Friday, December 16, 2016

JANGAN SAMPAI DIJAJAH SEMULA.

TERUSKAN berdoa agar orang Melayu yang berpecah belah kerana berbeza

SEKALI lagi kita mendengar raja-raja Melayu bersuara mengenai perpecahan dalam kalangan umat Islam. Gesaan atau titah seumpama itu bukanlah perkara baru, malah sudah acap kali dilakukan tetapi malangnya ia bagaikan mencurah air ke daun keladi. 

Seruan supaya umat Islam bersatu sudah dinyatakan dengan jelas melalui firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Bagaimanapun bagi sesetengah umat Islam ayat tersebut hanya sekadar untuk dibaca bukan diamalkan. Atas sebab itulah umat Islam seolah-olah sukar disatukan walaupun mereka pasti memahami betapa bahayanya jika terus berpecah belah.

Seperti biasa perbezaan politik menjadi tembok penghalang terbesar dalam usaha menyatukan umat Islam. Sementara ada sekelompok umat Islam yang dianggap atas pagar mengasingkan diri mereka, kelompok lain pula terus dengan agenda politik sehingga meletakkan perpaduan umat Islam di negara ini bagaikan retak menanti belah.

Tanpa mahu memikirkan kesan jangka panjang kepada kuasa pemerintahan umat Islam di negara ini, ada kelompok kononnya atas nama kebenaran memecahbelahkan lagi umat Islam dengan penubuhan parti politik baharu. Apa yang menyedihkan kelompok inilah dahulu yang beria-ia mengingatkan orang Melayu supaya bersatu kerana perpecahan akibat berbeza ideologi politik hanya akan menyebabkan mereka menjadi kelompok minoriti. 

Tetapi sekarang apabila matlamat atau agenda politik mereka tidak tercapai maka mereka sanggup waima bersekutu dengan musuh ketat sekali pun bagi mencapai apa yang mereka hajati.

Kesudahannya angkara politik mahu membalas dendam itu menyebabkan perpecahan Melayu semakin parah. Namun semua itu tidak pernah menyedarkan pihak terlibat atau mereka sengaja mahu melupakan fakta tersebut kerana sudah dikuasai amarah politik.

Jika kita mengkaji sejarah Islam berkaitan para sahabat Rasulullah SAW, mereka berpegang teguh ukhuwah sesama mereka. Para sahabat tidak akan sesekali melakukan tindakan yang boleh memecah belah mereka apatah lagi umat Islam. Apa yang sering terjadi antara mereka hanyalah perbezaan pendapat yang kadang kala diselesaikan dengan ijmak (kesepakatan) atau salah satu pihak tunduk kepada pendapat jamaah serta komitmen terhadap imam. Tidak ada seorang pun sahabat baginda yang memisahkan diri daripada jamaah.

Tetapi situasi yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia cukup berbeza. Hanya kerana tidak sependapat dengan perkara berkaitan politik, maka masing-masing memecah belahkan ummah dengan membawa haluan masing-masing.

Perpecahan umat Islam yang masih berlaku ketika ini bukanlah perkara kecil sebaliknya satu permasalahan yang perlu ditangani dengan bijaksana. Apa gunanya umat Islam berbangga bahawa mereka golongan majoriti di negara ini tetapi apabila mahu membuat sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, kita menjadi minoriti akibat berbeza fahaman politik. 

Perkara ini sudah berlaku contohnya dalam pembentangan Rang Undang-undang 355 bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah. Ketika pihak lain bersatu menentangnya, kita pula bertelagah sesama sendiri. Ada yang menyokong ada pula yang tidak. Keadaan itu sudah tentulah menggembirakan pihak-pihak lain yang sememangnya dilihat begitu alergi apabila perkara berkaitan Islam mahu diperjuangkan. 

Tetapi dalam kalangan kita masih belum sedar, kita terus bertelagah sesama sendiri sehingga ia bukan sahaja membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan malah memperkukuhkan kedudukan mereka. 

Mungkin dari satu segi boleh sahaja kita menuding jari kepada pihak yang mengambil kesempatan tersebut tetapi yang patut disalahkan ialah umat Islam itu sendiri khususnya pemimpin-pemimpin Melayu yang sebelum ini begitu tegar bercakap bahaya jika orang Melayu berpecah belah.

Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal ayat 46 yang bermaksud:`` Dan taatlah kamu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.

Sememangnya dalam situasi politik sekarang yang lebih banyak disirami dengan nafsu amarah, sukar untuk kita menyatukan umat Islam secara total. Mereka akan terus berbalah dan bertelagah sehingga sanggup bergabung dengan sesiapa sahaja asalkan impian mereka untuk merebut kuasa tercapai dan terus berpegang dengan fahaman bahawa apa yang mereka lakukan betul. 

Bagaimanapun kita tidak boleh berputus asa untuk berdoa agar umat Islam yang berpecah belah kerana berbeza ideologi politik akan kembali bersatu kerana jangan sampai keterlanjuran kita berbalah kesudahannya anak cucu kita merempat di tanah air sendiri manakala umat Islam kembali ‘dijajah’.

- UOL.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik