Monday, November 21, 2016

RINGGIT: GABENOR LUAH KEKECEWAAN.

Muhammad Ibrahim

Bank Negara Malaysia (BNM) meluahkan kekecewaan disebabkan tindakan pemain-pemain industri tempatan menjadikan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) atau dagangan ringgit di luar pesisir sebagai rujukan bagi menentukan nilai mata wang tersebut, berbanding membuat penentuan sendiri.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, tindakan tersebut mengakibatkan kadar tukaran ringgit tidak menentu sejak tahun lalu termasuk berubah 23.1 peratus dalam tempoh sebulan sekali gus menjadi antara mata wang serantau paling tidak menentu tahun ini.


Tambahnya, selain tindakan pedagang-pedagang mata wang tempatan yang lebih meninjau kadar ringgit di dalam pasaran NDF sebelum menentukan harga ringgit masing-masing, pihak media serta orang ramai juga terpengaruh dengan kadar tukaran yang ditentukan oleh pasaran luar pesisir.


“Aktiviti dalam pasaran luar pesisir khususnya pasaran NDF telah membawa kesan buruk kepada pasaran dalam negara. Apa yang mengecewakan kami, pemain-pemain industri tempatan sebaliknya lebih menjadi pengikut pasaran itu dan bukannya memimpin dalam menentukan kadar tukaran domestik,” katanya dalam kenyataan sempena Ulang Tahun Makan Malam Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM), kelmarin.


Setakat kelmarin, ringgit berlegar sekitar RM4.4165 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras terburuk mata wang Malaysia itu sejak September 2015.


Kata Muhammad lagi, pasaran luar pesisir didorong oleh kepentingan bersifat spekulatif tanpa berlandaskan maklumat kepelbagaian pasaran tempatan.


Tambahnya, hal itu dinyatakan oleh Bank Rizab Persekutuan New York pada tahun 2005, dengan menganggarkan 60 hingga 80 peratus jumlah dagangan NDF ditentukan secara spekulatif.


“Di dalam pasaran luar pesisir, kadar ringgit boleh ditentukan berdasarkan satu arah tertentu atau sentimen yang sentiasa berubah. Malah ia juga mengikut kedudukan spekulator yang sememangnya tidak sesuai untuk mewakili proses menentukan harga ringgit,” katanya.


Pada masa sama, Muhammad berkata, BNM sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan ruang kepada spekulator untuk menentukan nilai ringgit.


Jelasnya, pada tahun lalu, BNM telah mengambil tindakan langsung untuk mengurangkan hubungan harga ringgit antara pasaran tempatan dan pasaran luar pesisir.


Awal minggu lalu, BNM menyatakan ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus apa-apa urus niaga luar pesisir seperti NDF bagi ringgit adalah tidak diiktiraf. 


Bank pusat itu turut mengingatkan semua peserta pasaran supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA) sedia ada dan institusi kewangan berlesen di Malaysia supaya menghindari apa-apa urus niaga pertukaran asing yang boleh dikaitkan dengan aktiviti pasaran NDF.

- Um.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik