Saturday, January 14, 2017

JABATAN PEGUAM NEGARA KEKAL TEGUH.

Mohamed Apandi Ali


Jabatan Peguam Negara (AGC) kekal teguh sekalipun menerima serangan kritikan yang hebat tahun lalu, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Katanya, AGC dibadai serangan dan tanggapan berat sebelah dalam tempoh 12 bulan lalu dengan komitmen dan usaha jabatan untuk menegakkan pelaksanaan pengadilan yang cekap dan saksama di Malaysia dipersoal.

“Akan tetapi seperti kata-kata orang bijak pandai, ‘seseorang tidak boleh mengawal orang lain, tetapi ia boleh mengawal reaksinya kepada mereka’. Begitulah cara jabatan ini mendepani cabaran itu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan yang turut memaklumkan Mohamed Apandi tidak dapat hadir ke majlis itu disebabkan komitmen tugas yang dirancang lebih awal.

“Walaupun teruk kami diserang, Jabatan Peguam Negara tidak goyah,” kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata, AGC berjaya mengharungi gelora cabaran 2016 dengan yakin dan tenang bersandarkan kerja dan semangat sepasukan yang hebat.

Katanya, inti pati slogan baharu AGC ‘Bertekad Menegakkan Keadilan’ dipegang oleh pegawai jabatan dalam apa juga situasi dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menegakkan keadilan dan mempertahankannya tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Mohamed Apandi berkata, dua prinsip utama yang diterap dalam slogan baharu AGC akan membimbing beliau dan rakan sekerja untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai undang-undang kerajaan.

Beliau berkata, siri-siri perubahan ketara dan penambahbaikan telah dilaksana sejak tahun lepas dan akan diteruskan di jabatannya untuk empat tahun akan datang menerusi Pelan Strategik Jabatan Peguam Negara 2016-2020 yang dilancar Mei lalu.

“Proses kerja sedang ditambah baik dan piawai kualiti kerja dinaikkan,” katanya.

Mohamed Apandi berkata, keutamaan AGC ialah integriti dan jabatan itu telah melancarkan pelan lima tahun dikenali Pelan Integriti AGC 2016-2020 dengan sasaran menjadikan AGC sebagai organisasi bereputasi baik dari segi tadbir urus dan integriti. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik