Thursday, December 15, 2016

SEHATI SEJIWA BERSAMA SPRM PERANGI RASUAH.

KETUA Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad (kiri) mengedarkan

SAMBUTAN Hari Antirasuah Antarabangsa 2016 peringkat nasional pada tahun ini menampilkan tema ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ atau United Against Corruption. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa. Tema sambutan kali ini dilihat cukup signifikan kerana mutakhir ini masalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilihat semakin kritikal dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk memeranginya dari peringkat akar umbi lagi.

Hakikatnya tugas dan tanggungjawab memerangi rasuah tidak boleh disandarkan pada bahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata. Walaupun memang betul itu adalah tugas hakiki SPRM namun setiap seorang daripada kita juga ada peranan dalam memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada amalan rasuah.

Penulis agak tertarik dengan sasaran yang ditetapkan SPRM iaitu memastikan negara ini bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun akan datang. Walaupun sasaran itu terlalu ideal namun penulis percaya ia tidak mustahil untuk dicapai andai seluruh rakyat memberikan sokongan dalam setiap usaha membanteras rasuah.

Perlu diingatkan sepanjang tahun ini saja, tangkapan demi tangkapan membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi. Beberapa orang penjawat awam dan pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan ditahan membabitkan nilai rasuah yang cukup tinggi termasuk rampasan dalam bentuk wang tunai dan aset seperti kereta dan rumah. Antara kes yang cukup menarik perhatian khalayak adalah membabitkan penyelewengan dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Oktober lalu. 

Dalam pada itu, statistik yang dibentangkan juga cukup serius dan membimbangkan. Misalnya, gejala rasuah melibatkan belia di negara ini dilaporkan berada pada tahap cukup merisaukan apabila 54 peratus daripada 5,799 individu yang ditahan atas jenayah itu sejak 2003 hingga 2013 adalah golongan berkenaan. Malah berdasarkan statistik sejak 2013 sehingga Oktober tahun ini, daripada 1,092 individu yang ditahan SPRM, seramai 1,045 orang melibatkan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

Jelas gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mengenal usia, agama mahupun bangsa. Baik belia mahupun golongan dewasa semuanya boleh terjebak dengan mudah andai gagal membudayakan nilai-nilai integriti yang tinggi. Justeru, masalah ini harus dilihat dalam konteks yang lebih meluas. Dalam hal ini masyarakat boleh memainkan peranan dengan membantu agensi penguatkuasaan memerangi rasuah secara menyeluruh. 

Masyarakat juga perlu bertindak sebagai telinga dan mulut kepada pihak berkuasa. Seperti kata SPRM, mencegah rasuah bukan usaha eksklusif agensi itu semata-mata sebaliknya rakyat perlu membantu dan memberikan sokongan sepenuhnya. Dalam konteks ini, orang ramai wajar berani melaporkan sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku di sekeliling. Ini adalah tanggungjawab sosial dan juga moral setiap warganegara yang mahukan negara ini bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. 

Penulis percaya ramai dalam kalangan kita tahu atau terdedah kepada maklumat tentang amalan rasuah mahupun salah guna kuasa di sesebuah jabatan namun memilih untuk memejamkan mata dan memekakkan telinga. Kebiasaannya kita hanya akan marah mahupun bertindak jika ia melibatkan diri mahupun keluarga kita. Sikap mementingkan diri seperti inilah yang menyebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di negara ini. 

Mengambil kira gejala rasuah yang semakin membimbangkan terutamanya dalam kalangan golongan belia, penulis berpandangan usaha untuk membanteras dan mencegah rasuah perlu lebih berfokus kepada kumpulan sasaran dengan mengutamakan elemen ilmu dan pendidikan. Misalnya, peringkat pertama ialah di rumah dan keluarga masing-masing. Setiap anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih yang bersih, ibu bapa yang bakal menentukan warnanya dan mencorakkan masa depan mereka. Justeru ibu bapa perlu menerapkan budaya benci rasuah sejak anak itu kecil lagi dan ini perlu berlaku dalam setiap keluarga.

Selepas itu barulah kita wajar letakkan tanggungjawab yang lebih besar dan spesifik kepada pihak sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT). Anak-anak yang diterapkan dengan budaya membenci rasuah di rumah boleh dilentur lagi di peringkat sekolah pula dengan ilmu dan pendidikan yang lebih formal dan berstruktur. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlu lebih kreatif dalam menerapkan rasa benci kepada rasuah. Gunakan segala pendekatan yang interaktif dan menarik supaya anak murid faham untuk katakan tidak kepada rasuah. 

Peringkat berikutnya adalah tanggungjawab pihak IPT pula. Usaha menerap budaya benci rasuah perlu disahut dan dipertingkatkan lagi di peringkat IPT yang bakal menjadi destinasi terakhir belia kita sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. Mereka perlu disedarkan risiko terlibat dalam rasuah baik terhadap diri sendiri, keluarga mahupun kerjaya dan masa depan secara keseluruhannya. Maka IPT dan pensyarah juga ada peranan besar dalam hal ini.

Seterusnya usaha membanteras, mencegah dan mendidik perlu dilaksanakan pada peringkat organisasi masing-masing melibatkan pekerja dan setiap anggota organisasi baik awam mahupun swasta. Setiap pekerja perlu didedahkan kesan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah dari hari pertama mereka lapor diri untuk bekerja. Amaran keras dan peringatan perlu diberikan dari hari pertama lagi. Contoh-contoh penyelewengan dan salah guna kuasa juga perlu diterangkan secara terperinci mengikut skop tugas setiap pekerja supaya mereka jelas dan faham tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. 

Jika semua pihak dapat melaksanakan peranan masing-masing di setiap peringkat kehidupan iaitu sejak lahir hingga masuk ke alam pekerjaan yang kemudiannya akan disusuli dengan inisiatif dari pihak berkuasa, penulis percaya impian untuk menjadi negara bebas rasuah tidak mustahil dicapai. Tapi perlu diingatkan syaratnya ialah proses pencegahan dan pendidikan perlu berlaku di setiap peringkat dengan baik. 

Maka bersesuaian dengan tema tahun ini ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ marilah kita memasang tekad untuk mengamalkan nilai-nilai murni dan positif seterusnya melahirkan warga yang berintegriti tinggi dalam setiap amalan harian.

-UOL.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik