Monday, February 27, 2017

U-TURN, BOHONG ATAU NYANYUK?

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai 'Harimau Asia' suatu ketika dahulu disarankan untuk terus bersara daripada bidang politik kerana sering melakukan pusingan U sejak kebelakangan ini sehingga menjadi persoalan sama ada ia satu pembohongan atau nyanyuk seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata jika suatu ketika dahulu ketika Mahathir memimpin negara, beliau menjadi seorang yang ditakuti dan mengakui seorang diktator sepanjang 22 tahun berkuasa tapi kini beliau dilihat tidak mampu lagi untuk membezakan antara fakta dan rekaan.

"U-turn sebegini oleh Mahathir amat menghairankan. Dulu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dikatakan sebagai ancaman kepada Melayu tetapi kini tidak pula. Dulu dikatakan liwat adalah satu jenayah, kini diterima pula. Adakah harimau ini yang sudah lanjut usianya semakin keliru?.

"(Ketika berkuasa) Bagi mengekalkan kuasa, Mahathir mencantas musuh politik beliau. Timbalan Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara kerana katanya negara kita tidak boleh ada Perdana Menteri yang homoseksual. Lim Kit Siang pula dikatakan ancaman kepada Melayu dan dipenjarakan juga.

"Harimau ini kini sudah tua. Kini dia suka sangat Kit Siang sehingga sanggup menerima pemimpin de facto pembangkang ini sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini agar anaknya Mukhriz (Datuk Seri) boleh menjadi Perdana Menteri.

"Kini, Mahathir bersekongkol dengan Anwar dan berjabat tangan dengannya, nampaknya dia sanggup menerima seorang pesalah peliwat homoseksual sebagai seorang pemimpin Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pertanyaan sinis turut dilemparkan kepada Mahathir sama ada 'harimau' itu sudah semakin lanjut usia sehingga keliru dengan setiap tindakan yang dilakukan berbeza dengan apa yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

"Malah DYMM Sultan Johor kini juga mempersoalkan Mahathir. Sepertimana titah Tuanku baru-baru ini, "Dulu dia kata pembangkang adalah musuh tetapi kini dia boleh duduk semeja dengan mereka dan menjadi rakan karib. Dulu dia kata media Barat gemar mereka cerita, Kini dia kata apa yang dilaporkan media Barat adalah fakta. Dulu dia mengkritik Melayu mudah lupa tetapi kini dia sendiri  yang pelupa. Jika dia bukan pelupa, mungkin dia nyanyuk sedikit," ujarnya.

Pengamatan oleh Sultan Johor ini jelas dalam tulisan blog terkini Mahathir yang menjatuhkan imej negara demi kepentingan politik peribadi, dengan mengatakan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada sepuluh negara paling korup di dunia sedangkan dalam senarai Transparency International yang terkini, Malaysia adalah negara ke-55 yang paling tidak korup di dunia.

"Jelas, sama ada Dr Mahathir berbohong ataupun dia tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan. Jika bukan begitu, mengapa dia kata Malaysia adalah antara 10 negara yang paling korup sedangkan Malaysia tersenarai antara satu pertiga daripada negara paling tidak korup di dunia?," katanya.

Tambah Tengku Sariffuddin, rakyat Malaysia tidak lagi boleh mempercayai apa-apa sahaja kata U-turn Mahathir kerana ia amat memalukan.

"Sama ada dia berbohong demi kepentingan politik atau sudah nyanyuk sepertimana yang dititahkan Sultan Johor. Harimau tua ini lebih baik bersara sepenuhnya," katanya.
 
Khamis lalu, Sultan Johor mengingatkan pemimpin politik luar Johor untuk tidak mengelirukan atau memecah-belah perpaduan bangsa Johor dengan cuba masuk campur urusan politik negeri itu.

Baginda bertitah, rakyat negeri Johor telah menikmati hidup yang selesa dan ‘orang politik’ luar tidak perlu berlagak pandai atau mengajar apa yang negeri Johor patut lakukan.  Baginda bertitah, ini dibuktikan  dengan  pembangunan dan kemajuan yang dicapai negeri itu sekarang.

Sebagai contoh, jika dilihat 10 atau 20 tahun sebelum ini, kerajaan negeri pernah ketandusan wang untuk melunaskan gaji kakitangan, namun kini, lebihan hasil kerajaan negeri mencecah berbilion ringgit.

Justeru baginda percaya rakyat negeri Johor tidak akan mudah terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang sengaja menakutkan rakyat dengan cerita dongeng yang direka.

“Suka saya ingatkan kepada orang politik di luar Johor supaya jangan masuk campur dalam urusan di negeri ini, dan jangan cuba untuk mengelirukan rakyat saya atau memecah-belahkan perpaduan Bangsa Johor.

“Rakyat di negeri Johor telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai, sehingga ke hari ini.  Orang luar tidak perlu hendak tunjuk pandai atau mengajar apa yang patut dibuat,” titahnya.

Tambah baginda, rakyat Johor tidak akan terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan rakyat  dengan cerita-cerita dongeng yang direka-reka.

“Mungkin orang luar ini telah lupa bahawa zamannya telah berlalu. Dahulu dia sering menyindir orang Melayu sebagai bangsa yang mudah lupa,  namun hari ini dia sendiri menunjukkan sifat pelupanya,” titah baginda.

-Agendadaily/27.2.17.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik