Kalau mengikut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, ia akan dibawa ke Parlimen pada Mac selepas mendapat kelulusan Majlis Raja-raja dan Jemaah Menteri.


Penulis berharap kali ini, akta tersebut benar-benar dipinda dan bukannya satu hasrat yang dilihat ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’ iaitu berjanji bertindak itu dan ini apabila sesuatu isu hangat diperkatakan.


Sebelum ini, pindaan itu terpaksa ditangguhkan atas alasan ahli-ahli Parlimen mahukan kajian lanjut dilakukan bagi memastikan status kurniaan darjah kebesaran khususnya dari negara jiran adalah sahih atau sebaliknya.


Dalam berhadapan isu seumpama ini apa yang perlu difahami adalah bukan soal anugerah itu disampaikan oleh negara jiran atau tidak tetapi kewujudan individu-individu tertentu di negara ini yang mengisytiharkan diri mereka sebagai ‘raja’ atau ‘sultan’ sehingga merasakan mereka layak untuk menganugerahkan darjah dan pingat termasuklah membawa gelaran ‘Datuk’.


Inilah puak-puak yang harus dibanteras kerana berdasarkan kajian dan maklumat yang diperoleh oleh penulis ia berada pada tahap yang serius. Kemuliaan institusi raja-raja dicemari dengan sewenang-wenangnya. Majlis penyampaian anugerah oleh individu-individu tersebut termasuk mentabalkan seseorang sebagai ‘sultan’ ada yang dilakukan di kawasan rekreasi malah ada pula di hotel.


Justeru apakah individu-individu seumpama itu harus dibiarkan sahaja atas alasan rang undang-undang yang hendak dibentangkan perlu kajian lanjut? Menanti kajian tersebut berapa ramai lagi akan menerima anugerah ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ palsu dan berapa ramai pula mereka yang akan muncul mengisytiharkan diri sebagai ‘raja’ atau ‘sultan’.


Seperti mana didedahkan oleh akhbar ini, penganugerahan darjah dan pingat itu diberikan dengan sesuka hati asalkan seseorang itu mampu membayar harga ditetapkan. Soal siapakah orang itu? Apakah pekerjaan dia? Apakah jasanya? Langsung tidak diperhitungkan.


Penulis bukan membuat tuduhan melulu tetapi berdasarkan maklumat dan fakta yang ada. Segala-galanya berpunca daripada kelemahan dari segi undang-undang. Sebab itulah ada individu yang sama sekali tidak berasa takut untuk meletakkan gelaran ‘Yang Mulia’ atau ‘Duli Yang Maha Mulia..’’ pada nama mereka. Itu belum lagi mengambil kira keterujaan individu meletakkan pelbagai plak pada kereta mereka tanpa rasa bersalah dengan mendakwa daripada keturunan ‘raja’ atau ‘sultan’ tertentu.


Mereka berbuat demikian kerana tiada undang-undang khusus yang akan membolehkan mereka dibawa ke muka pengadilan. Tetapi soalnya bagaimana dengan institusi raja-raja yang dicemari? Kalaulah sesiapa sahaja boleh menganugerahkan darjah dan pingat, bagaimana dengan anugerah kebesaran oleh raja, sultan dan Yang Dipertua Negeri? Oleh itu sekarang bukanlah masa untuk memberi alasan, sebaliknya masa bertindak bagi mengelakkan lebih ramai ‘raja’ dan ‘sultan’ palsu muncul dan menghalang sikap kemaruk individu untuk mendapat anugerah ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ berterusan.


Memang benar ada anugerah daripada luar negara perlu diiktiraf tetapi adakah wajar yang bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ pun mahu mendapat darjat yang sama? Siapakah mereka yang begitu hebat hingga diberi anugerah seumpama itu oleh ‘raja’ dan ‘sultan’ dari luar negara? Apa jasa mereka kepada negara tersebut?


Kalaulah individu berkenaan begitu berjasa sudah pasti mereka akan menerima anugerah atau gelaran itu secara sah daripada raja, sultan atau Yang Dipertuan Negeri dalam negara kita. Apa yang pasti berdasarkan maklumat, penulis mendapati kebanyakan mereka mempunyai latar belakang meragukan dan menggunakan gelaran tersebut untuk kepentingan peribadi.


Justeru langkah kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pemberi dan penerima adalah satu tindakan yang amat tepat.


Apapun, janganlah sampai kita khususnya orang Melayu diketawakan kerana terlalu ramai mahu menjadi ‘raja’ dan ‘sultan’, ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ berikutan ketiadaan undang-undang bagi menghalang kelompok yang dianggap ‘dijangkiti ‘penyakit krisis identiti’ itu.