Saturday, January 14, 2017

HATERS TUMPANG TUI KEJAYAAN FAIZ.


Selepas skuad Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 menceriakan rakyat Malaysia dengan kejayaan memenangi pingat emas, perak dan gangsa tahun lalu, rakyat Malaysia sekali lagi bergembira dengan kejayaan Mohd. Faiz Subri memenangi Anugerah Jaringan Gol Terbaik pada Anugerah Puskas Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) 2016. Kejayaan itu sungguh bermakna kepada Mohd. Faiz dan Malaysia kerana dicapai di peringkat dunia. Pencapaian yang mungkin hanya berlaku sekali dalam seumur hidup itu amat membanggakan.


Kemenangan pemain bola sepak pasukan Pulau Pinang itu sedikit sebanyak menceriakan dunia bola sepak negara yang seolah-olah sedang berkabung panjang dengan suasana suram, lesu dan meletihkan. Walaupun ada yang menganggap itu hanyalah satu pencapaian individu, Mohd. Faiz turut membawa nama Malaysia. Kejayaan itu tetap memberi kegembiraan kepada seluruh rakyat terutama peminat sukan bola sepak tempatan.


Apa tidaknya, melihat pemain bola sepak berusia 29 tahun ini menaiki pentas bagi menerima anugerah itu sambil diiringi tepukan gemuruh hadirin yang sebahagian besar adalah individu penting dan hebat dalam sukan bola sepak dunia adalah detik sungguh bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia. Sebagai salah seorang pemenang, Mohd. Faiz berdiri sebaris dengan bintang-bintang bola sepak hebat masa kini yang sudah diangkat sebagai legenda.


Jika selama ini setiap pemain bola sepak di atas muka bumi ini hanya memasang impian untuk berada di pentas bersama nama-nama hebat itu, Mohd. Faiz adalah salah seorang yang berjaya mencapai impian itu. Dia sungguh bertuah dan dia tidak lagi bermimpi. Sebaris dengannya adalah nama-nama hebat dalam dunia bola sepak antarabangsa seperti Ronaldo, Marcelo, Luka Modric, Toni Kroos, Sergio Ramos, Claudio Ranieri dan Falcoa.


Bagaimanapun seperti biasa, bukan semua orang senang melihat dan boleh menerima kejayaan hebat Mohd. Faiz ini. Segelintir haters atau pembenci atau lebih sesuai dipanggil ‘pendengki’ tidak tidur malam mencari ‘kecacatan’ penjaring gol paling cantik di dunia untuk tahun lalu itu.


Maka isu-isu remeh-temeh diperbesar-besarkan yang kalau diteliti bukan isu pun sebenarnya. Isu cadangan berbaju Melayu di majlis tersebut, isu tidak fasih berbahasa Inggeris ketika berucap, isu Mohd. Faiz bukan pemain kebangsaan dan isu kejayaan itu tidak mewakili gambaran sebenar situasi bola sepak negara dan pelbagai lagi. 


Pembenci dan pendengki ini pula ada macam-macam. Sebuah portal berita propembangkang terang-terangan memperlekehkan kekurangan Mohd. Faiz ketika berucap dalam bahasa Inggeris pada majlis tersebut. 


Lebih menjijikkan, portal itu mengaitkannya dengan situasi seorang pemimpin politik negara yang tidak berapa lancar ketika berucap dalam satu forum antarabangsa sedikit masa dahulu.


Portal tersebut barangkali merasa hebat kerana kebanyakan wartawan dan penulisnya boleh bertutur dalam ‘bahasa Inggeris ratu permaisuri dengan sedikit pelat Asia Selatan.’


Selain tentera siber yang menyerang Mohd. Faiz ada juga dalam kalangan haters ini bersayap emas dan turun dari kayangan. Hanya dia sahaja yang boleh menembak dan orang lain sekadar mampu menahan tanpa perisai. 


Selain pembenci dan pendengki, tidak kurang juga yang mahu menumpang semangkuk kejayaan Mohd. Faiz. Itu fenomena biasa di Malaysia ini.


Setiap kali ada individu mengukir nama di persada antarabangsa, maka muncullah individu sama ada orang perseorangan atau ahli politik cuba menumpang tui. Tanpa berselindung mereka selamba sahaja menuai kredit daripada kejayaan besar Mohd. Faiz.


Dia adalah anak didik kami, kejayaan dia hasil tunjuk ajar, didikan dan asuhan kami adalah antara beberapa rangkap kata popular dalam mewajarkan dakwaan masing-masing. Memang seronok bila menumpang nama orang hebat yang baru sahaja mencipta fenomena ini. Bersedialah wahai Mohd. Faiz dengan pelbagai lagi.


Itulah realiti yang berlaku di Malaysia ini. Mereka lebih gemar mencari kekurangan dan kelemahan supaya dapat mewujudkan polemik atau dijadikan modal politik masing-masing.


Berbeza dengan apa yang berlaku di Barat. Pakar-pakar kejuruteraan dan teknikal daripada institusi pembangunan sukan tekun mengkaji bagaimana tendangan unik itu tercipta sehingga disifatkan sebagai penuh ajaib.


Mereka membincangkan perkara itu daripada pelbagai sudut sains sukan, fizik, geografi, persekitaran dan cuaca semasa.


Antaranya, Kerstin Wieczorek, Pengurus projek FluiDyna, sebuah syarikat kejuruteraan yang berpangkalan di Jerman, Johsan Billingham daripada Bahagian Pembangunan Teknikal, Program Pembangunan Kualiti Bola sepak FIFA dan Dr. Christophe Clanet dari Politeknik Ecole, Paris.


Banyak teori dan dapatan diperoleh, antaranya bagaimana faktor cuaca panas dan kedudukan padang dari aras laut memainkan peranan dalam membantu menjadikan bola melencong sedemikian rupa selain latihan dan kerja keras pemain itu sendiri.


Salah seorang daripada mereka turut menyamakan tendangan itu seperti tendangan legenda Roberto Carlos 20 tahun lalu ketika Brazil melawan Perancis.


Pada masa yang sama ada berpuluh-puluh rakaman video yang diposkan ke laman sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter menunjukkan pemain bola sepak dari seluruh dunia bertungkus lumus berlatih dan cuba meniru tendangan pemain kelahiran Kedah itu. 


Kejayaan Mohd. Faiz secara tidak sedar mewujudkan satu fenomena baharu dalam sukan bola sepak. Masing-masing mahu menghasilkan sepakan atau tendangan seperti dia. 


Kepada tuan punya badan sendiri, kejayaan besar ini sudah pasti merangsang motivasi untuk memajukan diri dan membaiki kualiti permainan. Para peminat bola sepak tempatan sudah pasti ternanti-nanti kemunculan dia dalam liga bola sepak tanah air musim depan.


Teruskan Mohd. Faiz! Haters, pembenci atau pendengki ada di mana-mana tetapi bilangan itu tidak mampu meruntuhkan sokongan berjuta-juta rakyat Malaysia yang telah menjulang anda sebagai juara!

-UOL.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik