Kelihatan seperti satu kawasan residensi elit dengan rumah yang dijual bermula pada harga jutaan ringgit.


Harga rumah semahal itu bukan sesuatu luar biasa. Malah, nama kawasan residensi itu juga bukan lagi sesuatu yang pelik apabila ia menggunakan nama dalam bahasa Inggeris.


Kecenderungan pemaju menggunakan nama-nama kawasan perumahan dalam bahasa asing agak ketara sejak kebelakangan ini terutama bagi kawasan elit. Seolah-olah menggunakan bahasa asing lebih menjadi pilihan pemaju.


Mungkin ia satu bentuk psikologi untuk menarik perhatian pembeli yang merasakan nama-nama menggunakan nama asing itu lebih gah dan ada kelas berbanding menggunakan perkataan dalam bahasa Melayu sendiri.


Tidak kurang juga yang ‘merojakkan’ nama-nama kawasan kediaman menggunakan bahasa asing dengan bahasa Melayu.


Sejauh mana perkara ini akan memberi kesan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu? Sudah tiada lagikah perkataan bahasa Melayu yang indah untuk digunakan pada nama-nama perumahan ini? Adakah ia akan menenggelamkan prestij kawasan itu jika menggunakan bahasa ibunda?.


Tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim menegaskan, bahasa Melayu mempunyai begitu banyak perkataan-perkataan indah yang boleh digunakan bagi menamakan sesuatu kawasan perumahan termasuk kawasan elit.


“Pemaju cenderung menggunakan perkataan bahasa asing, sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris kerana beranggapan nama seperti itu digemari oleh bakal pembeli. Ia dikaitkan dengan perasaan sofistikated dan cita rasa mewah.


“Sebagai contoh, bukan sahaja perumahan, kawasan awam juga dinamakan di dalam bahasa asing seperti Bangi Gateway dan Bangsar South. Kononnya dengan cara ini, persepsi masyarakat akan melihat kawasan itu elit dan mewah,” katanya kepada S2.


Sambil meluahkan rasa sedih terhadap perkara itu, Nik Safiah berkata, sebenarnya pemaju perumahan seharusnya mengambil kesempatan mennggunakan bahasa Melayu mengandungi ribuan perkataan yang lebih menggambarkan keindahan selain membangkitkan cita rasa mewah sesuatu tempat.

 

Katanya, pujian harus diberikan kepada pemaju perumahan mengutamakan bahasa ibunda dalam menamakan kawasan perumahan yang dibina. Terbukti, kawasan tersebut masih boleh menarik perhatian pembeli.