Saturday, November 26, 2016

PENAHANAN PENGERUSI BERSIH TERATUR.

Penahanan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) Akta 747 adalah teratur dari segi undang-undang, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam kenyataan Jumaat, beliau berkata penahanan Maria adalah bagi membantu siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Justeru, penahanan Puan Maria Chin Abdullah di bawah Seksyen 4 Akta 747 yang bertujuan untuk membantu siasatan pihak Polis Diraja Malaysia kerana dia disyaki terlibat dalam aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, adalah teratur dari segi undang-undang," katanya.

Beliau berkata oleh yang demikian, jabatan itu akan memberi pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan yang akan dikemukakan oleh polis kelak.

Katanya jabatan itu amat prihatin terhadap pandangan dan persepsi masyarakat berhubung penahanan Maria di bawah SOSMA dan adalah menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk memastikan undang-undang negara sentiasa dihormati dan dikuatkuasakan sewajarnya.

Mohamed Apandi berkata berhubung isu penahanan Maria, perlulah difahami bahawa Akta 747 merupakan suatu undang-undang prosedur yang mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas berhubung penangkapan, penahanan dan penyiasatan berkaitan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Jabatan Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa Seksyen 3 yang dibaca bersama Jadual Pertama Akta 747 mentakrifkan "kesalahan keselamatan" sebagai bukan sahaja terhad kepada kesalahan berhubung dengan keganasan tetapi turut meliputi antara lain, kesalahan berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya.

Maria, 60, ditahan di bawah SOSMA sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.0 di sini pada Sabtu lalu.

Pada 22 Nov, Maria memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini antara lain memohon perintah agar beliau dibebaskan serta-merta daripada tahanan SOSMA dan mahkamah akan mendengar permohonannya itu pada 29 Nov ini.

-Agendadaily.

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik