Friday, February 3, 2017

TARIK BALIK TARAF BUMIPUTERA?


BEBERAPA hari lalu seorang pengguna Twitter menggunakan nama Tengku Iskhandar membuat kenyataan menyamakan hak bumiputera di Malaysia dengan diskriminasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap orang Islam.

Kenyataan itu pantas tular di media sosial khususnya dalam kalangan bukan Melayu di negara ini sebagai tanda menyokong kenyataan seorang Melayu liberal yang buta sejarah dan lupa asal-usul sendiri.

Jangan lupa, AS ditadbir sepenuhnya golongan pendatang sementara peribumi mereka hidup merempat manakala Malaysia mengamalkan pemerintahan peribumi yang berkongsi kuasa dengan kaum lain.

Isu hak bumiputera ini sebenarnya sudah lama diapi-apikan sesetengah ahli politik bukan Melayu kononnya menindas golongan minoriti.

Perkara sama berlaku ke atas bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, agama Islam agama rasmi Malaysia dan tanah rizab Melayu yang turut didakwa menindas hak asasi minoriti.

Golongan ini bagaimanapun tidak berani menyentuh hak raja-raja Melayu dan menyorokkan niat mereka mahu menjadikan Persekutuan Malaysia sebuah negara republik seperti Singapura.

Orang Melayu sudah muak dengan dakwaan kononnya kontrak sosial melibatkan Islam, bahasa, hak istimewa, tanah rizab dan raja-raja Melayu menindas kaum atau penganut agama lain.

Lebih menyakitkan hati bila semakin ramai Melayu liberal menjadi tali barut seperti mana penderhaka Melayu yang bersekongkol dengan penjajah menjatuhkan empayar Melaka.

Oleh itu, suka saya sarankan kerajaan memberi peluang kepada semua orang Melayu liberal yang tidak mahu terlibat dengan kontrak sosial ini dilucutkan taraf bumiputera mereka dengan menggantikan status ‘Melayu’ dalam kad pengenalan mereka kepada ‘bukan bumiputera’.

Pada masa sama, kerajaan juga boleh tawarkan kad pengenalan merah atau status penduduk tetap kepada sesiapa sahaja, termasuk Melayu yang tidak mahu menghormati kontrak sosial seperti dipersetujui nenek moyang kita semua sebelum negara merdeka.

Tiada paksaan dalam tawaran ini kerana ini bukan melibatkan soal politik tetapi patriotisme dan kesetiaan kepada negara.

Jika tidak setuju dengan asas penubuhan negara ini maka mereka boleh mengubah status keturunan mahupun kewarganegaraan sendiri.

Beberapa orang bukan Melayu ada mempersoalkan kenapa mereka perlu patuh dan mengikut kontrak sosial itu kerana nenek moyang mereka yang bersetuju sedangkan mereka tidak setuju.

Anak-anak muda itu mungkin terlupa jika orang Melayu berfikiran serupa, maka ketetapan kontrak sosial itu tidak akan dimasukkan dalam Perlembagaan Negara, begitu juga taraf kerakyatan untuk bukan Melayu.

SARJAN RAMLI

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik