Tuesday, March 28, 2017

PAS-PKR GENTING DALAM TAHALUF SIYASI.

PERKEMBANGAN terakhir hubungan politik PKR dan Pas berada di tahap genting tetapi belum putus. Ini memang sudah dijangkakan atas pertimbangan prinsip dan perkembangan semasa dalam kalangan pembangkang. Dikatakan muktamar Pas yang berlangsung pada akhir April nanti bakal membuat keputusan mengenai tahaluf yang berlangsung di luar prinsip tetapi hanya kerana kepentingan dan survival politik di Selangor.


PKR perlukan Pas atas maksud survival dan perlukan tempat di Selangor kerana peluang menguasai masjid dan surau. Di Lembah Klang ramai orang Kelantan berada dan masjid menjadi pangkalan penting mentarbiyyah mereka untuk nantinya bakal kembali ke Kelantan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berat hati untuk bersetuju dengan gesaan beberapa cawangan Dewan Pemuda Pas (DPP) di Selangor dan di negeri-negeri lain yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

ping_match.gif.png

Ada dua faktor yang menyebabkan berat hati itu wujud. Ahli-ahli Pas di Selangor yang kini memegang jawatan seperti ahli majlis pihak berkuasa tempatan, ketua kampung dan pelbagai jawatan lain akan digugurkan.


Kedua, sekiranya genting menjadi putus kekosongan itu akan diisi wakil rakyat dan pimpinan parti serpihan Pas iaitu PAN. Ini juga menjadi kebimbangan Iskandar.


Secara prinsip Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tidak boleh bekerjasama dengan parti yang bersama dengan DAP dan PAN. Di Selangor, inilah yang terjadi. Tidakkah pembangunan di Selangor hasil yang dibuat oleh exco di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama dengan Pas dan DAP?


Khalayak sedang memerhati setakat mana penyertaan Pas dalam kerajaan Selangor membantu menyeimbangkan pembangunan harta tanah, kemunculan bandar-bandar baharu dan perumahan yang jangka panjangnya memberi kesan demografik (kependudukan) dan ekuiti (pegangan) ekonomi dan kuasa politik orang Melayu.


Apakah Pas dalam Exco Selangor tidak tegas menyatakan pendirian supaya pusat-pusat judi dan pelacuran dapat diatasi sedangkan perjuangan Pas untuk memelihara masyarakat daripada terjebak dengan judi dan zina?


Takdirnya muktamar Pas April ini membuat keputusan tahaluf siyasi dengan Pas diputuskan ini bakal menimbulkan pergolakan baharu bagi kerajaan negeri Selangor. Sebab itu, Mohamed Azmin minta berdamai.

Dalam masa sama komponen parti dalam Pakatan Harapan masih mahu bersama dengan Pas. Mereka tahu kalau terjadi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 nanti, tidak mudah pembangkang dapat sampai ke Putrajaya.


Yang peliknya, maklumat berbeza dalam kalangan kepemimpinan Pas mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ada yang sudah menolak PPBM kerana menyertai Pakatan Harapan. Ada yang mengatakan perundingan masih berjalan. Ada yang mengatakan cara gaya politik PPBM masih mewarisi politik UMNO. Tapi dikatakan Pas pernah berunding dengan PPBM ke arah tahaluf siyasi tetapi tidak pula kepada UMNO.


Gelagat politik ini diperhatikan oleh khalayak mengenai sikap politik Pas yang cenderung bekerjasama dalam isu-isu tertentu dengan kerajaan tetapi tidak bersedia untuk melakukan tahaluf siyasi dengan UMNO.

Pada hemat penulis UMNO tidak akan rugi dengan pendirian Pas ini dan adalah bijak bagi Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kelantan untuk membuat persiapan rapi kerana pertandingan tiga penjuru boleh menguntungkan UMNO.


Betapa dengan kemunculan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kepemimpinan Pakatan Harapan menyebabkan liabiliti di mata penyokong Lim Kit Siang seperti apa yang telah berlaku di Melaka. Tan Sri Zainudin Maidin orang kuat Dr. Mahathir mencadangkan supaya bekas Perdana Menteri itu bertanding dalam PRU-14. Adakah untuk jadi Perdana Menteri semula? Ke mana berakhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri? Inilah percaturan sebenar politik pembangkang yang bakal menyebabkan pembangkang lebih berpecah-belah dengan impian masing-masing - UM.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik