Wednesday, February 22, 2017

MENGHUKUM SAHAJAKAH YANG KITA TAHU?

TERLALU banyak yang diperkatakan mengenai insiden yang meragut lapan nyawa remaja di Johor Bahru, awal pagi Sabtu lalu. Bermacam-macam analisis dan spekulasi dibuat. Berbagai-bagai kenyataan juga dipetik daripada pihak berkuasa, ahli politik yang ber­kenaan dan tidak berkenaan.

Dalam sekian banyak komen tentang kejadian malang itu, ada yang bercakap macam pakar CSI - penyiasat tempat kejadian jenayah, tidak kurang yang jadi ‘saksi virtual’ seolah-olah serba tahu apa yang berlaku di tempat kejadian pada masa kejadian. Bahkan ada yang tanpa silu berlagak umpama sang hakim memutuskan siapa bersalah dan siapa tidak, sedangkan siasatan masih berjalan dan perbicaraan pun belum dimulakan.

Ramai juga yang lekas menuding jari ke arah ibu bapa remaja terlibat kerana ‘cuai’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ membiarkan anak yang masih di bawah umur berpeleseran selepas tengah malam sehingga membawa ke awal pagi tanpa kawalan dan pengawasan. Ada yang terlebih marah mahu agar mereka dikenakan tindakan undang-undang. Seolah-olahnya tindakan punitif itu mampu menyelesaikan semua masalah. Soalnya, menghukum sajakah jalan penyelesaiannya?

Tidakkah kita sebagai masyarakat yang prihatin, mahu menyelidik dan menyelami keadaan mereka - remaja yang dipanggil ‘geng berbasikal’ ini? Sudahkah ditanya kenapa mereka berbasikal tengah-tengah malam buta hingga pagi rembang?

Daripada temu bual media dengan keluarga, ada antara remaja terbabit datang daripada keluarga susah, mempunyai sembilan adik beradik, anak kepada ibu tunggal, anak yatim yang menetap bersama nenek, tidak lagi bersekolah dan terpaksa bekerja pada usia muda bagi membantu keluarga.

Cara liburan mereka ialah berbasikal. Mungkin sebab murah, tidak perlu ambil lesen, tiada duit minyak. Mereka juga tidak memakai peralatan keselamatan canggih macam hobi berbasikal orang ada-ada yang lengkap head gear, body protection segala. Penulis percaya, bukan mereka tidak sedar kepen­tingan memakainya tetapi tahu-tahu sahajalah, basikal pun ada yang diubah suai sendiri atau dipinjam daripada kawan. Bukan basikal canggih yang kini menjadi gaya riadah ramai eksekutif muda yang harganya paling murah pun sekitar RM3,000.

Grup berbasikal mewah walaupun ramai, berkonvoi dan memenuhi jalan raya tentulah tidak mengganggu sesiapa sebab ada pengawal bermotosikal atau berkereta yang turut serta. Malah kadangkala polis trafik pun meng­iringi mereka. Mereka bebas melakukan hobi berbasikal tanpa menyakitkan mata sesiapa, baik orang awam, pengguna jalan dan lebuh raya mahupun pihak berkuasa.

Lain pula dengan grup remaja berbasikal nyamuk. Nama basikal pun nyamuk, kelibatnya sahaja sudah tidak menye­nangkan. Namun hendak ke mana anak remaja ini melepaskan gian mereka berbasikal? Di kawasan perumah­an? Taman permainan? Padang bola? Stadium?

Nampak gayanya tidak ada satu pun yang di atas. Sama ada tidak sesuai atau memang tidak ada tempat untuk mereka melakukan riadah itu. Jadi yang mereka nampak, yang percuma, yang lapang dan jauh dari kawasan perumah­an (agar tidak mengganggu penduduk atau dijerkah barangkali) malangnya ialah di atas jalan raya. Kawasan yang dipilih pun sunyi, berhampiran tanah perkuburan kerana mungkin pada fikiran cetek mereka tidak ada siapa yang akan marah kerana tidak mengganggu sesiapa. Waktunya pula lewat malam dan awal pagi iaitu ketika hampir tidak ada kende­raan melalui kawasan berkenaan.

Memetik kenyataan polis dan beberapa pihak, kegiatan kumpulan remaja berbasikal ini bukan baharu. Sudah lama. Sudah ditegur beberapa kali pun mereka buat tak endah. Faham-faham sajalah kalau sudah hobi. Lainlah kalau mereka diberi pilihan tempat untuk melampiaskan minat dan keseronokan berbasikal itu. Setakat tegur dan tegah, jiwa remaja, pasti memberontak.

Penulis menyokong peringatan agar ibu bapa mengambil tanggungjawab mengawasi pergerakan anak-anak remaja bawah umur, dengan memastikan mereka tidak keluar lewat malam dan terlibat dengan gejala tidak sihat.

Pada masa sama, penulis berpendapat pihak yang ada autoriti dalam komuniti patut juga memikirkan cara untuk menyelesaikan isu keghairahan kumpulan remaja berbasikal selepas tengah malam sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

Hairan juga apabila ramai mengaku sudah lama menge­tahui aktiviti remaja terbabit namun tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi gejala itu. Hanya selepas berlakunya insiden awal pagi Sabtu lalu barulah masing-masing tak menyempat-nyempat memberi cadangan. Itu pun setakat menggesa dikenakan tindakan undang-undang ke atas ibu bapa dan penjaga remaja terbabit. Tidak ada cadangan lain berbentuk jangka panjang. Sekali lagi, menghukum sahajakah penyelesaiannya?

Bagaimana jika yang dilanggar bukan kumpulan remaja berbasikal nyamuk tetapi grup berbasikal mewah? Adakah ibu bapa dan penjaga mereka akan dipersalahkan juga? Atau mungkinkah gambar dan rekod pemandu yang me­langgar sudah tular di laman sosial?

Al-Fatihah untuk lapan remaja yang maut. Mungkin ada antara mereka yang berangan-angan seperti Anuar Manan, ja­guh basikal negara dari Terengganu, yang meng­akui bermula dengan basikal nya­muk. Hasrat mereka tidak kesampaian dan nampaknya berkubur di Jalan Mahmoodiah.

Bagaimana pula dengan remaja lain yang terselamat, termasuk ramai lagi penunggang basikal nyamuk di tempat lain di seluruh negara kita yang berminat dan me­nyimpan hasrat sama untuk mengikut jejak Anuar? Haruskah dikuburkan juga impian mereka? Apakah tidak ada tempat untuk mereka mengasah bakat dan kemahi­ran yang ada dengan betul dan terarah, agar mereka juga dapat memberi sumbangan bermakna kepada negara?

Penulis serahkan kepada yang pakar untuk menjawab­nya. Penulis percaya mereka boleh mengubah yang negatif menjadi positif. Mana tahu dalam sekian ramai remaja berbasikal dengan pelbagai teknik dan aksi ‘berani mati’ di atas jalan raya pada lewat malam itu, ada yang berpotensi mencipta nama di gelanggang lumba basikal negara dan dunia. Asalkan ada yang benar-benar prihatin dengan minat dan impian mereka.
- MARHAINI KAMARUDDIN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik