Thursday, January 12, 2017

BEGITU MUDAH PERCAYAKAN KHABAR ANGIN.

BUKANLAH tujuan di sini untuk memperkecilkan masyarakat kita atau mungkin masyarakat umum di serata dunia ini. Namun, secara realitinya , ramai antara kita yang begitu mudah mempercayai sesuatu yang sensasi tanpa membuat sebarang siasatan akan kesahihan sesuatu berita itu. 


Contoh paling jelas apabila kita lebih suka membaca cerita artis yang bercinta sehingga membawa ke alam perkahwinan. Dan kita juga yang akan terus suka membaca berita apabila pasangan artis yang sama bercerai! Bahkan bahagian gosip dalam mana-mana akhbar, pada kebiasaannya akan sentiasa 

menjadi pilihan utama pembaca. Inilah hakikatnya.


Itulah sebabnya bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada pihak yang cuba melaga-lagakan hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Walaupun kisah-kisah sensasi ini dikatakan bukannya sesuatu yang baharu, tetapi nampaknya berita ini semakin tersebar sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2016.


Pada kebiasaannya, berita angin seperti ini selalunya bertiup kencang apabila mula dikhabarkan pilihan raya umum akan diadakan. Begitu juga sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda untuk cuba menggoncangkan kapal UMNO yang didakwa sedang menunggu masa untuk karam.


Pada masa sama juga, kita tidak boleh menolak kemungkinan campur tangan golongan parasit yang begitu nampak baik dan alim di hadapan, tetapi boleh diibaratkan seperti sebilah pisau lipat yang menanti masa yang sesuai untuk menikam dari belakang.


Apa yang pasti khabar angin ini timbul kerana adanya pihak yang berasa dengki dengan persefahaman serta solidariti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO. Dan secara langsung, perpaduan ini menggambarkan juga keharmonian dan persefahaman yang semakin mantap di peringkat atasan, yang diterajui oleh Najib dan Ahmad Zahid.


Mungkin mereka tidak tahu yang hubungan Najib dan Ahmad Zahid bukan baharu berputik setahun dua ini. Kedua-duanya sudah lama menjalin hubungan yang mantap dalam pentadbiran dan bersama-sama bergerak dalam UMNO sejak sekian lama dahulu. Dan jika dilihat pada rekod Najib dan Ahmad Zahid, ternyata kedua-dua pemimpin ini sentiasa memperjuangkan kepentingan agama dan negara. Oleh itu, jangan sesekali mempersoalkan kesetiaan mereka yang telah lama berganding bahu untuk memastikan UMNO sentiasa relevan dan semakin kukuh.


Dalam hal ini, Najib pernah menjelaskan bahawa penyebaran dakyah palsu kononnya ada usaha dari Ahmad Zahid untuk menentangnya adalah taktik murahan yang ternyata gagal untuk menggugat persefahaman dan kombinasi mantap antara mereka berdua. Menurut Najib lagi, usaha ini membuktikan yang musuh UMNO kini berada dalam keadaan yang amat terdesak sekali.


Bahkan Najib dengan lantang menjelaskan bahawa: “Tidak menghairankan mereka menyebarkan khabar angin dengan tujuan meretakkan hubungan baik saya dengan Timbalan Perdana Menteri, mungkin mereka menganggap perwatakan beliau sama seperti bekas ahli parti yang mengutamakan agenda peribadi berbanding kepentingan parti dan negara”.


Mungkin apa yang lebih menyedihkan adanya ahli UMNO yang begitu mudah percaya dengan khabar-khabar angin seperti ini. Tidakkah mereka sedar, taktik yang digunakan oleh musuh UMNO ini adalah untuk melalaikan ahli-ahli UMNO supaya terus berbincang dan berdebat tentang sesuatu yang tidak sahih, sedangkan masa itu lebih baik dimanfaatkan untuk melakukan usaha-usaha yang boleh memantapkan perpaduan dan solidariti dalam UMNO.


Kepada ahli-ahli UMNO, inilah masanya untuk anda semua sama-sama bangkit dan membantu merapatkan saf dalam jemaah UMNO tidak kira sama ada di peringkat akar umbi mahupun di peringkat atasan. Dan janganlah mudah percaya pada khabar-khabar angin yang hanya bertujuan meretakkan perpaduan dalam UMNO.


PENULIS: SHAHBUDIN EMBUN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik