Sunday, January 22, 2017

PULIHKAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM.

HANYA segelintir penjawat awam terpalit dengan rasuah manakala

TANGKAPAN demi tangkapan membabitkan beberapa penjawat awam termasuk pegawai kanan yang diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi ataupun jerung dari pelbagai agensi awam cukup mengejutkan dan merisaukan masyarakat. Ternyata operasi besar-besaran hasil daripada komitmen dan iltizam pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan rasuah terutamanya dalam kalangan penjawat awam dan sektor awam mula menampakkan hasil yang jelas.


Seperti dijanjikan hampir setiap minggu sudah ada tangkapan dan pendakwaan terhadap penjawat awam baik yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara tetapi melakukan kesalahan rasuah ketika berkhidmat dahulu. Secara umumnya kita mengucapkan terima kasih syabas kepada SPRM yang berusaha keras untuk membersihkan sektor awam ataupun masyarakat secara keseluruhannya daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa. Keberanian, integriti dan komitmen yang ditonjolkan oleh anggota SPRM wajar dihargai.


Antara kes rasuah dan salah guna yang mengejutkan kita baru-baru ini adalah membabitkan Setiausaha Bahagian sebuah kementerian, pegawai kanan Jabatan Air Sabah, Ketua Setiausaha kementerian serta pegawai kanan syarikat milik kerajaan (GLC). Nilai rampasan baik wang tunai mahupun aset sudah mula mencecah jutaan ringgit dan ada ketikanya masyarakat seolah-olah sukar untuk mempercayai apabila SPRM mendedahkan rampasan wang tunai yang cukup banyak yang disimpan di merata tempat di rumah suspek.


Tangkapan dan pendedahan kes seperti ini secara langsung menjejaskan nama baik dan imej perkhidmatan awam secara umumnya dan juga penjawat awam secara khasnya.


Apa yang lebih menyedihkan dilaporkan ada penjawat awam yang suka meminta-minta atau memaksa individu, kontraktor atau syarikat untuk memberi rasuah. Rasuah yang biasa berlaku pula antaranya membabitkan pemberian wang tunai dan seks serta berbentuk tajaan misalnya untuk membeli-belah, bercuti di luar negara mahupun bermain golf di luar negara.


Ternyata tangkapan dan pendedahan seperti ini membawa satu malapetaka besar kepada integriti penjawat awam di negara ini. Tatkala kita marah dan geram dengan tindakan segelintir penjawat awam seperti ini, kita juga rasa simpati dengan nasib yang menimpa imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya. Hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hanya kerana ketamakan beberapa orang penjawat awam, habis rosak imej dan integriti penjawat di mata masyarakat.


Justeru usaha dan langkah serius perlu diambil segera untuk memulihkan reputasi dan integriti penjawat awam supaya akhirnya kita dapat memulihkan kembali imej sektor awam di negara ini.


Bilangan penjawat awam yang ditangkap terutamanya membabitkan mereka dari kategori pegawai utama atau pegawai kanan sesebuah jabatan cukup merisaukan. Hal ini kerana sejak akhir-akhir ini seolah-olah menampakkan trend peningkatan yang ketara dan kita risau ia terus meningkat kerana mengikut SPRM, mereka bakal memburu dan menangkap lebih ramai lagi penjawat awam yang didapati melakukan rasuah dan salah guna kuasa.


Justeru pihak kerajaan perlu bertindak segera untuk membersihkan nama dan imej penjawat awam serta jabatan kerajaan secara menyeluruh selain memulihkan kembali moral dan motivasi penjawat awam lain. Kita tidak mahu majoriti penjawat awam yang masih memiliki nilai integriti yang tinggi berasa malu, tertekan dan kecewa dengan pendedahan seperti ini. Diharap setiap individu penjawat awam perlu berusaha untuk meraih kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat yang dilihat terus jatuh merudum selepas pendedahan seperti ini.


Dalam konteks ini penulis melihat ada dua kaedah untuk memulihkan integriti penjawat awam. Pertama melalui kaedah penguatkuasaan peraturan dan kedua menggunakan pendekatan mewujudkan kesedaran dalam diri penjawat awam. Dari segi penguatkuasaan peraturan, sudah tiba masanya SPRM melakukan proses pembersihan secara menyeluruh ke atas semua jabatan kerajaan di semua peringkat demi memastikan tiada lagi penjawat awam yang pecah amanah dan salah guna kuasa.


Cari hingga ke lubang cacing semua individu terbabit dan bawa ke muka pengadilan. Bagi membantu proses ini elok dimurnikan beberapa sistem sedia ada misalnya proses tapisan keutuhan ke atas semua penjawat awam wajar dinilai semula dan dibuat penambahbaikan. Dan juga elok kiranya amalan pengisytiharan harta oleh penjawat awam sedia ada turut disemak semula dari segi keberkesanan dan kesahihan maklumat yang diisytihar. Ringkasnya aspek pemantauan dan penguatkuasaan perlu dimantapkan lagi supaya pisang tidak berbuah dua kali.


Di samping itu ketua-ketua jabatan juga perlu mewujudkan satu bentuk alert/warning system yang boleh sentiasa memberi peringatan kepada semua penjawat awam agar menjauhi rasuah dan penyelewengan seterusnya memperkasakan nilai-nilai integriti, amanah, tanggungjawab serta keikhlasan dalam menjalankan tugas. Gunakan pendekatan yang berhemah termasuk melalui sentuhan psikologi dan rohani agar perkara sebegini tidak berlaku dalam jabatan masing-masing. Sedarkan mereka betapa perbuatan ini mengkhianati agama, bangsa dan negara.


Apapun dalam konteks ini kita juga berharap agar masyarakat tidak segera menjatuhkan hukuman dan melupakan segala sumbangan penjawat awam selama ini. Walaupun segelintir terpalit dengan isu ini namun penulis percaya majoriti masih memiliki integriti tinggi dan cukup dedikasi dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

By: Noor Mohamad Shakil Hameed.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik