Sunday, February 19, 2017

RUU355 DAN MEREKA YANG MASIH JUMUD.

MASYARAKAT perlu memahami bahawa hudud telah pun dilaksanakan secara separa di Malaysia, dan umum tahu bahawa pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang persendirian untuk mengawal selia umat Islam di negara ini.

Berdasarkan yang sama, wujud enakmen jenayah syariah di setiap negeri tanpa sebarang percanggahan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berlandaskan kuasa yang diberikan di bawah Perkara 121(1A).

Contoh kesalahan hudud yang telah dilaksanakan adalah kesalahan seperti berzina di bawah Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Wilayah Persekutuan)(Akta 559), meminum arak di bawah Seksyen 19 Akta 559 dan qazaf (menuduh orang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi) di bawah Seksyen 41 Akta 559. Peruntukan jenayah-jenayah ini juga wujud dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri-negeri lain di Malaysia.

Bagaimanapun hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan-kesalahan ini amat rendah dan tidak menepati kehendak syarak. Mengambil contoh kesalahan me­minum arak, Seksyen 19 Akta 559 memperuntukkan bahawa hukuman bagi pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.

Persoalannya, adakah hukuman ini mencukupi? Sedangkan umum tahu, di dalam syarak, jumhur mengatakan hukuman bagi mereka yang mengambil arak adalah sebatan sebanyak 80 kali. Persoalannya, mengapa hukuman di bawah enakmen jenayah syariah di Malaysia terlalu rendah?

Hukuman yang terbatas ini adalah kerana bidang kuasa mah­kamah syariah di serata negara tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya kepada orang Islam dan mengehadkan hukuman yang boleh dikenakan di mahkamah syariah hanya penjara tidak ­melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.00 atau sebatan tidak melebihi enam kali.

Penulis tekankan di sini bahawa Akta 355 ini memperoleh ke­esahan melalui peruntukan dalam Item 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Perkara 121(1A).

Untuk menyamaratakan hukuman di mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia dengan hukuman berdasarkan hukum syarak, muncul keperluan untuk membesarkan bidang kuasa mahkamah syariah di bawah Akta 355. Ini adalah intipati cadangan pindaan dalam Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100,000 denda. Sekali lagi ditekankan bahawa peningkatan bidang kuasa hukuman di bawah RUU355 demi membolehkan pemakaian hukuman mengikut hukum syarak, ia sama sekali tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan keesahan Akta 355 adalah berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Malahan ini bukanlah kali pertama Akta 355 dipinda. Semasa kewujudan asalnya pada 1965, mahkamah syariah hanya mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman penjara dan denda. Pindaan pada 1984 telah membenarkan mahkamah syariah me­ngenakan hukuman sebatan juga.

Persoalannya, adakah peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Sudah tentu tidak. Jika benar Akta 355 dan sebarang peningkatan bidang kuasa di bawah Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, mustahil Akta 355 mampu wujud selama ini tanpa tiada yang mempersoalkan keesahan akta ini.

Oleh kerana RUU 355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tiada sebab mengapa RUU 355 tidak boleh dilaksanakan, lebih-lebih lagi memandangkan pemakaian peruntukan Akta 355 hanyalah kepada orang Islam dan menepati peruntukan di bawah Perkara 8(5).

Himpunan RUU 355 diadakan hari ini dan pada hari yang sama, ada juga himpunan untuk mereka yang menolak RUU 355, anjuran puak yang jumud dengan sistem perundangan di negara ini. Penulis musykil mengapa hal ini masih dipolemikkan oleh puak-puak ini, sedangkan beribu satu penjelasan sudah diberikan untuk ­menerangkan duduk perkara sebenar.

Kita perlu menghormati bidang kuasa perundangan syariah di Malaysia yang wujud berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Jangan kerana sikap angkuh mereka yang enggan memahami intipati undang-undang, kita menidakkan keesahan yang lama wujud pada Akta 355. Tambahan pula RUU 355 tidak memper­kenalkan hukuman baharu, tetapi meningkatkan jumlah hukuman sahaja, yang mana hal ini telah pun berlaku sebelum ini.

Justeru penulis menggesa supaya umat Islam terus bersatu untuk menyokong pindaan dalam RUU 355 tanpa mempedulikan suara sumbang mereka yang masih buta hati dan akal untuk memahami undang-undang asas di negara sendiri.

- Muhammad Siddiq Azani.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik