Tuesday, January 17, 2017

PERLUKAH RAKYAT MENEKA DALAM KESAMARAN?

RAKYAT Malaysia tidak sepatutnya ‘meneka dalam kesamaran’. Segala persoalan dan isu yang berbangkit tentang hal ehwal negara dan kerajaan kerap dijawab dan sentiasa diperjelaskan. Masalahnya adalah terdapat kelompok masyarakat yang hanya tahu ‘membuka mulut’ untuk melempar tohmahan dan dakwaan, tetapi ‘menutup telinga’ untuk mendengar penjelasan dan kenyataan.

Lalu persepsi pun terus bersarang di benak fikiran. Ramai kalangan mereka yang tidak tahu apa-apa pun sesuatu isu itu turut diheret mencemuh dan melempar tuduh­an. Golongan ‘pencanang’ di belakang pun ‘tersenyum puas’. Misi mereka sudah berjaya.

Apa sebenarnya tujuan mereka? Apakah ini cara untuk meraih sokongan masyarakat? Kenapa harus menggadai moral dan maruah dengan memutarbelitkan isu semata-mata mencari perbatuan politik sehingga adakalanya sanggup ‘bohong kering’?

Justeru rakyat perlu mengenal pasti sama ada segala tindakan dan pendekatan mereka ini untuk membina keharmonian, kesejahteraan dan menentukan sebuah negara Malaysia yang stabil, maju, makmur dalam erti kata sebenar atau ada agenda dan kepentingan tertentu.

Jika rakyat membiarkan persepsi salah terbenam dalam pemikiran, dikhuatiri mereka akan membuat pendirian atau keputusan tidak tepat yang akhirnya memungkinkan kehadiran petaka yang tidak diduga. Belajarlah daripada kesilapan percaturan politik rakyat di mana-mana negara di dunia.

Bijak pandai mengatakan: “Lebih baik menyala lilin daripada mengutuk kegelapan.” Kegelapan tidak akan hilang dengan kutukan dan makian, sebaliknya kegelapan akan hilang dengan lilin yang dinyalakan. Carilah sumber sahih dan tepat apabila berhadapan sebarang kemusykilan dan kekeliruan khususnya dalam isu-isu negara.

Apa yang disebutkan ini bukan suatu catatan dangkal untuk ‘berkempen pilihan raya’, meskipun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikatakan akan diadakan dalam waktu terdekat. Lebih penting ialah rakyat tidak seharusnya ‘memberi ruang’ untuk sebarang persepsi salah mempe­ngaruhi pemikiran mereka sehingga membuatkan mereka kecewa, marah, geram, berdendam atau membangkitkan sentimen yang ‘bukan-bukan’.

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan memberi cukup ruang untuk rakyat Malaysia membuat pilihan. Mereka boleh membentuk kerajaan yang mereka mahu dan memilih pemimpin yang mereka suka. Mereka berhak dan bebas bersuara tetapi segala-galanya perlu berlandaskan kaedah dan peraturan yang betul. Mereka perlu memahami batasan undang-undang dan tata kesu­silaan yang sewajarnya.

Mengambil contoh beberapa isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penulis kerap juga berhadapan dengan mereka yang ‘berselera’ benar untuk berkata: “Susahlah kita…sampai anak cucu kena menanggung hutang negara….”. Tetapi apabila ditanya kenapa akan jadi demikian, mereka tidak dapat menjawab dengan tepat. Sebaliknya mereka akan terus dengan kata-kata: “Semua orang sudah tahu tentang 1MDB ini, banyak yang tak betul, nak disembunyikan kepada rakyat..”. Ditanyakan pula apa yang dimaksudkan dengan ‘tak betul?’, juga tidak dapat dijawab.

Ertinya, di pemikiran mereka, sudah menebal dengan pelbagai persepsi buruk dan negatif terhadap syarikat pelaburan strategik, 100 peratus milik kerajaan itu. Mereka tidak tahu pun syarikat itu ditubuhkan untuk merangsang Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi memacu ekonomi dan pembangunan jangka panjang negara dalam sektor-sektor yang menyokong Program Transformasi Ekonomi Malaysia.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan pelantikan peneraju utama baharu Felda daripada Tan Sri Isa Samad kepada Tan Sri Shahrir Abdul Samad, juga ada pihak cuba mengaitkannya dengan pelbagai persepsi yang ‘tidak terbayang’ pun oleh para peneroka agensi pembangunan tanah Persekutuan itu. Pada hal pelantikan itu adalah suatu proses biasa mengikut prerogatif seorang Perdana Menteri.

Dalam isu pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), ada pihak sudah merasuk warga bukan Islam di negara ini dengan menganggapnya sebagai Hukum Hudud dan seolah-olah turut mengganggu ‘batas keagamaan’. Sedangkan RUU355 lebih tertumpu kepada memperkemas dan menye­ragamkan sistem perundangan syariah di antara negeri-negeri agar lebih mantap dan tersusun saksama.

Kesan di sebalik ‘kerenah’ ini adalah kerugian masa, tenaga, fokus serta tumpuan, selain buah fikiran kerana terpaksa ‘melayani’ apa yang diungkit dan dibangkitkan melalui pelbagai sudut yang kadang-kadang hanya sengaja ‘direka cipta’ oleh pihak-pihak berkenaan. Sedangkan negara sepatutnya terus diurus dan dimajukan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana dunia yang semakin mencabar dan kompleks.

Segala hal ehwal negara daripada perancangan dan pengurusan kerajaan, mahupun kaitan dengan kehidupan harian rakyat dikhabarkan dan diperjelaskan saban waktu melalui media rasmi dan media arus perdana negara selain pelbagai sumber lain termasuk komunikasi secara bersemuka. Peliknya, ada pihak lebih cenderung membuat rumusan sendiri dengan memetik sumber luar yang belum tentu sahih atau tersirat sebarang agenda ‘asing’.

Dalam hubungan ini, umat Islam perlu berpegang pada peringatan Allah dalam surah al Hujurat ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan me­ngumpat) maka sudah tentu kamu jijik. (Oleh itu patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Konteks ini mempunyai kaitan dengan konsep tabayyun (tindakan menentukan sama ada khabar berita itu benar atau salah) dalam ayat 6 surah yang sama. Jika kestabilan dan kedamaian yang dicari, tentukan kesahihan, elak pra-sangka bersarang di hati!

By: DATUK SAYUTI MUKHTAR.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik