Sunday, December 25, 2016

APA BEZA JERSI AUTHENTIC (PLAYER ISSUE) DENGAN REPLICA (FAN ISSUE)?

beza-jersi-authentic-replica

Apa beza jersi authentic (player issue) dengan jersi replica (fan issue)?

Jika anda pernah ke butik sukan, kedua-dua jenis jersi ini dijual secara sah, dan kedua-duanya adalah produk asli (original) dari pengeluar jersi dan harganya pula berbeza. Maka tak hairanlah ramai yang keliru.

Jadi kami ingin memberi panduan supaya anda dapat mengenal beza jersi replica dengan jersi authentic. Kami juga akan memberikan perbezaan kedua-dua gred jersi tersebut mengikut jenama – Nike, Adidas dan Puma.

Nota 1: Kedua-dua jenis jersi authentic dan replika akan mempunyai perkataan ‘authentic’ dalam namanya produk dan di tag jersi tersebut. 

Nota 2: Harus diingat bahawa artikel ini merujuk kepada produk jersi tulen dari Nike, Adidas dan Puma. Bukannya produk jersi tiruan dari Thailand, Indonesia dan China.

Jersi replica (juga dikenali sebagai fan issue)

Penampilan: Sekali imbas, jersi replica nampak sama dengan jersi authentic yang dipakai oleh pemain sebenar. Tetapi jersi replica biasanya mempunyai potongan baju yang lebih longgar berbanding jersi authentic.

Jersi replica boleh didapati dalam banyak saiz (selalunya sehingga saiz XS hingga XXXL) untuk memenuhi permintaan dan keselesaan peminat.

Kualiti jersi: Kualiti jersi replica berbeza dengan jersi authentic dari segi teknologi pembuatannya, kadar keregangan dan jenis fabrik, untuk menjadikannya lebih murah tetapi masih berkualiti.

Logo: Logo brand biasanya disulam dalam jersi replica.

Harga: Lebih mahal berbanding jersi tiruan (gred C, B, A atau AAA) tetapi jauh lebih murah berbanding jersi authentic.

Jersi authentic (juga dikenali sebagai player issue)

Penampilan: Jersi authentic adalah jersi sama yang dipakai oleh pemain ketika perlawanan. Potongan bajunya lebih ‘fit’.

Ia juga mempunyai beberapa perbezaan kecil yang membezakannya dengan jersi replica.

Kualiti jersi: Kualiti jersi authentic adalah yang paling tinggi. Ia dilengkapi dengan teknologi pembuatan terbaru dari pengeluar dan lebih ringan berbanding jersi replica.

Logo: Berbanding logo brand jersi replica yang disulam, logo brand dalam jersi authentic biasanya dicetak dengan menggunakan teknik screen print untuk mengurangkan berat jersi.

Harga: Tidak semua pasukan menjual jersi authentic kepada orang awam. Harganya 60-80% lebih mahal berbanding jersi replica.

1. Beza jersi replica dan authentic keluaran Nike

1.1 Logo jersi

Kedua-dua jersi replica dan authentic keluaran Nike mempunyai logo brand dan badge pasukan yang disulam. Tiada perbezaan dalam aspek ini.

Kedua-dua jersi replica dan authentic keluaran Nike juga menggunakan teknologi tekstil Dri-FIT dan diperbuat 100% daripada polyester.

1.2 Perbezaan kualiti fabrik

Nike replica: Jersi replica menggunakan ketebalan fabrik yang sama di keseluruhan bahagian jersi.

Nike authentic: Perbezaan pertama jersi replica dan authentic keluaran Nike adalah di bahagian belakangnya. Bahagian belakang jersi authentic lebih nipis, berongga dan halus jahitannya.

Ini memperbaiki pergerakan udara di antara bahagian badan paling panas di samping membuatkan jersi authentic lebih ringan berbanding jersi replica.

1.3 Potongan jersi

Nike authentic: Jersi authentic Nike mempunyai potongan body fit untuk meringankan berat dan rintangan angin jersi semasa pemain beraksi di atas padang. Potongan jersi lebih ketat di bahagian lengan dan abdomen badan.

Nike replica: Jersi replica Nike pula akan mempunyai potongan jenis loose fit yang lebih longgar.

1.4 Ruang pengudaraan jersi

Nike authentic: Ruang perudaraan ini direka khas untuk meningkatkan pengaliran udara ke tubuh pemain dan memastikan pemain kurang berpeluh. Lubang-lubang kecil ini juga membantu meringankan berat jersi.

Seperti yang dapat anda lihat, ruang perudaraan di bahagian sisi jersi authentic Nike juga lebih besar berbanding di jersi replica.

Nike replica: Ruang perudaraan di bahagian sisi jersi replica Nike juga lebih kecil berbanding di jersi authentic.

1.5 Tag jersi

Cara termudah untuk membezakan antara jersi replica dan authentic Nike adalah dengan melihat kepada tag pada bahagian kanan bawah jersi.

Nike authentic: Tag jersi authentic berwarna emas.

Nike replica: Tag jersi replica berwarna perak.

2. Beza jersi replica dan authentic keluaran Puma

2.1 Logo jersi

PUMA authentic: Logo brand jersi authentic Puma dicetak dengan menggunkan teknik screen printuntuk memberikan kesan visual yang lebih tajam, kemas dan ringan.

PUMA replica: Logo brand jersi replica Puma pula disulam.

2.2 Potongan jersi

PUMA authentic: Potongan jersi authentic Puma adalah dari potongan skin-tight fit. Berbeza daripada jersi replica yang diperbuat 100% daripada polyester, jersi authentic Puma turut diadunkan dengan teknologi Lycra. Sifat kelenturan dan fleksibiliti fabrik lycra membolehkan jersi authentic membaluti otot-otot tubuh pemakai.

PUMA replica: Potongan jersi replica Puma pula adalah dari potongan loose fit yang lebih longgar.

2.3 Teknologi jersi

Jika jersi replica Puma hanya mempunyai teknologi fabrik dryCELL yang berfungsi untuk memastikan jersi sentiasa kering dan ringan, jersi authentic Puma mempunyai tambahan teknologi fabrik powerCELL.

Dengan teknologi dryCELL dan powerCELL, jersi authentic Puma direka untuk sentiasa kering dan memaksimumkan output aktiviti fizikal.

Selain itu, jersi authentic Puma turut dilengkapi ACTV Tape yang bertujuan untuk mencengkam otot-otot tumpuan, menstimulasi dan meningkatkan penjanaan tenaga.

Ciri ini dikatakan bakal membuatkan pemain kurang letih dan mampu beraksi untuk tempoh yang lebih lama.

3. Beza jersi replica dan authentic keluaran Adidas

3.1 Potongan jersi

Adidas authentic: Seperti jenama Nike dan Puma, jersi authentic Adidas juga direka supaya lebih ringan dan lebih fit dengan tubuh pemain.

Reka bentuk ini khusus untuk menjadikan ia lebih ringan, lebih kurang rintangan angin dan gangguan lain yang akan menjejaskan prestasi pemain di atas padang.

Adidas replica: Manakala, jersi replica Adidas pula lebih loose dan mementingkan keselesaan peminat.

3.2 Logo jersi

Adidas authentic: Seperti Puma, logo brand jersi authentic Adidas dicetak dengan menggunkan teknik screen print untuk memberikan kesan visual yang lebih tajam, kemas dan ringan.

Adidas replica: Manakala di jersi replica Adidas, logo brand disulam.

3.3 Teknologi jersi

Adidas authentic: Kedua-dua jersi authentic dan replica Adidas diperbuat daripada 100% polyester. Bagaimanapun, jersi authentic menggunakan teknologi fabrik AdiZero yang lebih ringan, nipis dan kebolehan pengaliran udara.

Adidas replika: Jersi replica Adidas pula menggunakan teknologi fabrik ClimaCool yang lebih tebal dan berat (100g lebih berat daripada teknologi fabrik AdiZero).

3.4 Panel pelepasan haba di bahu

Kedua-dua jersi authentic dan replica Adidas yang dikeluarkan pada tahun 2015 mempunyai panel pelepasan haba di bahagian bahu jersi.

-semuanyabola.com

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik