Monday, November 21, 2016

RAKYAT SUDAH SEMAKIN BIJAK.

BERSIH 5.0 kali ini memperlihatkan majoriti penyertaan kaum Cina

SAMBUTAN hambar terhadap perhimpunan haram Bersih 5.0 di ibu kota kelmarin membuktikan bahawa masyarakat negara ini sudah bijak menilai antara perjuangan hak asasi manusia dengan perjuangan agenda politik memperbodohkan manusia.


Saya tertarik dengan coretan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam berkenaan penampilan Tun Dr. Mahathir Mohamad buat kali kedua dalam perhimpunan Bersih masih gagal mengumpan orang Melayu untuk turut sama-sama hadir mengorbankan maruah sambil bertempik sorak di jalanan.


Menurut Awang Selamat, rata-rata rakyat tidak mahu kerajaan digulingkan di luar proses demokrasi apatah lagi apabila didalangi pihak asing seperti penyangak mata wang, George Soros.


Mungkin Dr. Mahathir sudah lupa dengan prinsip beliau memerangi Soros dan anti-perhimpunan jalanan ketika menjadi Perdana Menteri dahulu. Namun, rakyat khususnya kaum Melayu amat sukar melupakan banyak penghinaan DAP terhadap agama Islam dan bangsa Melayu sehinggakan Lim Kit Siang mahu menulis semula Perlembagaan negara mengikut agenda beliau.


Tahniah kepada bangsa Melayu yang amat sedikit bilangannya menyertai perhimpunan haram Bersih pada kali ini berbanding majoriti kaum Cina yang dipercayai penyokong DAP.


Sehari sebelum perhimpunan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi telah menyampaikan pesanan beliau menerusi blognya kepada rakyat agar berfikir secara bijak kerana perhimpunan haram Bersih bukanlah saluran yang betul untuk mengkritik kerajaan. Ini hanyalah agenda politik pembangkang yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik lalu kemudiannya mempergunakan rakyat di perhimpunan jalanan.


Majoriti rakyat juga dilihat sudah lali dengan taktik pembangkang melalui Bersih 1.0 hingga Bersih 4.0. Kecuali ada segelintir rakyat sahaja yang masih tidak bijak melihat rekod buruk perhimpunan Bersih sebelum ini. Maka sebab itulah mereka senang diperbodohkan dengan umpan sehelai baju kuning untuk hadir ke Bersih kelmarin.


Setakat ini Polis Kuala Lumpur telah menangkap 25 individu berhubung perhimpunan haram Bersih 5.0 kerana membabitkan ancaman ketenteraman awam dan mencetus rusuhan. Sekiranya ada kakitangan awam terbabit, tindakan tatatertib akan dikenakan. Itu amaran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sejak awal lagi.


Malah tindakan buang kerja juga boleh dikenakan jika terbukti penglibatan penjawat awam menerusi gambar, video dan aduan diterima daripada orang ramai. Kepada mereka yang bakal dikenakan tindakan undang-undang, saya nasihatkan jangan sesuka hati mahu menyalahkan kerajaan atau menuduh kerajaan menyekat hak asasi bersuara dan sebagainya.


Jika kerajaan pimpinan Najib menyekat hak asasi itu, beliau pastinya tidak akan membiarkan perhimpunan Bersih yang merosakkan negara ini dianjurkan sehingga 5 siri berturut-turut! Pasti ketika siri pertama dahulu lagi Najib sudah menyekat sepenuhnya.

- SAMSUDIN AWANG.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik