Sunday, January 15, 2017

DIRI UMPAMA SEBATANG POKOK.

Banyak orang berpendapat duit/wang adalah ‘kuasa’. Dengan duit/wang kita dapat membeli segala yang kita mahu, sebab itu kalau tidak ada duit kita tidak akan mengecap bahagia. Namun begitu, banyak juga kes, penyakit yang tidak boleh diubati, walaupun kita mempunyai wang yang tidak terkira banyaknya. Lalu dalam hal ini, wang gagal membeli kesihatan kita dan, kerana kesihatan kita tidak dapat dikembalikan, maka ketenangan hidup kita tercalar, kebahagian langsung lenyap, bahkan kewangan kita tentu terjejas kerana banyak membiayai kos perubatan untuk memulihkan kesihatan kita. Dalam hal ini bolehkah kita katakan lagi, wang ‘kuasa’ dalam kehidupan kita?


Lantaran itu ada pula orang berpendapat, dalam hidup ini, duit bukan segala-galanya. Tetapi, hakikatnya dalam kehidupan sekarang, segala-galanya memerlukan duit. Cuba kita fikir dan renungkan tentang hal ini dan di manakah pendirian dan pilihan kita? Kalau kita diberi peluang memilih, apakah pilihan kita? Pertama, kita ada segala-galanya di dunia, dan kita tenang. Kedua, kita ada segala-galanya di dunia, tetapi kita tidak tenang. Ketiga, kita tidak ada apa-apa tetapi kita tenang.


Orang yang benar-benar tenang ialah orang yang memiliki fikiran yang baik, kesihatan yang baik, hubungan yang baik dengan manusia, keyakinan yang baik kepada agama dan kewangan yang baik. Yang penting bukan di mana kita berada secara fizikal, tetapi di mana kita berada dalam jiwa dan minda? Contohnya kita tidak perlu bilik yang cantik secara nilaian fizikal, tetapi macam mana kita atur atau bayangkan dalam minda kita kecantikan di dalam bilik tersebut, itulah yang lebih penting. Sebab itulah pentingnya menjaga minda (fikiran) dan jiwa (hati), kerana diri ini umpama sebatang pokok.


Baik atau buruk kualiti buah daripada sebatang pokok bergantung pada asal usul benihnya. Pada sebatang pohon, yang paling penting dijaga sejak dari awal peringkat pertumbuhan, adalah akarnya, bukan rantingnya. Demikian jugalah manusia, baik dan buruk seseorang itu bergantung pada hati dan mindanya (‘dunia dalaman’). Ibarat manusia dan pokok adalah, akarnya adalah akidah. Kuat akarnya, bercambahlah rantingnya. Rantingnya adalah ibadah. Banyak rantingnya, banyaklah buahnya. Buahnya atau hasilnya yang baik adalah akhlak yang baik.


Oleh sebab itu jagalah kualiti tiga perkara ini (akidah, ibadah dan akhlak), untuk menjadi jaminan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Jom audit diri kita, apakah yang mendominasikan hidup kita, Allah atau manusia? Semakin hari kita semakin dekat dengan Allah, dan orang yang dekat dengan Allah, Allah dekat dengannya. Semakin kita dekat dengan-Nya semakin kita berjaya dunia dan akhirat. 


Hidup dengan penuh kehambaan kepada-Nya, yang menjurus kepada sikap hubudiyah, iaitu beribadah, bukan hanya dengan perlakuan fizikal semata-mata, tetapi melibatkan amalan beribadah secara fizikal dengan hati penuh kehambaan kepada-Nya.


Orang yang hidup dengan penuh kehambaan kepada-Nya akan memiliki “magnet diri” yang positif. Banyak orang mendakwa berfikir secara positif tidak menjamin kejayaan dan sangat berisiko apabila gagal mencapai apa diidamkan.


Sesungguhnya benar, kalau kita hanya berfikir positif sahaja (hanya menggunakan mata akal) tanpa menggunakan mata hati, memang tidak akan berkesan. Sebab apabila kita berfikir, segala yang kita mahukan atau cita-citakan itu tidak masuk dalam emosi kita. Sesuatu yang kita lakukan tanpa emosi tidak akan berkesan atau tidak akan tercapai. Hal ini terjadi kerana setiap manusia itu mempunyai dua jenis minda (minda sedar = akal) minda bawah sedar/minda segar = roh /jiwa/hati). Percayalah, kalau kita bercakap tanpa masuk dalam hati kita, sesuatu perkara yang kita cakap itu tidak akan terjadi, walaupun kita mengucapkan kata-kata positif itu berulang kali, kerana kita tidak bercakap dari hati, segala yang kita sebut-sebutkan itu amat sukar hendak digapai.


Kenyataan

Jom jaga emosi kita, kerana emosi yang positif merangsang fikiran positif dan tindakan kita juga akan menjadi positif. Jadilah kita seorang yang bermagnet positif. Oleh sebab itu bagaimana kita membetulkan ‘dunia dalaman’ akan mempertingkatkan ‘magnet diri’ yang akan menjadi pola tarikkan aura manusia. Roh seseorang akan serasi dengan roh orang yang seaura dengannya. Sesiapa yang emosinya negatif, magnet kehidupannya negatif dan dia akan berada dalam ‘sungai kehidupan’ yang negatif (manusia keladak) dan sebaliknya.


Formula ‘magnet diri’ dan konsep ‘ADA – BERI – DAPAT’, menghuraikan bagaimanakah rahsia untuk menjadikan segala impian menjadi kenyataan. Sebab undang-undang tarikan berfungsi menukar niat, berlaku banyak gelombang. Setiap kali kita fikir, emosi kita menentukan getaran dan gelombang jiwa kita. sebab itu apabila kita hendak ubah suasana kita ubah emosi. Sebab itu apa yang berlaku ‘di luar’ (ke atas fizikal) tidak penting tetapi yang penting apa yang berlaku ‘di dalam’ (ke atas hati/roh/jiwa). 


Ingatlah, kita tidak boleh ubah apa yang tidak boleh kita ubah (bukan dalam kekuasaan kita), jadi ubah cara kita melihat kejadian, ubah persepsi kita atas setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita.


Untuk disenangi orang dan mendapat ‘magnet diri’ positif, jagalah percakapan, tingkah laku dan hati budi kita. Ada kalanya diam lebih baik daripada bercakap yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat, tanda orang yang beriman kita akan bercakap perkara yang baik dan tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Cakapnya berhemah dan penuh dengan rasa rendah hati bukan rendah diri.


Kebijaksanaan seseorang akan terserlah apabila kita bijak mengawal kata-kata – bila kita perlu diam dan bila kita perlu berkata-kata mempertahankan kebenaran dan melawan kemungkaran. Jom lihat status Facebook kita dan percakapan kita, setiap saat jom audit sama ada kita memberi solusi, menceritakan peristiwa biasa, mengeluh, merungut atau mengumpat, membanggakan diri apa-apa yang kita dapat setiap hari. Semoga kita menggunakan Facebook sebagai ladang pahala.


Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada ‘golongan beralasan’ menjadi ‘golongan berjaya’ dengan cara membuat perubahan paradigma. Paradigma bermaksud batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman. Paradigma terkandung dalam ‘minda sedar’ iaitu apa yang kita fikirkan dan terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang. Iaitu, bagaimana seseorang itu berfikir dan kemudian memberikan respons emosi terhadap apa-apa yang berlaku. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- UOL.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik