Friday, January 6, 2017

KEDAULATAN BAHASA MELAYU KIAN DILUPAKAN.

“TERIMA kasih,” ujar penulis ketika menerima baki wang daripada juruwang kedai di salah sebuah pusat beli-belah yang terbesar di ibu negara. “Welcome,” balas juruwang berkenaan.


Mendengar jawapan itu, penulis memerhati dengan lebih teliti nama juruwang tersebut yang terpampang di tag namanya. Jelas, juruwang tersebut mempunyai nama Melayu. Daripada wajahnya serta warna kulit sawo matang, jelas boleh dibuat kesimpulan bahawa juruwang tersebut adalah orang tempatan.


Penulis bergerak kepada sebuah toko buku pula. Setelah membelek sebuah buku undang-undang yang dibalut dengan plastik, penulis telah bergerak menuju kepada seorang pembantu kedai.


“Maaf dik, saya nak tengok buku ni. Boleh saya buka plastik ni?”, tanya penulis.


“Of course, sir,” jawab pembantu kedai itu sambil tersenyum. Dari pemerhatian penulis, pembantu kedai ini juga jelas seorang anak muda berbangsa Melayu.

Apa yang tidak kena di sini?


Penulis hairan dengan jawapan yang diberi oleh juruwang dan pembantu kedai itu. Soalan yang diajukan disambut dengan jawapan dalam bahasa Inggeris. Perkara ini sebenarnya bukanlah suatu yang aneh. Kerapkali, perbualan harian yang berlangsung di antara kita disulami oleh bahasa ibunda dan bahasa penjajah. Malah, terdapat juga anak-anak watan yang lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. 


Penulis ingin membawa pembaca untuk mengamati Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen...” Demi kesempurnaan, harus dinyatakan di sini bahawa Perkara 152 (1) tidak menghalang pengajaran, pembelajaran, atau penggunaan bahasa-bahasa lain.


Sekiranya diteliti, peruntukan Perkara 152(1) adalah amat terang serta jelas. Bahasa rasmi negara ini adalah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain adalah tidak dilarang sama sekali.


Senario pada hari ini adalah orang kita amat mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Seseorang individu akan dikira ketinggalan sekiranya tidak tahu berbahasa Inggeris. Malah, bahasa pengantar sesetengah mata pelajaran di sekolah-sekolah pun adalah bahasa penjajah ini. 


Bahasa Inggeris juga digunakan dengan meluas di mahkamah-mahkamah kita. Masalah penggunaan bahasa di mahkamah ini diamati seawal 1990 oleh Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Hashim Yeop A. Sani. Beliau telah mengarahkan semua hakim dan pesuruhjaya kehakiman untuk menyampaikan sekurang-kurangnya satu alasan penghakiman dalam bahasa Melayu pada setiap bulan.


Lain pula pendekatan mahkamah pada hari ini. Mahkamah lebih terbuka dan menerima sekiranya hakim atau pesuruhjaya kehakiman menyediakan alasan-alasan penghakiman dalam bahasa Inggeris. Ini dinyatakan dalam kes Harcharan Singh Piara Singh v PP (2011) 6 CLJ 625. Dalam kes tersebut, perayu memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan selaras dengan Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995. 


Alasan permohonan antara lain adalah Mahkamah Persekutuan gagal untuk mematuhi Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila menyediakan alasan-alasan penghakiman dalam bahasa Inggeris. Namun begitu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hakim-hakim mempunyai budi bicara untuk menyediakan alasan penghakiman mereka sama ada dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris. Pilihan bahasa yang digunakan oleh hakim tertentu tidak boleh dicabar selagi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris.


Bukan itu saja, masalah ini juga menular dalam kalangan pemimpin kita. Mereka amat bangga berbahasa Inggeris di arena antarabangsa, sehinggakan ketika memberi ucapan kepada pendengar antarabangsa, bahasa kita dilupakan sama sekali. Anehnya, mereka ini masih berusaha untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa penjajah ini walaupun penguasaan mereka terhadap bahasa itu lemah dan tidak sempurna. 


Ini amat berbeza dengan pendekatan yang diberi oleh pemimpin dunia lain. Sebagai contoh, walaupun Presiden Rusia, Vladimir Putin, fasih berbahasa Inggeris, namun apabila memberi ucapan ataupun menghadiri sidang akhbar, beliau akan menggunakan bahasa Rusia. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin antara lain, dari Perancis, Sepanyol dan Venezuela. Kesemuanya lebih selesa malah berbangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri. 


Bahasa ibunda kita telah didaulatkan secara jelas oleh Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun, disebabkan minda kita yang masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, perkara-perkara yang mempunyai ciri-ciri Barat dipandang molek oleh kita. 


Pemikiran ini mesti dihakis. Dan proses penghakisan ini mesti dimulakan segera. 

Apa yang ingin penulis sampaikan di sini adalah kedudukan bahasa Melayu kian dilupakan. Janganlah kita sebagai orang Melayu sendiri menolak kepentingan bahasa Melayu. Sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dimartabatkan mengapa bukan kita? Tidak salah untuk menguasai bahasa Inggeris namun bahasa Melayu janganlah dilupakan sama sekali.


Pada pengamatan penulis, orang Melayu kini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dengan anak-anak. Malah lebih membimbangkan, anak-anak dewasa kini tidak fasih berbahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris. 


Tidak hairanlah jika ditanya keputusan peperiksaan anak-anak ini di sekolah, keputusan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris lebih memberangsangkan berbanding mata pelajaran Bahasa Melayu.


Adalah lebih membanggakan sekiranya anak-anak ini mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik tanpa mengabaikan penguasaan bahasa Melayu. Justeru, penulis meminta semua di luar sana untuk merenung sejenak. 


Pertimbangkanlah perkara ini. Janganlah bahasa Melayu dilupakan sementara bahasa penjajah diagung-agungkan. Sekiranya begitu, tiada apa lagi yang tinggal warisan bangsa Melayu untuk generasi akan datang.


- DATUK M REZZA HASSAN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik