Saturday, January 14, 2017

KEGELISAHAN DAP.

BARU-BARU ini Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming secara sinis mendakwa Pas kini semakin sebati dengan UMNO. Untuk ke sekian kalinya, pemimpin DAP mahu menyampaikan mesej bahawa persefahaman antara Pas dan UMNO adalah satu malapetaka untuk rakyat. DAP juga mahu memberi isyarat betapa Pas yang dahulu menjadi rakan karib mereka kini bergelumang dengan UMNO, sebuah parti yang mereka anggap usianya akan tamat pada pilihan raya umum akan datang.

Jika pemimpin UMNO dan Pas mengeluarkan kenyataan senada dalam apa juga isu, maka ia menjadi topik hangat di akaun laman sosial pemimpin DAP. Ini sesuatu yang pelik. Selepas terlerainya tahaluf siyasi antara mereka, DAP sepatutnya mengharapkan Pas akan berkubur. Ini bagi membolehkan PAN yang didukung DAP akan mengambil alih peranan Pas untuk menarik sokongan pengundi Melayu.


Jika DAP yakin teori bahawa UMNO itu sebuah parti yang jangka hayatnya akan berakhir tidak lama lagi, kenapa DAP resah melihat Pas begitu ‘serasi’ dengan UMNO? Bukankah keserasian itu sepatutnya menguntungkan mereka?


Tindak-tanduk DAP ini sebenarnya mencerminkan ketakutan serta kegelisahan mereka mengenai sebarang usaha untuk menyatupadukan politik Melayu. Kenapa mereka seringkali gundah setiap kali ada usaha untuk membawa dua parti ini duduk dalam satu pentas?


Sehingga satu tahap, DAP mengarahkan tentera-tentera sibernya menyalak di laman-laman sosial dengan memberitahu masyarakat Cina khususnya bahawa dasar berbaik-baik UMNO-Pas akan membawa kemudaratan kepada negara.


Bagaimana persefahaman dua parti yang mewakili rakyat majoriti boleh memudaratkan negara? Persoalan-persoalan ini wajar dijawab dengan ikhlas oleh pemimpin DAP. Melainkan perkembangan mutakhir hubungan UMNO-Pas menjadi satu ancaman besar kepada survival politik DAP.


Jika kita menoleh sejenak ke belakang, sejarah sebenarnya menceritakan bagaimana penyatuan Melayu seringkali menjadi pencetus keharmonian, lebih-lebih lagi tatkala negara diuji dengan bahana perpecahan. Kali pertama dalam sejarah politik moden, Melayu bersatu pada 1946 dalam usaha untuk menentang Malayan Union. Gerakan ini adalah langkah pertama dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Penyatuan ini juga membawa kepada kesepakatan pemimpin ketika itu untuk menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara.


Kali kedua adalah pada 1974 apabila terbentuknya Barisan Nasional (BN), selepas negara di ambang kemusnahan akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969. Namun selepas itu, perpaduan Melayu hanya tinggal kenangan.


Pasca tahun 2000, perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu menjadi istilah yang seolah-olah janggal untuk diungkapkan. Ia bukan lagi political correct untuk diperkatakan, hatta dianggap sebagai ‘dosa politik’. Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 pula menyaksikan kita seolah-olah kembali memasuki era pasca-sejarah, yang mana peristiwa-peristiwa lepas tidak lagi boleh diungkit atau dijadikan rujukan untuk menempa masa depan.


Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menyelesaikan sebarang permasalahan. Pendek kata, semua peristiwa yang berlaku selepas PRU-12 tidak lagi mengikut norma sebelumnya.


Negara berdepan satu fenomena baharu iaitu zaman ketidaktentuan. Formula-formula yang digunakan selama ini untuk membina asas kenegaraan, menyuburkan keharmonian dan mencipta kejayaan sudah tidak boleh digunakan.


Rakyat mahukan sesuatu yang baharu tetapi bagi mengisi keperluan yang sama. Ia menjadikan mereka sebagai konsumer politik yang mahukan segala-segalanya, tetapi tidak mahu bercakap soal kesetiaan.


Sehingga satu tahap, sejarah bukan lagi sesuatu yang perlu diteladani, tetapi dilupai. Ini adalah hasil daripada idea-idea liberalisme dan sudah ada petanda bahawa racun-racun fahaman ini semakin meresapi minda masyarakat. Akibatnya isu-isu agama Islam dan Melayu berani dipersoalkan bukan sahaja oleh bukan Melayu malah orang Melayu sendiri.


Ada golongan yang menyamakan waktu ini sama dengan Zaman Edan (era gila) seperti yang dilakarkan oleh pujangga Jawa abad ke 19 Ranggawarsita. Dalam Serat Kalatida, beliau menulis:

Menyaksikan zaman gila,

serba susah dalam bertindak,

ikut gila tidak akan tahan,

tapi kalau tidak mengikuti (gila),

tidak akan mendapat bagian,

kelaparan pada akhirnya,


Era gila inilah yang menjadikan perkara benar digambarkan sebagai perkara batil, manakala fitnah diterima sebagai sesuatu yang benar dan hak.


Kecelaruan inilah punca sebenar isu-isu sensitif yang selama ini menjadi teras keharmonian serta perpaduan negara mula disentuh dan dipersoalkan.


Kehadiran media sosial pula menjadikan suara-suara sebegini lebih lantang. Kelancangan dalam melontar pandangan mereka pula mewujudkan persepsi yang salah. Mereka yang mengetahui kebenaran pula takut untuk menyatakan pandangan kerana tidak mahu ‘diserang’.


Ini menyebabkan yang pro-kerajaan mengambil langkah berdiam diri kerana takut. Akhirnya, kebenaran tewas dengan persepsi.


Negarawan British Edmund Burke menyatakan apa yang diperlukan untuk kejahatan berjaya ialah apabila orang baik tidak berbuat apa-apa (the only thing necessary for the triumph of evil is that good men do nothing).


Inilah keadaan yang berlaku pada masa ini. Oleh itu, tidak menghairankan perpaduan orang Melayu atas nama agama Islam mendapat tentangan hebat, terutama yang tahu bahawa perpecahan seperti ini akan menguntungkan pihak mereka.

-UOL.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik