Sunday, December 25, 2016

MADEY CUBA PIKAT MAHASISIWA.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa cuba ‘memikat’ mahasiswa menerusi forum mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang berlangsung di pejabat Malaysiakini baru-baru ini.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zainal Asnawi Asyraf berkata, Dr. Mahathir dilihat sedang berusaha mendapatkan sokongan kerana dipercayai hampir 60 peratus golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi negara ini bakal terlibat dengan pilihan raya umum nanti.

“Mahasiswa merupakan pemangkin kemajuan negara, saya percaya Dr. Mahathir sedang menggunakan situasi ini bagi memikat kelompok berkenaan untuk turut serta dalam agenda politik beliau.

“Sehubungan itu saya berharap para siswa boleh berfikir dengan lebih rasional sebelum membuat keputusan dan tidak terlibat dalam mana-mana demonstrasi yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” ujarnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Syahmi Aiman Sulaiman berkata, tindakan Universiti Malaya (UM) menggantung pengajian aktivis siswa, Anis Syafiqah Mohd. Yusof selama satu semester pada 15 Disember lalu adalah wajar.

“Sebagai seorang mahasiswa, Anis Syafiqah tidak sepatutnya terlibat dan menjadi penganjur perhimpunan #TangkapMO1 pada Ogos lalu. Dia sepatutnya menggunakan saluran betul untuk menyampaikan rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku, bukannya melalui demonstrasi seperti itu.

“Mahasiswa lain perlu mengambil pengajaran atas apa yang terjadi kepada Anis Syafiqah dan tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi yang boleh meninggalkan implikasi buruk terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Presiden MPP Universiti Malaya, Hazwan Syafiq Haznain pula berkata, para siswa seharusnya mematuhi apa yang termaktub di dalam AUKU kerana akta itu berperanan mendidik mahasiswa mengenai hak-hak mereka untuk berhubung dengan masyarakat dan bersuara mengikut saluran yang dibenarkan.

“Dengan adanya AUKU, kelompok mahasiswa berpeluang membuktikan semangat cintakan negara menerusi cara dan saluran yang betul dan seterusnya mampu menjadi pemimpin berkualiti yang akan mewarisi kepemimpinan negara nanti,” katanya.

Utusan


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik