Sunday, December 25, 2016

CALON PM PUN MADEY TAK BERANI KATA.

Semalam, penganalisis terkemuka politik negara, Prof Dr Sivamurugan Pandian meluahkan pandangan beliau bahawa parti pembangkang di negara ini yang bergabung perlu segera menampilkan ‘kabinet bayangan’ mereka.

Tegas tokoh akademik dari USM itu, ‘kabinet bayangan’ pihak pembangkang akan memberikan keyakinan kepada rakyat di negara ini, menampilkan ‘keunikan’ mereka dengan kerangka dasar atau polisi yang lebih baik dari Barisan Nasional (BN).

Sebenarnya, pandangan yang senada dengan Profesor itu bukan perkara baru. Gesaan sedemikian sudah lama diajukan, khususnya ketika Pakatan Rakyat masih ‘hidup’ dulu. Malah ramai yang ternanti-nanti ‘kabinet bayangan’ pihak pembangkang.

Namun begitu, meskipun Pakatan Rakyat sudah lama ‘meninggal dunia’ dan kini lahir Pakatan Harapan yang diserikan lagi dengan ‘bunga raya’, mereka masih gagal menampilkan ‘kabinet bayangan’ yang dinanti-nantikan.

Kenapa jadi begitu? Kata Mahathir, ia adalah bagi mengelak pepecahan dan rasa tidak puas hati di kalangan para pemimpin dan parti pembangkang. Itu alasan dari ‘otak genius’ seorang ‘negarawan ulung’ yang kini berusia lebih 90 tahun.

Namun bagi pandangan penulis, berpecah atau tidak, berpuas hati atau tidak jika ditampilkan ‘kabinet bayangan’, pihak pembangkang sebenarnya mempamerkan kegagalan mereka secara total kepada rakyat Malaysia.

Pertamanya, mereka membuktikan bahawa Pakatan Harapan sebenarnya tidak sepakat walaupun berseri bersama ‘bunga raya’. Mungkin dulu Pakatan Rakyat sepakat menamakan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, namun kini mungkin tidak.

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan PAN mungkin kini tidak sepakat mengenai calon Perdana Menteri. Walaupun DAP tetap menamakan Anwar, tidak semestinya PAN bersetuju. Keraguan mereka terpamer apabila enggan menamakan ‘Perdana Menteri bayangan’ baru-baru ini, tanda senada dengan Mahathir.

Pernah ‘bunga raya’ mengacah nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon ‘Perdana Menteri bayangan’, tapi DAP pantas melenting melatah, tetap mahukan Anwar. Mungkin kerana itu Mahathir menyeru agar calon ‘Perdana Menteri bayangan’ pembangkang tidak dinamakan.

Tapi Mahathir tidak sedar bahawa kesan utama dari tindakan itu memperlihatkan betapa semua parti dan pemimpin Pakatan Harapan bersama ‘bunga raya’ sememangnya tidak sepakat. Jika nama calon Perdana Menteri pun boleh mencetus pepecahan, apatah lagi sebuah ‘kabinet bayangan’ yang lengkap, bukan?

Keduanya, berpendirian untuk tidak menamakan calon Perdana Menteri apatah lagi ‘Kabinet Bayangan’ pembangkang, itu menandakan bahawa mereka semua sememangnya ‘gila kuasa’, ‘gila jawatan’ dan amat buas ‘nafsu serakah’ politiknya.

Hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon terpilih sebagai Perdana Menteri dan kabinet ‘bayangan’, mereka sudah mampu bergaduh sesama sendiri? Jadinya, semua parti pembangkang dan pemimpinnya mahu jadi Perdana Menteri? Penulis ingatkan, hanya Dato’ Mahfuz Omar seorang saja yang teringin…

Baru berstatus ‘bayangan’ pun sudah takut berpecah belah? Belum tentu menang kalah, tapi sudah berpecah belah gara-gara jawatan Perdana Menteri dan anggota kabinet? Cuba bayangkan jika mereka menang, mungkin sampai bertumbuk berterajang sesama mereka berebutkan jawatan?

Atau sebenarnya Mahathir mempunyai calon Perdana Menteri sendiri dan tidak mahu ‘dicantas’ DAP, PKR mahupun PAN? Atau PKR, DAP dan PAN sengaja mahu ‘mempermainkan’ Mahathir dan akan memberi ‘suprise’ kepada lelaki yang mereka gelar ‘Maha-Firaun’ dan banyak memalukan mereka dulu?

Sekiranya berhajat untuk menafikan pandangan penulis di atas adalah amat mudah. Umumkan segera calon Perdana Menteri dan kabinet ‘bayangan’ Pakatan Harapan bersama ‘bunga raya’. Itupun jika benar-benar ‘anak jantan’. Jika tidak, faham-faham sajalah…

- mykmu.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik