Friday, December 30, 2016

MEDIA SOCIAL BUKAN KIBLAT KITA.

gambar yang diambil pada 7 November 2013 menunjukkan logo Twitter

SIAPA tidak kenal Twitter? Siapa yang tidak tahu Instagram? Siapa yang tidak pernah menggunakan WhatsApp? Siapa yang terlalu jumud sehinggakan tidak kenal Facebook?


Pasti tidak ada insan yang tidak kenal itu semua. Bahkan jangan terkejut jika penulis katakan bahawa ada di antara kita yang mempunyai lebih daripada satu akaun bagi setiap aplikasi itu. Begitulah hebatnya penangan dan peranan media sosial di dalam kehidupan seharian kita. 


Bagi generasi lama, mungkin merasakan bagai mimpi disogokkan teknologi untuk bersosial sedemikian rupa. Maklum sahaja lah, selama ini mana ada teknologi seperti ini sehinggakan gambar, mesej, dan apa juga boleh dikongsi ke serata dunia dalam tempoh berselang hanya kerdipan mata. Ini mencetuskan satu fenomena baharu sehinggakan ada yang menjadi begitu taksub. Penulis pernah melihat anak kecil tak boleh menjamah makanan yang sudah lama sampai di meja sebuah restoran hanya kerana ibunya belum habis mengambil foto makanan tadi untuk dimuat naik ke laman Facebook.


Bagi generasi Y dan Z pula, lain ceritanya. Mereka lahir, hidup dan membesar bersama telefon bimbit dan segala macam gajet yang ada di pasaran. Samsung dan Oppo teman sejati. Tika berpergian telefon bimbit harus ada di genggaman. Seandainya terlupa dan tertinggal di rumah sana, berpatah balik untuk mengambilnya semula tak jadi masalah meskipun sudah berada puluhan kilometer jaraknya.


Maklumlah celik sahaja biji mata, emak ayah sudah hadiahkan Ipad, Notepad, telefon bimbit dan segala bagai. Daripada bangku sekolah rendah sampailah ke alam sekolah menengah, kemudiannya masuk pula ke kolej, gajet ini tidak mampu dipisahkan dengan kehidupan mereka.


Keakraban ini secara tidak langsung menyebabkan minda generasi baharu ini seakan sudah dipahat bahawa apa yang tertera dan tertulis di gajet sana adalah sumber informasi utama mereka.


Media sosial meskipun banyak kebaikannya namun apabila terlampau obses, perkara sebaliknya memang boleh berlaku. Peradaban bangsa boleh runtuh kerananya. Sejarah negara pun sampai tidak dipercayai gara-gara celoteh entri media sosial punya angkara. Kita sesama kita juga boleh berlaga angin dan berseteru kerananya. Malah media tradisional yang ditulis oleh pengamal yang lebih berintegriti pun sudah hampir tidak dipercayai lagi. Sedikit demi sedikit tampak generasi muda semakin berjaya digoda bahawa media sosial adalah sumber maklumat mereka yang paling boleh dipercayai. Jika ini berterusan berlaku untuk beberapa tahun lagi, penulis percaya akan rosaklah segala catatan peristiwa yang ada, sejarah, arkib dan budaya negara diubah oleh virus ketaksuban berita daripada media sosial.


Banyak sudah iktibar luar yang kita lihat berlaku di negara lain. Yang dilabelkan calon underdog boleh menang kerana media sosial. Ketamadunan juga boleh tumbang dek penangan media sosial.


Negara-negara Asia Barat tak henti-henti bersengketa. Negara Islam yang lainnya seperti Syria dan Yemen tidak pernah pudar daripada gelora. Semua keadaan ini diburukkan lagi gara-gara taksub isi dan berita daripada media sosial.


Patutlah China menyekat kandungan dan menghalang operasi media sosial luar di negaranya demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat jelata dan kemakmuran di negara mereka.


Sebagai kesimpulannya, isi yang tersebar dan terpapar di media sosial banyak yang direka daripada yang betulnya, banyak yang diolah semula daripada yang benar. Hadis palsu , malah al-Quran juga yang telah dipinda ayatnya kedapatan tersebar merata di media sosial. Fitnah juga seakan berleluasa dan semakin bermaharajalela. 


Ini terbukti apabila seringkali apa juga yang tersiar dan tersebar kemudiannya dinafikan pula bermati-matian oleh yang empunya diri. Apakah maknanya ini? Bukankah ini bermakna bahawa berita yang disebarkan itu tidak betul? Inikah sumber maklumat yang ingin kita jadikan bahan rujukan sebenar? Inikah sumber bahan yang kita nanti-nantikan sebagai punca bagi mendapat maklumat sahih dan mutakhir?


Tampaknya, ia bukanlah satu lowongan atau jalan pencarian bahan yang seratus peratus tepat. Sejajarlah juga dengan namanya sebagai media sosial dan tidak pernah dirujuk pun sebagai media rasmi. Hanya kita yang terkadang kala terlebih taksubnya sehingga mengibaratkan sumber berita sosial itu sebagai berita yang official.


Kita perlu belajar untuk menyemak sumber dan berlatih untuk menjadi penapis. Bukan semberono menerima dan berkongsi semula maklumat yang terpapar di papan muka Facebook. Janganlah bergembira dan bersukaria ria berkongsi fitnah dan mencipta dosa sepanjang usia.


Kita juga perlu berfikiran tuntas dan mempunyai daya anjakan paradigma. Tidak selamanya kita boleh berpendapat bahawa detergen basuhan yang berbuih banyak itu menjamin kebersihan kain baju yang dibasuh. Kerana ada pendapat lain yang mengatakan sebaliknya.


Dalam melestarikan corak pemikiran madani; kewajaran dan pembuktian menjadi sandaran utama. Bukan goyangan emosi dan golekan perasaan mendahului segalanya.


Justeru, janganlah dijadikan media sosial ini sebagai kiblat. Tak sedarkah akan bahayanya yang sedia menanti seandainya kita terus-terusan lalai dan alpa. Yang rugi bukannya mereka tetapi diri sendiri, keluarga ,bangsa dan negara . Oleh itu, tepuk dada ubah minda, perkemaskanlah cara. Mudah-mudahan semua akan selamat dan sentiasa dirahmati oleh Allah yang Maha Esa.

- Syed Mazlan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik