Wednesday, February 8, 2017

TERPERANGKAP DALAM ILUSI DAP.


Tak habis-habis supremo DAP, Lim Kit Siang memainkan sentimen bahawa Malaysia negara gagal. Selama berdekad-dekad itulah yang dijaja politikus berusia 76 tahun ini.

Entah yang ke berapa kali, minggu depan partinya akan menganjurkan persidangan meja bulat dengan tajuk klise "Selamatkan Malaysia."

Sedikit pun tidak ada bayangan keikhlasan daripada forum ini. Yang dirasakan bau khas DAP yang sarat kepentingan politik menjelang pilihan raya umum.

Dahulu semasa zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menjadi sekutunya, laungan yang sama juga kedengaran. Begitu juga pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bagi Kit Siang dan tafsiran DAP, Malaysia hanya akan diiktiraf berjaya jika kuasa politik berada di tangan mereka.

Samalah juga betapa bang­ga­nya mereka dapat berkuasa di Pulau Pinang. Yang baik-baik semuanya akan diangkat sebagai kerja mereka manakala yang bu­ruk-buruk itu warisan kerajaan terdahulu atau perbuatan Kera­ja­an Pusat.

Persidangan meja bulat pada 7 Februari ini yang dijaja Kit Siang tidak lebih hanya sebagai gimik. Kit Siang turut menjemput Perdana Menteri kononnya seba­gai ruang dan peluang untuk memulakan sesuatu yang baharu.

Percayalah, tiada pemikiran baharu dalam forum itu. Yang ada hanya membakar sentimen. Yang menonjol nanti kecaman dan mem­buruk-burukkan yang sedia ada. Sungguh, perlakuan tipikal parti pembangkang Malaysia.

Sebagaimana lazim dilakukan DAP, forum ini akan digunakan bagi mengumpulkan konco-kon­co­nya termasuk apa yang mereka gelar pemimpin masyarakat sivil. Dr. Mahathir untuk sekian kalinya dijadual berkongsi forum dengan parti yang pernah dimusuhinya itu.

Bagi menjadikan lebih signi­fikan, majlis ini akan diserikan dengan penyertaan ‘ikon’ Melayu ke dalam parti yang dilabel oleh lawan politiknya sebagai cauvinis dan anti-Islam. Entah berapa ramai ikon yang DAP dapat kail kali ini.

Ada beberapa nama yang hampir pasti termasuk bekas men­teri kontroversi, Datuk Zaid Ibra­him. Selepas gagal ber­saing dalam perebutan kerusi ke­pim­pinan dalam UMNO dan PKR, parti berlambang roket dianggap padan benar dengan karakter Zaid. Lagipun DAP sedang galak mengumpan kerusi-kerusi pilihan raya yang berpotensi menang kepada ‘ikon’ Melayu yang ber­has­rat menjadi YB segera.

Apa pun gerak DAP sentiasa dibayangi oleh perilaku janggal pemukanya sendiri. Semakin hari semakin terdedah perilaku cakap tak serupa bikin.

Sifat angkuh

Lim Guan Eng, anak Kit Siang semakin tebal sifat angkuhnya. Pan­­tang ditegur mahupun dikritik akan ada yang bakal menerima akibatnya.

Rasanya hampir semua media sudah disergah kalaupun tidak disaman. Kebebasan bersuara ti­dak lebih hanya kosmetik. Suara Guan Eng yang perlu didengar dahulu.

Lihatlah Guan Eng tetap bertakhta di Pulau Pinang walaupun telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan mahupun sekadar bercuti sementara umpama angin lalu, tidak diendahkan.

Bagi Guan Eng tak mengapa nilai-nilai universal yang diuar-uarkan dijunjung tinggi DAP dilanggar dengan alasan kesnya itu merupakan konspirasi politik.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa pun boleh mendakwa konspirasi politik apabila beliau diminta bercuti senentara sehingga siasatan ke atasnya selesai. Tetapi tidak, Annuar memilih untuk akur dengan ketetapan moral bagi membolehkan siasatan dibuat secara bebas.

Jika Annuar, pemimpin dari sebuah parti yang tidak henti-henti dituduh DAP sebagai perasuah dan pencuri boleh lakukan, kenapa tidak Guan Eng? Sepatutnya pemimpin seperti Guan Eng yang selalu bangga dengan akauntabiliti menunjukkan jalan dan menjadi contoh.

Ini tidak, Guan Eng sebaliknya semakin menambah cengkamannya. Beliau kebal kepatuhan moral bahkan tidak boleh disentuh. Kerana apa, kerana Guan Eng anak Kit Siang. Kerana beliau pemimpin pembangkang.

Dalam layanan istimewa yang dwistandard seperti ini, bagaimana DAP boleh menjual dirinya sebagai penyelamat Malaysia? Realitinya dalam tempoh berdekad-dekad ini apakah yang telah diselamatkan oleh DAP?

Benarkah DAP telah menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus menjadi negara bankrap dan negara gagal? Ini umpama bermain ilusi. DAP yang mencipta ilusi dan mereka juga yang menjadi penyelesai ilusi itu.

Jelaslah projek "Selamatkan Malaysia" yang mengumpulkan orang-orang pilihan DAP hanya sebuah ilusi. Hasilnya juga tidak ke mana. Begitulah yang berlaku selama berdekad-dekad ini.

Malangnya ada sahaja yang termakan dengan tipu helah dunia ilusi DAP ini. Mereka ini mempunyai kepentingan tertentu. Masing-masing ada matlamat yang mahu dicapai.

Barangkali itu sahaja yang mampu mereka lakukan. Hendak berlawan dengan track record dan fakta tak mampu, jadi lebih baik bermain ilusi. Akhirnya negara ini yang rugi. Akhirnya yang kalah jadi abu, menang jadi arang.

- Zulkefli Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik