ialah kerana sesuatu yang dilakukan amat besar dan ada hubung kaitnya dengan logo dan tema persidangan kita, Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa.


Pada bulan lalu, saya hadir ke dewan ini kerana menyambut ulang tahun UiTM yang ke-60 dan majlis itu ada hubung kait dengan tema ini kerana kalau kita hendak ukur perubahan, transformasi lonjakan kepada bangsa Melayu dan bumiputera di antara pelbagai agensi dan institusi, saya kira jasa UiTM paling tinggi nilainya kerana UiTM telah melahirkan lebih 650,000 graduan dan lulusan yang hari ini menjadi golongan yang boleh menerajui lonjakan bangsa Melayu dan bumiputera dan jasa UiTM inilah yang kita mesti rakam dengan tinta emas dan inilah hasil perjuangan parti UMNO yang kita kasihi.


Saya juga hadir di sini kerana ada satu ketika iaitu pada 14 September 2013, kira-kira tiga tahun lalu, saya bentangkan di dalam dewan ini agenda pemerkasaan bumiputera dengan bidang-bidang keutamaan, strategi yang perlu diberi perhatian dan pelaksanaan yang jitu dan lebih daripada itu, saya mengumumkan agenda pemerkasaan bumiputera adalah agenda nasional yang perlu kita perjuangkan.


Saya kira hari ini, kita akan bercakap tentang memperkukuh perpaduan, mempersatukan bangsa maka kehadiran kita bersama dalam dewan ini adalah amat penting, menjadikan dewan ini sebagai satu dewan yang amat bersejarah dalam perjuangan kita untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara.


Bila kita bercakap mengenai penyatuan bangsa kita, kita harus melihat dalam konteks di mana titik permulaan kita. Kalau kita mahu melihat ke hadapan, kita lihat juga dari mana kita datang.


Titik-titik permulaan sejarah bangsa Melayu kita singkap dan bila kita menyingkap kembali sejarah. Sejarah negara kita, tamadun kita, asal usul kita, telah diterjemahkan dalam Perlembagaan negara dan Perlembagaan negara kita itu jika dihalusi mengandungi beberapa prinsip yang penting antaranya yang terpenting ialah keindukan negara kita berteraskan Melayu dan bumiputera.


Ini prinsip penting. Kenapa saya kata keindukan negara kita berteraskan kepada Melayu dan bumiputera, lihat sahajalah dalam Perlembagaan kita.


Kalau kita kata dalam soal bahasa, bahasa rasmi ialah bahasa kebangsaan dan bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan. Itulah keindukannya, tetapi bahasa-bahasa lain dibenarkan ditutur di dalam negara kita secara bebas.


Bila bercakap soal agama, agama Persekutuan adalah agama rasmi tetapi agama lain dibenarkan diamalkan secara bebas dan agama Persekutuan ialah Islam.


Lambang negara kita, ketua negara Yang di-Pertuan Agong dipilih dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, sekali lagi melambangkan keindukan negara kita ialah Melayu.


Jadi kalau kita terima prinsip ini maka mudahlah kita ke hadapan. Sebab itulah saya kata bila kita mahu memajukan negara, kita mesti majukan semua kaum.

Yang kita utamakan, jangan biar orang Melayu dan bumiputera ketinggalan dalam kemajuan negara kita. Ini adalah satu kewajipan kita. Sebab itulah kita jadikan agenda pemerkasaan bumiputera sebagai agenda nasional.


Jika kita melihat perkara ini dalam konteks lebih luas, salah satu daripada kejayaan kita selama ini adalah negara kita ini unik. Kalau kita cakap dalam kumpulan bumiputera sahaja, kita ada bumiputera dari Sabah, Sarawak dan pelbagai kelompok.


Orang Kelabit di Sarawak cuma ada 5,000 sahaja di planet ini, ada suku kaum pula. Orang Iban, saya baharu tahu Iban ada beberapa kategori ada Iban Kapit, Iban Betul dan Iban Serian.


Itu kompleksnya negara Malaysia ini tetapi kita dapat hidup aman damai kecuali satu detik hitam sahaja, 13 Mei. Namun, kita boleh mengatasi kejayaan mana-mana negara lain yang tidak sekompleks negara kita.


Banyak contoh, Bosnia umpamanya. Bosnia berbeza dari segi agama sahaja dari kumpulan etnik tetapi dalam tahun 1990-an, bukan 100 tahun dahulu, telah berlaku persengketaan antara kaum, antara agama yang sungguh dahsyat dan saya sendiri telah menyaksikan apa kesannya konflik di Bosnia. Tetapi alhamdulillah kita aman. Kita aman kerana apa? Kita punya pertimbangan berasaskan kepada konsensus nasional dan dalam konsensus itu keindukannya Melayu serta bumiputera.


Bila kita hendak capai kemerdekaan, kita dapat konsensus nasional. Kita masih teringat lagi gambar Tunku Abdul Rahman ke London dengan Tan Cheng Lock dan V.T. Sambanthan dengan kain putih.


Kita tengok sudah ada konsensus nasional. Jadi bila ada konsensus nasional melalui kerjasama antara kaum, maka kemerdekaan mudah dicapai. Lepas itu dalam proses pengisian kita tidak perlu kepada referendum nasional.


Tadi kita tengok video animasi Firdaus imtiaz, wataknya dan karakternya, kita lihat visi akan datang, visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), bukan Terengganu 50.


Kita tengok bahawa itulah impian ke hadapan, 30 tahun akan datang. Saya mengusahakan TN50 ini kerana apa, kerana kita hendak dari bawah ‘grass root, bottom up’.


Saya hendak buat secara konsensus nasional supaya semua kepentingan kaum diambil kira tetapi sekali lagi keindukannya mesti Melayu dan bumiputera.

Jadi tuan-tuan sekalian, konvensyen ini saya harapkan, beri saya idea untuk bawa ke hadapan dalam usaha untuk meninggikan martabat bangsa kita dan negara pada keseluruhannya.


Baru-baru ini, bila saya melihat pada laporan Khazanah Nasional, saya lihat antara kajian itu menunjukkan faktor sosial mobiliti yang paling berkesan sekali melalui pendidikan dan kemahiran serta akses kepada kualiti pendidikan.


Kalau kita dapat kepada akses kualiti pendidikan, kedudukan mana-mana kumpulan dalam negara kita ini termasuk bumiputera akan jauh lebih baik.

Maknanya, kalau mak bapa dari kumpulan B40 tidak semestinya anak mereka kekal dalam kumpulan B40.


Apa yang memberangsangkan dalam kajian tersebut, kita lihat peratusan orang Melayu dan bumiputera yang dapat terkeluar daripada kumpulan B40 adalah dalam masa satu generasi sahaja kerana dasar kerajaan adalah sangat baik berbanding negara lain.


Ini kita perlu tonjolkan. Ini kita perlu terangkan bahawa salah satu daripada kebanggaan kita ialah proses sosial mobiliti. Malah sosial mobiliti Malaysia lebih baik daripada United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Inilah hasil kejayaan kita.


Kita boleh ke hadapan dengan rasa optimis walaupun dalam mana-mana tempoh negara kita sudah tentu menghadapi pelbagai cabaran.


Faktor luaran ekonomi ketika ini tidaklah begitu menyegarkan atau memberi permintaan tinggi kepada kita. Hasil negara seperti minyak menurun dan sebagainya tetapi masih boleh meneruskan lagi proses pembangunan negara dan ini berlaku kerana kita telah ambil langkah lebih awal dengan mempelbagaikan ekonomi negara.


Hasil minyak umpamanya, dulu ekonomi negara 41 peratus bergantung kepada minyak tetapi tahun 2009 hanya 14 peratus. Ini perubahan yang drastik.


Kita ambil langkah tertentu, kadang kala langkah itu memang bagus malangnya ada orang yang buat mainan tertentu untuk keuntungan masing-masing, ditempelak balik kepada kerajaan.


Minyak masak contohnya, kita cuba tanganinya, tetapi ada kesan daripada mainan pihak tertentu, mungkin ada kelemahan penguatkuasaan tetapi kita akan cuba.


Tuan-tuan dan puan-puan, inilah saya dapat memberi sedikit gambaran tetapi yakinlah agenda penyatuan bangsa, kita akan beri perhatian yang tinggi sama ada penyatuan Melayu, bumiputera atau kaum-kaum lain dalam konteks negara kita.


Meskipun apa kita lakukan ia tetap pada prinsip keindukannya. Keindukan inilah yang jadi kita punya ‘guiding principle’ (garis panduan asas).


Insya-Allah pada masa depan, bila kita bentuk TN50, kita hendak lahirkan watak macam Firdaus imtiaz itu, lebih ramai lagi global player. Ingat global player dan kalau kita nak jadi global player kita mesti ada sesuatu.


Saya baru balik dari China dan saya lihat keadaan di sana. Saya buat kesimpulan negara China ada 1.3 bilion penduduk dan kalau hendak berjaya ‘you must hungry for success’ (kita mesti ada daya kesungguhan tinggi).


Tetapi kalau rasa terlalu selesa dengan kehidupan kita, kalau terlalu ‘easy going’, di China kalau tidak ada kesungguhan dia akan tewas sebab 1.3 bilion manusia lain akan mengambil peluang itu dan dunia berubah pantas di sana.


Di sana (China) sudah ada satu sistem di mana mikro kredit diluluskan dalam masa tiga minit. Sistemnya mudah. Kalau kita membuat permohonan pinjaman melalui online berdasarkan big data yang mengandungi segala perbelanjaan kita, segala pendapatan kita selama beberapa tahun sudah ada dalam sistem itu, komputer dan perisian itu boleh buat penilaian sama ada kita ini akan menjadi peminjam yang baik atau tidak.


Sistem ini memakan masa cuma tiga minit sahaja. Itu dikata sistem 310, tiga (3) minit proses, satu (1) minit pindah duit dalam akaun, kosong (0) tidak ada interaksi dengan manusia.


Inilah yang dikatakan sebahagian daripada revolusi industri dan kalau kita hendak jadi bangsa yang hebat, yang gemilang maka teknologi seperti ini mesti dapat dikuasai.


Teknologi ini berputik daripada tempat-tempat macam UiTM ini. Melahirkan mereka yang boleh jadi pelaku global yang hebat.


Saya gambarkan perkara ini supaya kita tahu perjuangan kita ada hala tujunya untuk mencapai kegemilangan dan semuanya berpaksi kepada perjuangan keindukan kita.


Kita mesti ada daya juang. We must hungry for success. Kalau tidak terlalu selesa, terlalu rasakan kejayaan kita ala kadar, boleh terima, kita tidak boleh, kita tidak akan ke mana.


Kita mesti ada kesungguhan dan inilah yang kita hendak bangunkan bahawa pemikiran kita, budaya kita, sikap kita, mestilah yang boleh membawa kita ke hadapan.


UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, semalam.

- UTUSAN MALAYSIA.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik